Tuesday, April 29, 2008

RELEVAN LAGIKAH ANNUAR MUSA?

Tahniah diucapkan kepada Sdr Sazmi Miah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Machang di Kelantan kerana keberanian beliau meminta Annuar Musa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut. Ucapan tahniah tersebut diberikan kepada Sazmi, bekas Ahli Parlimen Machang yang kalah kepada ‘calon luar’ dalam pilihanraya lalu bukan kerana bersetuju dengan desakan tersebut tetapi lebih kepada keberanian beliau sebagai ahli pemuda yang sudah tidak lagi ‘memegang telur’ sebagaimana biasa. Kenyataan keras Sazmi yang kemudiannya disiarkan melalui akhbar arus perdana adalah sesuatu yang telah lama dinantikan oleh rakyat marhaen.

Kenyataan tersebut menandakan bahawa demokrasi dalam UMNO telah dihidupkan kembali. Pemuda UMNO sebelum ini dilihat lebih kepada pergerakan lesu akibat kekeliruan fokus dalam perjuangan mereka. Pemuda lebih dilihat sebagai ‘kaki projek’ yang mengharapkan bantuan kerajaan melalui pak-pak menteri sebagai pertukaran sokongan politik. Pemuda dilihat tidak bermaya, tidak fokus, tidak prihatin malah tidak berfakta untuk menjawab tomahan dan hujah pihak pembangkang. Ada di kalangan pemimpin pemuda UMNO bahagian di Kelantan yang hanya mampu melaksanakan kurang dari 10 program sepanjang 4 tahun memimpin pemuda bahagian. Program-program lain adalah menempel kepada program orang lain yang kemudiannya diisytiharkan sebagai program pemuda bahagian untuk dilaporkan di peringkat pusat. Ada pemuda bahagian yang hanya mampu mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemuda bahagian kurang dari bilangan jari tangan!.

Fokus utama sebahagian dari mereka adalah bagaimana untuk mendapat projek, apa kereta yang perlu dipakai sesuai dengan ‘status’ sebagai ketua pemuda bahagian dan banyak mana duit perlu disimpan untuk masa depan. Tidak hairanlah ada yang mampu menukar kereta Proton Saga menjadi Mercedez yang tidak mungkin mampu dimiliki dengan pendapatan sendiri. Bertuahnya menjadi pemimpin pemuda UMNO bahagian!.

Namun, beberapa hari lepas Sazmi membuktikan bahawa pemuda sebenarnya masih mewakili suara rakyat marhaen yang mahu melihat UMNO terus bertapak kukuh dalam politik negara. Keberanian beliau memulakan ‘penentangan’ terbuka terhadap seorang tokoh besar di peringkat negeri dan nasional tentunya menarik untuk diamati oleh rakyat marhaen. Kenapa Sazmi berbuat demikian? Sazmi tentunya sedar bahawa Annuar bukanlah tokoh politik kampungan. Sazmi tentunya sedar bahawa Annuar bukanlah sebarang pemimpin politik di Kelantan.

Annuar Musa adalah seorang tokoh muda yang diangkat selepas BN Kelantan ditewaskan dalam pilihanraya umum 1990. Beliau bukan sahaja diangkat sebagai senator malah dilantik sebagai menteri kabinet dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang memiliki hampir sepenuh kuasa Pengerusi dalam usia kurang dari 40 tahun. Kehebatan beliau berpidato dan mematahkan hujah lawan tidak perlu dipertikaikan lagi. Perancangan dan strategi beliau memang dikagumi malah ke’handsome’an beliau menjadikan beliau pemimpin yang memiliki pakej penuh.

Namun beliau juga tidak bertahan lama dalam politik. Menang kalah silih berganti dalam karier politik beliau disamping diselaputi pelbagai isu peribadi. Kekalahan terbaru beliau di Parlimen Ketereh dalam pilihanraya yang lepas membuatkan kita mula berfikir, relevan lagikah Annuar Musa dalam politik Kelantan?

Pencapaian BN negeri sepanjang berada di bawah kekuasaan beliau nampaknya tidak banyak yang boleh dibanggakan walaupun beliau hampir berkuasa penuh semasa Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dipegang oleh Dr Mahathir Mohamad, Presiden UMNO semasa itu.

Ada yang melihat Annuar memang tidak mahu BN menang di Kelantan pada masa berkenaan untuk mengekalkan kedudukan beliau sebagai satu-satunya ketua di negeri tersebut. Ada yang melihat bahawa Annuar ingin berkuasa penuh terhadap semua projek pembangunan di negeri tersebut yang perlu disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang beliau menjadi ‘Menteri Besar’nya. Ada yang melihat bahawa dengan ketiadaan kerajaan negeri, sebarang projek pembangunan di negeri tersebut perlu dirujuk kepada UMNO atau BN yang beliau ketuai. Ada yang melihat Annuar mengamalkan politik ‘divide and rule’ di sesetengah UMNO bahagian malah beliau dikaitkan dengan percaturan pemilihan UMNO di peringkat bahagian dalam negeri tersebut. Apapun teori dan andaian rakyat marhaen, Annuar telah diberi sepenuh masa dan kebebasan mencatur UMNO negeri.

Pelbagai teori dikemukakan tetapi isu yang tidak boleh dinafikan adalah Annuar sebenarnya telah lama mengetuai BN negeri dan bukan hanya pada PRU 12 yang lepas sebagaimana yang dilihat oleh kebanyakan orang. Apapun kedudukan tersebut, Annuar sebenarnya telah gagal dalam mengembalikan Kelantan ke tangan BN. Kemukakan pelbagai alasan dan hujah tetapi yang pasti rekod pencapaian terbaik BN Kelantan hanyalah dalam PRU 11 semasa Tok Pa menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Itulah fakta yang tidak boleh ditandingi oleh Annuar Musa. Kalau begitu halnya, perlukah Annuar dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri?

Tidak ada lagikah pemimpin UMNO negeri di Kelantan yang boleh diketengahkan sebagai Pengerusi yang baru? Tidak mungkinkah Awang Adek mengetuai UMNO negeri kerana kekalahan beliau dalam PRU lalu? Mungkinkah Tok Pa perlu menyambung semula tanggungjawab mengambil alih Kelantan dari PAS? Mungkinkah tokoh baru Kelantan, Haji Alwi diberi kesempatan membuktikan keupayaan beliau? Mampukah Alwi menyisihkan dirinya dari imej Annuar?

Kenyataan Annuar beberapa hari yang lepas yang menyatakan kesediaan mengundur diri dari jawatan Pengerusi Badan Perhubungan perlu dilihat dalam konteks positif. Memang ada yang mempertikaikan kenyataan tersebut lebih kepada ‘test market’ untuk Annuar melihat pelbagai reaksi tetapi mungkinkah Annuar juga telah sedar bahawa masa beliau telah berlalu? Mungkinkah UMNO memang memerlukan perubahan di setiap peringkat? Mungkinkah UMNO perlu kepada generasi yang lebih muda? Mungkinkah semua ketua bahagian yang telah lama berada di puncak kuasa perlu mengundur diri secara terhormat demi kebaikan UMNO? Pilihan menentukan kedudukan tersebut berada di tangan ahli UMNO. Jangan sampai rakyat marhaen menghukum UMNO lagi!.

Jangan jadi KUCABAGHA.

1 comment:

nasru said...

asm..kalau haji alwi diberi peluang, nampak gamaknya umno berkubur terus. annuar musa memang kaki songlap duit, ambo tahu.duit one-off pun dia boleh ambik ke dia sikit apatah lagi duit lain. awang adek orang ekonomi, tak reti politik. takdok aura. ramzi pulak kaki bodek.lulus spm jah.harap nasib dia kekal ngan paklah masa paklah terbuang dulu. dato pa bagus tapi lembut terlajak.jadi tak yah pikirlah...biar pas terus perintah kelantan.ni pun molek terlajak dah...payah wei nak cari