Tuesday, July 22, 2008

KAFIR HARBI LEBIH JUJUR DARI ISLAM HADHARI

Isu muzakarah antara UMNO dan PAS bergema sekali lagi disebalik kekalutan dalaman kedua-dua parti tersebut. UMNO kalut dengan kekecewaan dalam Pilihanraya ke 12 yang lalu sehingga memaksa sesetengah pihak mendesak Presiden UMNO bertanggungjawab sepenuhnya dan meletakkan jawatan. Keadaan semakin kalut dengan pertandingan dalam parti yang telah bermula sekarang ini sehingga memaksa pelbagai etika, kenyataan dan pandangan dikeluarkan oleh pucuk pimpinan bagi meredakan keadaan.

PAS pula kalut dengan hubungan yang ‘tidak berapa mesra’ dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana sering dipinggirkan dalam perkara-perkara tertentu dan hanya dianggap ‘penumpang’ dalam hubungan tersebut disamping perbezaan pendapat secara terangan di antara tokoh-tokoh ternama mereka dalam isu muzakarah yang telah mendapat reaksi positif dari rakyat marhaen. Secara keseluruhannya, PAS di negeri-negeri lain yang diluar dari Kelantan menyambut baik cadangan tersebut dan berbeza dengan pemimpin PAS di Negeri Kelantan yang dilihat lebih ‘angkuh’ kerana telah hampir 20 tahun memerintah negeri tersebut. Kenyataan-kenyataan dari Nik Aziz, Husam Musa dan Zaki Ibrahim dilihat memperlihatkan ‘keangkuhan’ mereka untuk tidak menerima idea muzakarah tersebut.

Secara puratanya, pemimpin-pemimpin UMNO menerima baik idea ‘duduk semeja’ antara PAS dan UMNO bagi membincangkan kepentingan Islam dan Melayu tanpa bersyarat sementara di pihak PAS pula, Presiden PAS dilihat lebih terbuka dalam isu tersebut manakala Mursyidul Am pula dilihat lebih mementingkan politik sempit beliau. Beliau mensandarkan pengalaman lampau PAS dengan UMNO sebagai ‘sumber rujukan utama’ dalam menentukan keikhlasan ‘kepimpinan UMNO sekarang’. Mungkin sejarah boleh berulang tetapi UMNO tidak pula mempersoalkan sejarah PAS yang pernah mengkafirkan UMNO suatu ketika dulu. Mungkin lebih teruk kalau dikatakan bahawa UMNO juga menderita akibat tindakan beberapa pemimpin PAS yang mewujudkan ‘parti dalam parti’ semasa bersama UMNO dulu. Apapun sejarah dan pengalaman pahit yang pernah dilalui bersama itu seharusnya telah dilupakan oleh kedua-dua pihak sekiranya ikhlas untuk melihat kepentingan Melayu dan Islam dipelihara di negara ini. Ibarat bekas suami isteri yang ingin rujuk semula, kenapa dipersoalkan tabiat dan perangai zaman umur 20an dengan keadaan umur sekarang 50an, tentunya pengalaman dan liku-liku hidup akan menjadi sempadan bagi memulakan langkah baru.

PAS dan UMNO perlu sedar bahawa gaya dan keutamaan kepimpinan pada waktu terdahulu mungkin telah berbeza dengan gaya kepimpinan sekarang. Zaman Panca Sitara dan zaman Carburetor Dung tentunya memperlihatkan perbezaan nyata tersebut.

Nik Aziz perlu imbas kembali bahawa semasa beliau mula-mula memerintah Negeri Kelantan pada tahun 1990, beliau telah mengharamkan semua bentuk hiburan dalam negeri Serambi Mekah tersebut. Namun begitu, larangan tersebut semakin dilupakan dan PAS telah menelan ludah sendiri dengan menjemput Mawi membuat persembahan di Kota Bharu sempena perisytiharan Kota Bharu sebagai sebuah Bandaraya Islam iaitu mungkin satu-satunya Bandaraya yang bertaraf Majlis Perbandaran. Bandaraya bertaraf Majlis Perbandaran itu juga telah membenarkan pusat snooker di buka untuk ‘aktiviti sukan dan riadah’ bagi anak-anak muda di negeri tersebut dan khabarnya Nik Aziz sendiri yang merasmikan sebuah pusat snooker di sebuah pusat membeli-belah dalam Bandaraya tersebut.

Rakyat marhaen difahamkan bahawa isu muzakarah ini sebenarnya bukanlah membicarakan penggabungan antara dua parti politik yang boleh dikatakan parti politik ‘Melayu’ tetapi lebih merupakan perbincangan tentang apa yang boleh dilakukan bersama bagi menjaga dan memelihara kepentingan Melayu atau Islam sebagaimana yang PAS sentiasa heboh-hebohkan. Persoalan samada PAS dan UMNO akan bergabung sebagai satu parti atau setidak-tidaknya sebagai satu ‘gabungan’ mungkin terlalu idealis untuk dibincangkan dalam waktu terdekat ini. Setidak-tidaknya PAS masih lagi ‘berlakikan’ PKR dan ‘bermadu’ dengan DAP. Atau mungkin juga ‘berlakikan’ DAP dan ‘bermadukan’ PKR?

Rakyat marhaen melihat bahawa sudah sampai masanya PAS dan UMNO duduk semeja membincangkan isu kepentingan Islam dan Melayu secara serius dan jujur. Kalaulah Dewan Perniagaan Cina boleh duduk semeja membincangkan kepentingan kaum mereka, kenapa tidak kedua-dua parti politik berteraskan Melayu tersebut mengatur langkah memulakan rentak baru?. Kenapa tidak kita menghayati politik matang dimana kepentingan politik hanyalah bermusim dan kepentingan agama dan bangsa lebih diutamakan dalam setiap hal?

UMNO perlu mengenepikan semua ‘permainan politik’ sekiranya ada dan PAS pula perlu lebih terbuka menerima ‘tangan persahabatan’ tersebut. Apakah mampu kedua-dua parti politik ini bertolak ansur demi kepentingan agama dan bangsa melampaui kepentingan politik sendiri? Keadaan semasa menunjukkan bahawa UMNO sebenarnya lebih terbuka dalam soal tersebut tetapi PAS mengambil pendekatan ‘lebih berhati-hati’ dan menganggap UMNO, parti yang majoriti ahlinya adalah juga beragama Islam dan berbangsa Melayu semata-mata sebagai ‘musuh’ yang tidak boleh dipercayai. Peliknya, DAP yang secara puratanya dianggotai oleh ‘kafir’ yang tidak sebangsa dengan PAS dilihat lebih mulia dan ikhlas dari UMNO. Mungkin benarlah kata orang, PAS sedang ‘berdakwah’ melampaui sempadan bangsa dan agama.

Rakyat marhaen menggesa supaya Nik Aziz dan pimpinan PAS yang masih bertuankan beliau supaya melihat kehadapan dengan penuh kritikal. Apakah satu waktu nanti keistimewaan dan kepentingan Melayu di negara ini akan disamaratakan kerana mengikut kehendak dan kepentingan ‘madu’ (atau laki) PAS tersebut? Apakah hidup dalam dunia politik ini perlu memikirkan kepentingan politik semata-mata? Apakah mereka yang sebangsa dan seagama kita lebih teruk sifatnya dari mereka yang diluar ikatan agama tersebut? Apakah kerana telah lama memerintah menyebabkan pemimpin PAS di Kelantan merasakan bahawa mereka telah cukup kuat dan tidak perlu kepada sokongan rakan sebangsa dan seagama lagi?

PAS perlu ingat bahawa keadaan di Kelantan berbeza dengan di negeri-negeri lain dimana majoriti rakyatnya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tidak timbul persaingan besar dalam perkara ekonomi dan kepentingan agama di negeri tersebut walaupun pemaju perumahan terbesar di Kelantan sekarang ini mungkin bukan sebangsa dengan pemimpin PAS. PAS juga mungkin terlupa bahawa lebih dari ¾ pengusaha dan tuanpunya emporium dan supermarket di negeri tersebut sebenarnya bukan orang yang seagama dengan mereka. Rakyat marhaen mencadangkan kepada Kerajaan Kelantan untuk membuat bancian keseluruhan berkenaan para peniaga dan pengusaha perniagaan di sana. Mungkin ketika itu PAS akan sedar akan ‘jasa-jasa’ mereka membantu rakyat marhaen yang seagama dengan mereka. Sediakanlah satu statistik yang lengkap dan menyeluruh dan biarkan kita bersama meneliti perubahan ekonomi di sana setelah hampir dua abad PAS memerintah Kelantan. Kalaulah benar PAS telah membantu melahirkan lebih ramai Melayu dan Islam yang berjaya di sana, UMNO seharusnya melupakan soal muzakarah tersebut kerana PAS telah berjaya memperkuatkan agama dan bangsa tanpa sokongan dan bantuan UMNO.

Ketepikan soal siapa dan apa sejarahnya tetapi yang pasti jalan untuk ke ‘syurga’ mungkin terlalu banyak tetapi ianya bukan dengan melalui jalan yang disediakan oleh mereka yang bukan sebangsa dan seagama dengan kita. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Thursday, July 17, 2008

BILA 'PAK SHEIKH' NAIK 'SHEIKH'

Perhatian seluruh dunia sehari dua ini tentunya tidak lari dari memfokus ke arah isu liwat dan seterusnya penangkapan Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah disabitkan dengan kesalahan yang sama sepuluh tahun lalu. Pelabagai media dari seluruh serata alam mula berminat kembali untuk membuat penilaian sendiri berkaitan kes tersebut.

Namun begitu, isu tersebut tidak perlu dibahaskan oleh mana-mana pihak apatah lagi rakyat marhaen yang tidak tahu hujung pangkalnya. Biarlah pihak polis melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh professional dan seadil-adilnya. Namun begitu, meneliti kronologi atau rentetan dari peristiwa tersebut seolah-olah telah membenarkan rumusan sesetengah pihak bahawa Anwar sememangnya terlibat dalam kes tersebut.

Apabila Saiful Bukhari membuat laporan polis di Pondok Polis, Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008, Anwar dengan tak semena-mena ‘melarikan’ diri dengan memasuki Kedutaan Turki di ibu negara dengan alasan nyawanya ‘diancam’. Bagaimana, bila dan kenapa nyawanya ‘diancam’ tidak pernah diberitakan, apatah lagi untuk mengetahui siapa yang ‘mengancam’ beliau. Tiada satu laporan polis pun pernah dibuat sebelum ini tentang ‘ancaman’ tersebut samada oleh pihak peguam-peguam handal Anwar atau dirinya sendiri. Apa yang pasti, hanya beliau yang terasa ‘terancam’, Oleh apa? tidaklah dapat dipastikan. Ada yang berpendapat bahawa mungkin kerana Saiful terlalu ‘mengancam’ sehingga Anwar ‘mengancam’ beliau dan dibuat ‘macam-macam’. Akhirnya Anwar merasa ‘terancam’ oleh perbuatan tersebut. Apapun andaiannya, sehingga hari ini isu ‘ancaman nyawa’ tersebut sudah semakin dilupakan oleh Anwar sehingga beliau sudah pun boleh memberi ceramah di beberapa tempat sekitar ibu negara dalam keadaan ‘dirinya diancam’.

Mungkinkah semasa ‘ancaman’ tersebut, Anwar membayangkan bahawa beliau masih berada di Amerika Syarikat, negara kedua beliau dimana nilai satu nyawa hanyalah seperti sebiji telur atau paling tidak di Pakistan, tempat di mana Benazir Butto menemui ajalnya kerana ‘pasukan berani mati’. Macamlah keadaan politik Malaysia sudah mencapai tahap politik ‘letup meletup’ untuk mendapatkan kuasa. Mungkin juga benar kata orang, orang yang pelik sifatnya akan sentiasa berfikiran pelik.

Anwar terus menerus berusaha untuk meyakinkan rakyat marhaen bahawa beliau sebenarnya telah difitnah ‘sekali lagi’ dengan skrip yang hampir sama Cuma pelakonnya berbeza. Beliau memfailkan saman terhadap Saiful untuk menunjukkan bahawa beliau sebenarnya tidak bersalah. Saiful sengaja memfitnah beliau. Namun begitu tidak dapat dipastikan kemana perginya saman tersebut dan bila akan disebut di mahkamah.

Serangan Anwar terhadap Saiful diteruskan dengan membuat laporan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas dasar qazaf atau membuat tuduhan palsu. Mungkin peguam-peguam handal Anwar telah menasihati beliau bahawa Saiful perlu mengemukakan 4 orang saksi bagi membuktikan tuduhan tersebut. malangnya mungkin kerana kebnyakan peguam-peguam handal Anwar bukan dari mereka yang sebangsa dan seagama dengan beliau walaupun ditemani oleh seorang peguam syariah yang agak ternama, mereka telah tersalah mentafsir bahawa tuduhan qazaf tidak melitupi kes liwat, hanya terbatas pada kes zina sahaja. Pandangan peguam bahawa Anwar akan terlepas di Mahkamah Syariah kerana sudah tentu Saiful tidak akan mampu mengemukakan 4 saksi bagi menyokong tuduhan beliau sebenarnya tidak menjadi kerana tiada peruntukan untuk tuduhan liwat yang boleh digunakan.

Sikap berdolak dalik Anwar untuk memberi keterangan kepada pihak polis mengundang rasa kecurigaan yang amat tinggi. Beliau mengubah tarih memberi keterangan sehingga pihak polis terpaksa memohon waran tangkap ke atas beliau di atas keingkaran tersebut.

Akhirnya beliau ditangkap di hadapan rumah beliau sendiri kerana disyaki sekali lagi akan mengingkari tarikh yang dipersetujui.

Episod keras kepala dan angkuh dengan perlaksanaan undang-undang di pihak Anwar berulang semula apabila beliau sekali lagi tidak memberi kerjasama untuk mendapatkan sampel DNA beliau bagi membantu siasatan. Pelbagai alasan diberikan dan yang tidak munasabahnya adalah kerana kekhuatiran bahawa sampel DNA tersebut akan disalahgunakan untuk tujuan yang lain. Kalaulah benar sampel tersebut akan dimanipulasikan oleh pihak polis, adalah dicadangkan supaya pihak polis hanya mengambil sampel DNA lembu dan mengesahkan bahawa sampel tersebut adalah sampel DNA Anwar!! Mungkin juga kalau perlu disahkan bahawa sampel tersebut ada dalam ‘tusukan’ di badan Saiful. Mungkin itulah teori konspirasi yang paling tidak masuk akal dalam mana-mana kisah politik di dunia ini.

Meneliti kronologi peristiwa tersebut membuatkan rakyat marhaen terfikir, benarkah wujudnya teori konspirasi dalam isu ini? Berpuluh saksi, pekerja, pegawai polis, pegawai perubatan dan sebagainya terlibat dalam teori konspirasi tersebut. Adakah mungkin kesemua mereka ini boleh ‘disatukan’ pemikiran mereka untuk membuat rumusan bahawa telah berlaku kejadian liwat tersebut walaupun sebenarnya tidak. Mungkinkah setiap orang akan diberi satu skrip untuk dinyatakan di mahkamah sekiranya Anwar didakwa? Bagaimana nanti pihak perubatan mampu menjustifikasikan kejadian tersebut berasaskan sains perubatan? Mungkinkah kesemua mereka boleh diprogramkan untuk mempercayai kejadian tersebut benar-benar berlaku walaupun sebenarnya tidak? Berapa ramai saksikah yang akan di bawa oleh pihak pendakwa dan setakat manakah kekuatan kes tersebut pada mereka?

Persoalan-persoalan tersebut sebenarnya lebih merupakan jawapan kepada tidak mungkin wujudnya teori konspirasi dari mana-mana pihak dalam hal tersebut. Persoalan yang lebih rasional ialah apakah pihak pendakwa mempunyai cukup bukti dan saksi untuk meneruskan pendakwaan dan bagaimana mereka boleh mengenepikan pandangan teori konspirasi yang cuba diserapkan dalam pemikiran rakyat marhaen. Mereka tentunya cukup sedar bahawa bukan mudah untuk membuktikan kes tersebut tanpa keraguan yang munasabah. Sedikit kesilapan di pihak pendakwa meletakkan mereka di pihak yang kalah. Anwar akan terus dengan teori kosnpirasinya…