Friday, April 11, 2008

POLITIK "SHOPPING COMPLEX".

Cuti hujung minggu biasanya digunakan oleh semua warga kerja samada di bandar atau didesa untuk meriadahkan diri dengan pelbagai aktiviti. Ada yang menghabiskan masa bersama keluarga, saudara mara, sahabat handai dan seumpamanya. Ada yang sehari suntuk berada di rumah, berkunjung ke tasik dan mungkin ada yang suka mengunjungi pusat beli belah. Bila menyebut pusat beli belah, bagaimana agaknya kalau kita bayangkan parti politik itu sebagai sebuah pusat beli belah?

Di dalam sebuah pusat beli belah, kita boleh dapati pelbagai kedai dan ‘hypermarket’ yang menjual pelbagai produk dan dari pelbagai jenama. Ada yang menjual barang hiasan, ada yang menjual pakaian, ada yang menjual barang keperluan harian, makanan dan ada juga yang menjual minuman yang memabukkan!!. Semuanya itu ada dijual di sebuah pusat beli belah.

Kalau dinisbahkan kedai-kedai tersebut sebagai orang politik, kita akan dapati bermacam-macam idealisma dan khidmat yang ditawarkan oleh ahli-ahli politik. Harga yang perlu dibayar pula boleh dinisbahkan kepada undi yang bakal diperolehi oleh ahli politik tersebut. Harga yang mahal adalah kerana ‘pemberi undi’ tersebut mempunyai pengaruh tersendiri dalam masyarakat.

Kalau ‘disubtopikkan’ lagi kedai menjual makanan sahaja, kita akan dapati pelbagai makanan dijual. Ada makanan segera, ada masakan panas, ada nasi campur malah ada yang menjual sushi yang separuh masak!!

Begitulah juga dengan kerenah ahli politik, ada yang mewarnai politik dengan wang ringgit, menjadi ahli separuh masak yang tak faham falsafah dan perjuangan parti malah ada ahli ‘politik segera’ yang muncul di saat-saat menjelang pemilihan parti. Semuanya itu mewujudkan ‘keragaman’ produk atau dasar perjuangan mereka yang tersendiri. Ada ahli politik yang menawarkan khidmat untuk membantu dalam bentuk kewangan, ada yang membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan malah ada yang bersedia menghambakan diri pada rakyat jelata. Tak kurang juga yang berkorban masa, wang dan tenaga untuk menyumbang kepada perubahan masyarakat.

Semuanya itu menjadikan mereka unik mengikut acuan mereka sendiri dan terpulanglah kepada masyarakat untuk menilai dan menerimanya walaupun kadangkala konsep kedai tersebut memainkan peranan tersendiri untuk menarik orangramai mengunjunginya. Konsep kedai inilah yang boleh dikatakan sebagai idealisma parti.

Saiz dan standard kedai juga berbeza. Ada kedai satu pintu (lot) yang disewa tetapi dibahagi dua untuk mengurangkan kos sewa, ada kedai yang disewa untuk beberapa pintu, ada ‘hypermarket’ yang menyewa hampir satu tingkat pusat beli belah tersebut malah ada yang hanya berniaga dengan kereta sorong. Kepelbagaian ini melambangkan kedudukan dan keadaan ahli politik tersebut. Ada antara mereka adalah pemimpin besar di peringkat nasional, pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan juga cawangan.

Para jurual dan pekerja kedai mungkin boleh disamakan dengan ‘pembantu-pembantu’ atau juak-juak politik yang tidak jemu-jemu mempromosikan bos-bos mereka untuk terus kekal dalam kedudukan politik tersebut. Mereka biasanya dibayar gaji atau mendapat imbuhan dari kerja-kerja tersebut. Mungkin ada yang bekerja untuk lebih dari satu kedai malah ada yang bekerja ‘part time’ di beberapa kedai pada hari-hari tertentu!! Tetapi jangan pula nanti ada yang bekerja di pelbagai pusat beli belah pula semata-mata untuk mencari rezeki!!

Demikianlah sedikit persamaan diantara kedai-kedai di pusat membeli belah dengan ahli-ahli politik.

Melihat kepada persamaan tersebut, kedai-kedai memang sentiasa mengadakan jualan murah setiapa kali musim cuti sekolah dan perayaan lain. Pelbagai diskaun ditawarkan. Ada yang menjual produk dengan diskaun 20%, 50% malah ada yang sampai 80%. Kesemuanya berniat untuk menarik pengunjung membeli barangan di kedai mereka. Kesemuanya itu dilakukan dalam pelbagai bentuk promosi dan kaedah pemasaran.

Begitulah juga dengan ahli politik, mereka sentiasa mengadakan pelbagai tawaran, janji dan ikrar semasa ingin memancing undi terutamanya dalam musim-musim pemilihan seperti ini. Pelbagai kelebihan mereka ditonjolkan. Ada yang menonjolkan kelebihan akademik mereka, menunjukkan kekayaan dan pengaruh mereka dan ada yang bercakap soal-soal perjuangan yang mereka sendiri tidak pasti boleh dilaksanakan. Malah dalam keadaan politik negara sehari dua ini, ada yang mula menonjolkan keberanian mereka mengkritik kepimpinan untuk menunjukkan ‘keheroan’ mereka. Semuanya itu adalah berdasarkan kepada kehendak mereka untuk diterima sebagai pemimpin walau untuk apa pun tujuannya nanti.

Namun suatu perkara yang pasti dalam persamaan ini, pusat beli belah tersebut perlu mempunyai ‘added values’ untuk dinikmati oleh pengunjung. Kemudahan tempat letak kereta yang lebih murah atau mungkin secara percuma adalah satu kelebihan. Tempat yang senang dikunjungi (easy access) juga merupakan sebab besar kenapa puat beli belah tersebut sentiasa di ingati oleh pengunjung. Kemudahan panggung wayang yang boleh meredakan ketegangan fikiran juga mungkin ada kelebihannya belum termasuk lagi pelbagai pusat-pusat rekreasi yang lain. Bagi pengunjung beragama Islam misalnya, tempat sembahyang yang selesa juga mungkin diperlukan disamping ada yang mengharapkan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan juga tempat untuk para ibu menyusukan anak.

Kesemua nilai tambah tersebut yang dicampur dengan kepelbagaian kedai yang menawarkan produk yang boleh menarik minat masyarakat untuk mengunjungi dan membelinya akan menjadikan pusat beli belah tersebut sentiasa diingati.

Soalnya sekarang, apakah UMNO telah menepati dan menyediakan masyarakat dengan kelebihan-kelebihan tersebut? Sekiranya kesemuanya sudah disediakan tetapi sekarang tidak juga mendapat sambutan, rasanya UMNO perlu kaji juga di mana kelebihan pusat beli belah lain atau mungkin menjengok-jengok juga pekedai-pekedai kita yang mungkin tidak ‘friendly user’. Manalah tahu ada yang menjual produk tanpa ada ‘after sale service’ yang menyebabkan pembeli ditinggalkan berseorangan bila menghadapi masalah. Atau mungkin produk yang dijual di kedai-kedai dalam pusat beli belah tersebut sudah ketinggalan zaman? Atau mungkinkah pekedai kita kadang-kadang dilihat sombong dan berlagak seperti pekedai kaya? Mungkinkah pusat beli belah tersebut perlu di 'renovate' dan dicat semula supaya melambangkan imej baru? Serba kemungkinan inilah yang perlu diperhalusi sebenarnya. Hanya pengunjung yang boleh menilainya. Jangan nanti para pengunjung tetap kita mula meninjau-ninjau pusat beli belah lain pula. Takut-takut mereka terpikat pula dengan gaya dan kelebihan pusat beli belah tersebut. Mana tahu kita mungkin kehilangan pengunjung lagi!! Atau lebih tepat kita kehilangan pengundi lagi …

Jangan jadi KUCABAGHA.

1 comment:

ejoe said...

salam bro,

Ibarat shoping complex..
adus letih ni nak kena buat "survey" dulu..."compare harga"..."quality barangan"..."quality services" n "check budget" sebelum "membeli belah".

Kena yg perempuan plak window shoping 3 jam...ntah2 satu barang pon tak berkenan!...

Tp itulah realiti....


hidup "shoping complex" UMNO!