Wednesday, April 16, 2008

ANTARA 'KITCHEN CABINET & 'BEDROOM CABINET'

Pak Lah akan berhenti dalam satu proses peralihan kuasa yang akan ditentukan kemudian. Demikianlah bunyi dentuman janji UMNO untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap parti tersebut. Bunyinya agak pelik walaupun tidak mengejutkan. ‘Pelik’ kerana Pak Lah yang ‘berasa tidak tertekan’ tetapi kemudiannya mengakui menyumbang kepada kekalahan teruk BN dalam Pilihanraya lalu tiba-tiba memperakui proses peralihan kuasa tersebut.

‘Tidak mengejutkan’ kerana Pak Lah sentiasa ‘full of surprises’. Beliau menafikan pembubaran Parlimen sehari sebelum dibubarkan dan melantik semula Shahrizat Ab Jalil sebagai Penasihat bertaraf menteri selepas beberapa hari beliau membuat kenyataan tidak akan melantik mana-mana calon yang kalah dalam pilihanraya lalu dalam kerajaan.

Walaupun apa gambaran yang ingin diberikan oleh Pak Lah kepada rakyat marhaen, persoalan besar masih lagi berkisar kepada bila tarikh peralihan kuasa tersebut akan bermula dan sampai bila Pak Lah akan terus berkuasa? Ada yang membayangkan peralihan tersebut memakan sedikit masa sehingga 2010, ada yang meramalkan peralihan tersebut akan berlangsung selepas pemilihan UMNO akhir tahun ini malah ada yang masih percaya Pak Lah hanya akan berhenti selepas pilihanraya umum ke 13 nanti (PRU). Ada suara-suara nakal yang mengatakan Pak Lah memang ‘kaki bohong’ dan akan melihat keputusan PRU 13 nanti, sekiranya BN menang besar semula Pak Lah akan terus berada di tampok kuasa.

Apapun pemikiran, telahan dan pandangan rakyat marhaen, isu peralihan kuasa bukan hanya perlu dilihat dalam konteks bila Pak Lah akan berhenti. Fokus utama sepatutnya pada siapa selepas Pak Lah? Mungkin juga perlu dikaji kenapa Pak Lah perlu berhenti?

Pemerintahan Pak Lah dilihat oleh rakyat sebagai ‘pemerintahan anak beranak’ atau lebih tepat lagi digambarkan sebagai ‘kitchen cabinet’. Beliau dikatakan dikawal oleh anak menantu beliau dalam melaksanakan pentadbiran kerajaan. Khairy Jamaludin dikatakan cukup berkuasa sehingga boleh menetukan jatuh bnagun seseorang ahli politik dan di tempat mana mereka akan ditempatkan. Penguasaan projek-projek mega kerajaan di kawal oleh Khairy dan iparnya Kamaludin. Dasar-dasar dan keputusan kerajaan dinasihatkan oleh Khairy dengan bantuan rakan-rakan ‘punahsihat’ Tingkat 4.

Itulah gambaran dan persepsi yang diterima oleh rakyat marhaen walaupun tiada satu pun pernah dibuktikan secara jelas. Yang nyata, itulah pemikiran rakyat. Pelbagai perencah dan manisan ditambah untuk menyedapkan cerita tersebut dengan pelbagai tokok tambh bahawa Khairy memonopoli semua projek besar kerajaan, mendapat permit teksi berjumlah ribuan angka dan mendapat pengagihan saham-saham yang pelbagai. Semuanya kecuali kes ECM Libra tidak pernah didedahkan secara bertulis kepada umum. Yang kita dengar adalah cerita-cerita dari mulut ke mulut yang Khairy mendapat itu dan ini. Ironinya kita tidak pernah pun melihat bukti-bukti tersebut. Ahh, politik melayu!!!

Namun itulah dunia politik. “He must not only be clean but must be seen to be clean”. Semua itu adalah berasaskan persepsi dan persepsi adalah apa yang dilihat oleh rakyat marhaen. Pembuktian dan kebenaran kadang-kadang bukan mudah untuk mendapat tempat.

Mungkinkah Pak Lah dan Khairy adalah mangsa keadaan persepsi tersebut? Mungkin sedikit sebanyak ada benarnya dan mungkin juga mereka memang begitu.

Peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib sebagaimana sepatutnya adalah sesuatu yang menarik juga untuk dilihat dari sudut persepsi. Peralihan kuasa adalah kerana ‘kegagalan’ Pak Lah yang dilihat lembik, dikongkong oleh anak menantu dan tidak cerdik kerana dinasihatkan oleh ‘budak-budak pandai tapi tidak bijaksana di Tingkat 4’. Itulah isu sebenar peralihan kuasa yang ditambah dengan kekecewaan besar BN dalam pilihanraya lalu. Semua pihak mula menuding jari pada Pak Lah walaupun sebelumnya merekalah yang mahu berkerat rotan dengan Dr Mahathir dalam isu kritikan terbuka beliau.

Najib Razak adalah tokoh terbilang yang lahir dalam ‘baloh padi’ sehingga menjadi antara Ahli Parlimen termuda di zamannya. Ketokohan beliau memang tidak dapat dinafikan walaupun beliau bukannya datang dari pemimpin yang sentiasa ‘berlawan’ untuk mendapat tempat. Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda selepas Anwar Ibrahim adalah atas dasar ‘peralihan kuasa’ juga. Kesediaan bertanding jawatan Naib Presiden dalam pakatan Team Wawasan juga bukan satu persaingan yang sengit dalam gelombang politik semasa apatah lagi perlantikan beliau sebagai Timbalan Presiden yang mendapat ikhsan Pak Lah atas rekomen Dr Mahathir.

Apapun rentetan kronologi tersebut, rakyat marhaen telah mula menunjukkan kebimbangan kalau Najib menggantikan Pak Lah. Sudah ada suara-suara sinis yang menggambarkan Najib akan mengamalkan ‘bedroom cabinet’ selepas Pak Lah dengan ‘kitchen cabinet’. Rakyat sudah mula bercakap tentang ‘kekuasaan’ yang dimiliki oleh Rosmah terhadap Najib. Telah ada penulisan-penulisan yang membayangkan “Perdana Menteri wanita De Facto yang pertama di Malaysia” akan wujud selepas ini. Telah ada suara-suara kebimbangan bahawa pemerintahan Najib nanti campur tolak adalah lebih kurang dengan apa yang berlaku sekarang walaupun ‘ahli korum’nya mungkin berbeza.

Rakyat marhaen tentunya tidak mahu melihat contoh dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bilamana “Presiden De Jure” terpaksa mendapat nasihat di bilik tidur dari “Pemimpin De Facto”. Menambahkan kegelisahan rakyat yang berfikir, Pemimpin De Facto tersebut tidak pernah pun diisytiharkan sebagai ahli parti PKR walaupun selepas beliau bebas dari belenggu larangan berpolitik. Malangnya negara kalau mendapat pemimpin seperti ini. Mendapat nasihat dari seorang ‘orang luar’ yang mahu berkuasa tanpa menerima sepenuhnya ideologi parti. Entah-enatah beliau dah pun dapat PR dari negara polis dunia. Siapa tahu?

Rakyat marhaen mahu melihat seorang Perdana Menteri yang berwawasan, berani dan mempunyai idea sendiri. Najib mungkin mampu melakukannya berdasarkan ‘track record’ dan pengalaman beliau namun sesuatu yang beliau perlu usahakan sekarang ialah menepis persepsi buruk yang telah ditanamkan pada rakyat.

Sekiranya persepsi tersebut masih membelenggu sebelum dan semasa pemerintahan beliau nanti, mungkin Muhyidin sudah perlu bersedia mengambilalih pemerintahan. Tetapi mungkinkah Muhyidin juga ada dibelenggu persepsi lain pula? Habis, siapa yang sesuai?

Jangan jadi KUCABAGHA.

No comments: