Tuesday, April 1, 2008

BERBALOIKAH PINDAAN KUOTA?

Kenyataan Timbalan Presiden UMNO bahawa peratus pencalonan minima untuk melayakkan diri bertanding jawatan tinggi dalam UMNO memberi sedikit harapan ke arah penyusunan semula organisasi UMNO dalam proses demokrasi sejati.

Kenyataan tersebut walaupun bukan berbentuk jawapan pasti tentang kemelut demokrasi dalam UMNO tetapi memberi sedikit harapan bahawa demokrasi masih dan sedang dipulihkan. Apapun keputusan muktamad yang bakal dibuat memberi gambaran bahawa suara dan laungan rakyat marhaen semakin didengari dalam UMNO walaupun belum tentu dituruti.

UMNO semakin matang dan diharap semakin bijak dalam menentukan apa yang tebaik untuk parti tersebut terutamanya selepas PRU 12 yang lalu. Kelemahan dan kekalutan yang berlaku pasca PRU 12 itu seharusnya perlu di jadikan teladan untuk bergerak ke arah yang lebih tersusun dan dimahukan oleh rakyat.

Kuota minima pencalonan adalah antara perkara besar yang dilihat masih menjadi perbahasan rakyat marhaen. Kajian secara rambang mungkin menunjukkan bahawa kuota tersebut perlu dihapuskan untuk menyesuaikan dengan keadaan politik semasa. Namun ada juga yang merasakan bahawa ianya penting untuk dipertahankan demi untuk menjaga kestabilan parti. Walau apapun hujah dan alasan yang mungkin boleh diberikan, natijah utamanya adalah supaya UMNO terus kekal sebagai parti yang demokratik, bebas dan terbuka.

Apa sekalipun keputusan yang bakal ditentukan dalam isu tersebut seharusnya menjurus kepada memberi gambaran kepada umum terutamanya golongan muda bahawa UMNO masih relevan dalam persekitaran politik Malaysia. Tiada gunanya sebarang pindaan dilakukan oleh parti sekiranya UMNO makin tidak diterima oleh rakyat marhaen. Isu sebenar bukan pada keperluan pindaan tersebut tetapi lebih kepada menarik rakyat kembali kepada UMNO dan menwarkan persekitaran demokratik dalam berpolitik.

Tugas berat menanti pimpinan UMNO adalah menentukan apakah pindaan tersebut akan memberi keuntungan kepada parti? Sekiranya desakan tersebut sekadar untuk memberi peluang kepada sesetengah individu bertanding jawatan parti, bolehkah ianya diterima oleh rakyat? Bolehkah satu dari agenda pemulihan parti dilaksanakan melalui pindaan tersebut?

UMNO sebenarnya memerlukan lebih dari sekadar pindaan perlembagaan untuk memulihkan keyakinan rakyat. Mentaliti dan tahap pemikiran ahli juga perlu di ‘program’kan semula. Jika kita berada dalam kelompok masyarakat marhaen di peringkat bahagian atau cawangan UMNO dan menyatakan hasrat untuk bertanding mana-mana jawatan di peringkat tersebut, soalan pertama yang akan diutarakan adalah “Duit ada tak?”. Ini memberi gambaran bahawa mana-mana penjawat jawatan dalam UMNO perlu berduit untuk diterima sebagai pemimpin.

Apakah itu kriteria utama pemimpin? Bagaimana dengan mereka yang tidak berduit tetapi memiliki idealisma dan komitmen perjuangan yang tinggi? Mungkinkah mereka akan terpinggir kerana ‘status’ tersebut yang sengaja diwujudkan oleh ahli peringkat bawahan? Mungkinkah suatu masa nanti pemimpin UMNO hanyalah terdiri dari mereka yang berduit? Berbezakah pimpinan mereka dengan mereka yang tidak berduit?

Persoalan besar yang sentiasa berlegar di peringkat bawahan ini perlu juga ditangani oleh pimpinan UMNO sekarang. UMNO mungkin memerlukan golongan professional untuk membantu parti dalam kepimpinan tetapi status ‘berduit’ tidak sepatutnya dijadikan kriteria utama di peringkat mana sekalipun. Jangan nanti pimpinan muda UMNO masih dilihat ‘kaki kontrak’ dari memperjuangkan idealisma sebenar parti. Pemimpin ‘segera’ yang hanya datang setiap kali pemilihan seperti inilah yang sebenarnya merosakkan parti dan rakyat bawahan yang termakan dengan ‘salam hulur’ inilah yang bersekongkol dengan mereka. Parti akhirnya lesu dengan ketiadaan program dan sentuhan bersama masyarakat. Jadi apa perlunya UMNO pada masyarakat umum?

Perlu diingatkan kepada semua ahli dan pendokong UMNO bahawa walau apapun istilah yang digunakan untuk memulihkan UMNO di mata masyarakat, persoalan besar adalah mampukah ianya menarik semula sokongan masyarakat kepada UMNO? Istilah reformasi dalaman, revolusi, pemulihan dan sebagainya tidak berguna tanpa mencapai objektif utama tersebut. Ahli UMNO boleh beremosi dalam mendesak perubahan tetapi berbaloikah perubahan tersebut untuk menjadikan UMNO sentiasa relevan?

Jangan jadi KUCABAGHA.

No comments: