Tuesday, May 6, 2008

REFORMASI DALAM UMNO = KHAYALAN?

Seorang rakan yang sekarang ini merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian di sebuah negeri di Pantai Timur bercerita tentang betapa susahnya semasa beliau memohon untuk menjadi ahli UMNO. Beliau merupakan graduan dari luar negeri yang pada masa berkenaan baru saja menghabiskan pengajian terpaksa mengisi borang permohonan sebanyak 6 kali dalam masa lebih dari setahun disamping pelbagai usaha dilakukan untuk mendaftar diri sebagai ahli. Beliau terpaksa menguruskan sendiri permohonan beliau sehingga ke peringkat ibupejabat UMNO.

Ketua cawangan tidak menerima permohonan beliau malah pernah borang permohonan yang dihantar melalui cawangan tidak dihantar untuk diproses manakala ketua bahagian pula tidak mengendahkan permintaan untuk berbuat sesuatu. Mungkin ketua bahagian hanya mendengar penerangan dari ketua cawangan berkenaan dan memutuskan untuk tidak berbuat apa-apa terhadap permohonan tersebut. Pada masa berkenaan, rakan tersebut merasakan bahawa UMNO bukannya parti politik yang beliau agungkan selama ini, namun kerana semangat dan motivasi yang tinggi, beliau berusaha menjadi ahli sehingga akhirnya beliau berjaya. Susahnya menjadi ahli UMNO bagi beliau.

Beliau bercerita bagaimana seorang ketua cawangan boleh mensabotaj permohonan hanya dengan menarik keluar salinan kad pengenalan yang dihantar bersama borang permohonan walaupun duit yuran disertakan. Tektik sabotaj permohonan dalam diam seperti ini mungkin telah banyak berlaku malah mungkin berlaku di mana-mana cawangan atau bahagian. Mungkin ianya bukan satu kes terpencil (isolated case). Mungkin juga ianya sudah menjadi rahsia umum (public secret) bilamana orang baru ingin menjadi ahli UMNO.

Cerita rakan tadi bukan pertama kali didengari malah kes beliau mungkin yang ke berapa ribu kali berlaku ke atas permohonan baru terutamanya dari golongan professional. Soalnya kenapa perkara ini boleh berlaku? Adakah golongan professional dan berpendidikan merupakan satu ancaman kepada UMNO? Atau sekadar ancaman kepada ketua cawangan atau Bahagian demi menjaga status quo mereka?

Rakan tadi bercerita bagaimana ketua cawangan atau bahagian boleh menggunakan kedudukan mereka untuk menidakkan pembayaran yuran yang kemudian tidak melayakkan seseorang ahli dari menyertai mesyuarat cawangan malah ada cawangan yang boleh diisytihar tidak layak mengadakan mesyuarat tahunan atas sebab-sebab tertentu. Kesemua tektik sabotaj ini merupakan sesuatu yang biasa berlaku terutamanya semasa musim-musim pemilihan dalam parti. Tidak diketahui pula berapa ramai ahli-ahli yang telah tidak bernasib baik seperti ini kerana berketuakan seorang yang takut kepada proses demokrasi, namun kesannya amat mendalam kepada golongan muda dan professional untuk tdak menyertai UMNO dan memilih untuk bersama parti lawan.

Mungkin bagi seorang ketua cawangan atau bahagian, kalau seorang pengundi tidak menyertai UMNO, sepuluh lagi yang akan mendaftar sebagai ahli. Masalahnya, siapa ahli tersebut? Adakah sama ahli yang bekerja sebagai penoreh getah dengan seorang peguam? Adakah sama seorang guru dengan seorang tukang kebun sekolah? Memang tidak dinafikan dari segi undi, ianya tidak berbeza tetapi bagaimana dari segi idea dan pendekatan?

Memang UMNO parti pelbagai ragam dan ahlinya terdiri dari pelbagai status dan kedudukan tetapi dalam dunia global ini, pendidikan memainkan peranan penting untuk menentukan kelansungan progresif sesebuah parti politik. Parti yang ketinggalan dari segi idea dan perubahan tidak akan menarik minat golongan muda untuk menyertainya. Parti yang menawarkan keterbukaan dan idea yang lebih terkedepan akan lebih diterima terutamanya dari golongan muda. Apakah UMNO parti yang sedemikian sifatnya? Biarkan ketua-ketua cawangan atau bahagian yang menjawabnya kerana ditangan merekalah letaknya masa depan dan untung nasib parti di masa hadapan. Biarkan mereka menilai sendiri apakah akan jadi kepada UMNO. Biarkan mereka ketahui bahawa salah satu penyebab utama kekecewaan UMNO dalam PRU 12 lalu adalah kerana orang muda yang tidak lagi bersama perjuangan UMNO.

UMNO sememangnya parti yang kuat dan teguh dengan keahlian lebih dari 3 juta orang. UMNO sememangnya parti yang kukuh bertahan selama lebih dari setengah abad dan menerajui sebuah negara yang semakin maju semenjak dari awal kemerdekaannya. UMNO adalah wadah dan pejuangan orang Melayu di Malaysia. UMNO adalah pembela masyarakat bumiputera dan pemberi agihan yang adil kepada kaum-kaum lain di Malaysia. UMNO adalah parti yang jelas perjuangannya. Mampukah UMNO mempertahankan semua ini kalau pemimpinnya di peringkat cawangan dan bahagian masih bermentaliti tahun 80an? Mampukah UMNO menjadi peneraju demokrasi dengan pemimpin yang berfikiran feudal?

Namun demikian, diharapkan bulan Julai nanti akan menentukan bagaimana UMNO akan terus ditadbir untuk melangkah ke masa depan. Mungkin Bulan Oktober nanti akan menentukan bagaiamana tahap kesedaran dan kepekaan ahli-ahli UMNO terhadap masalah dalaman UMNO? Mungkin bulan Disember nanti menentukan apa yang akan terjadi kepada UMNO 5 tahun akan datang? Mungkinkah UMNO akan terus membina keyakinan semula dan membaiki kelemahan-kelemahan tadi? Mungkinkah UMNO sememangnya sedemikian dan terus retak menanti rebah? Biarkan perwakilan UMNO yang bernasib baik kerana dapat menjadi ahli sahaja yang menjawabnya. Biarkan mereka menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menentukan jatuh bangun UMNO. Jangan nanti UMNO mengundur ke belakang manakala parti lain terus ke hadapan.

Jangan jadi KUCABAGHA.

No comments: