Tuesday, April 29, 2008

RELEVAN LAGIKAH ANNUAR MUSA?

Tahniah diucapkan kepada Sdr Sazmi Miah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Machang di Kelantan kerana keberanian beliau meminta Annuar Musa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut. Ucapan tahniah tersebut diberikan kepada Sazmi, bekas Ahli Parlimen Machang yang kalah kepada ‘calon luar’ dalam pilihanraya lalu bukan kerana bersetuju dengan desakan tersebut tetapi lebih kepada keberanian beliau sebagai ahli pemuda yang sudah tidak lagi ‘memegang telur’ sebagaimana biasa. Kenyataan keras Sazmi yang kemudiannya disiarkan melalui akhbar arus perdana adalah sesuatu yang telah lama dinantikan oleh rakyat marhaen.

Kenyataan tersebut menandakan bahawa demokrasi dalam UMNO telah dihidupkan kembali. Pemuda UMNO sebelum ini dilihat lebih kepada pergerakan lesu akibat kekeliruan fokus dalam perjuangan mereka. Pemuda lebih dilihat sebagai ‘kaki projek’ yang mengharapkan bantuan kerajaan melalui pak-pak menteri sebagai pertukaran sokongan politik. Pemuda dilihat tidak bermaya, tidak fokus, tidak prihatin malah tidak berfakta untuk menjawab tomahan dan hujah pihak pembangkang. Ada di kalangan pemimpin pemuda UMNO bahagian di Kelantan yang hanya mampu melaksanakan kurang dari 10 program sepanjang 4 tahun memimpin pemuda bahagian. Program-program lain adalah menempel kepada program orang lain yang kemudiannya diisytiharkan sebagai program pemuda bahagian untuk dilaporkan di peringkat pusat. Ada pemuda bahagian yang hanya mampu mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemuda bahagian kurang dari bilangan jari tangan!.

Fokus utama sebahagian dari mereka adalah bagaimana untuk mendapat projek, apa kereta yang perlu dipakai sesuai dengan ‘status’ sebagai ketua pemuda bahagian dan banyak mana duit perlu disimpan untuk masa depan. Tidak hairanlah ada yang mampu menukar kereta Proton Saga menjadi Mercedez yang tidak mungkin mampu dimiliki dengan pendapatan sendiri. Bertuahnya menjadi pemimpin pemuda UMNO bahagian!.

Namun, beberapa hari lepas Sazmi membuktikan bahawa pemuda sebenarnya masih mewakili suara rakyat marhaen yang mahu melihat UMNO terus bertapak kukuh dalam politik negara. Keberanian beliau memulakan ‘penentangan’ terbuka terhadap seorang tokoh besar di peringkat negeri dan nasional tentunya menarik untuk diamati oleh rakyat marhaen. Kenapa Sazmi berbuat demikian? Sazmi tentunya sedar bahawa Annuar bukanlah tokoh politik kampungan. Sazmi tentunya sedar bahawa Annuar bukanlah sebarang pemimpin politik di Kelantan.

Annuar Musa adalah seorang tokoh muda yang diangkat selepas BN Kelantan ditewaskan dalam pilihanraya umum 1990. Beliau bukan sahaja diangkat sebagai senator malah dilantik sebagai menteri kabinet dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang memiliki hampir sepenuh kuasa Pengerusi dalam usia kurang dari 40 tahun. Kehebatan beliau berpidato dan mematahkan hujah lawan tidak perlu dipertikaikan lagi. Perancangan dan strategi beliau memang dikagumi malah ke’handsome’an beliau menjadikan beliau pemimpin yang memiliki pakej penuh.

Namun beliau juga tidak bertahan lama dalam politik. Menang kalah silih berganti dalam karier politik beliau disamping diselaputi pelbagai isu peribadi. Kekalahan terbaru beliau di Parlimen Ketereh dalam pilihanraya yang lepas membuatkan kita mula berfikir, relevan lagikah Annuar Musa dalam politik Kelantan?

Pencapaian BN negeri sepanjang berada di bawah kekuasaan beliau nampaknya tidak banyak yang boleh dibanggakan walaupun beliau hampir berkuasa penuh semasa Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dipegang oleh Dr Mahathir Mohamad, Presiden UMNO semasa itu.

Ada yang melihat Annuar memang tidak mahu BN menang di Kelantan pada masa berkenaan untuk mengekalkan kedudukan beliau sebagai satu-satunya ketua di negeri tersebut. Ada yang melihat bahawa Annuar ingin berkuasa penuh terhadap semua projek pembangunan di negeri tersebut yang perlu disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang beliau menjadi ‘Menteri Besar’nya. Ada yang melihat bahawa dengan ketiadaan kerajaan negeri, sebarang projek pembangunan di negeri tersebut perlu dirujuk kepada UMNO atau BN yang beliau ketuai. Ada yang melihat Annuar mengamalkan politik ‘divide and rule’ di sesetengah UMNO bahagian malah beliau dikaitkan dengan percaturan pemilihan UMNO di peringkat bahagian dalam negeri tersebut. Apapun teori dan andaian rakyat marhaen, Annuar telah diberi sepenuh masa dan kebebasan mencatur UMNO negeri.

Pelbagai teori dikemukakan tetapi isu yang tidak boleh dinafikan adalah Annuar sebenarnya telah lama mengetuai BN negeri dan bukan hanya pada PRU 12 yang lepas sebagaimana yang dilihat oleh kebanyakan orang. Apapun kedudukan tersebut, Annuar sebenarnya telah gagal dalam mengembalikan Kelantan ke tangan BN. Kemukakan pelbagai alasan dan hujah tetapi yang pasti rekod pencapaian terbaik BN Kelantan hanyalah dalam PRU 11 semasa Tok Pa menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Itulah fakta yang tidak boleh ditandingi oleh Annuar Musa. Kalau begitu halnya, perlukah Annuar dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri?

Tidak ada lagikah pemimpin UMNO negeri di Kelantan yang boleh diketengahkan sebagai Pengerusi yang baru? Tidak mungkinkah Awang Adek mengetuai UMNO negeri kerana kekalahan beliau dalam PRU lalu? Mungkinkah Tok Pa perlu menyambung semula tanggungjawab mengambil alih Kelantan dari PAS? Mungkinkah tokoh baru Kelantan, Haji Alwi diberi kesempatan membuktikan keupayaan beliau? Mampukah Alwi menyisihkan dirinya dari imej Annuar?

Kenyataan Annuar beberapa hari yang lepas yang menyatakan kesediaan mengundur diri dari jawatan Pengerusi Badan Perhubungan perlu dilihat dalam konteks positif. Memang ada yang mempertikaikan kenyataan tersebut lebih kepada ‘test market’ untuk Annuar melihat pelbagai reaksi tetapi mungkinkah Annuar juga telah sedar bahawa masa beliau telah berlalu? Mungkinkah UMNO memang memerlukan perubahan di setiap peringkat? Mungkinkah UMNO perlu kepada generasi yang lebih muda? Mungkinkah semua ketua bahagian yang telah lama berada di puncak kuasa perlu mengundur diri secara terhormat demi kebaikan UMNO? Pilihan menentukan kedudukan tersebut berada di tangan ahli UMNO. Jangan sampai rakyat marhaen menghukum UMNO lagi!.

Jangan jadi KUCABAGHA.

Monday, April 28, 2008

SELAMAT TINGGAL PANCA WARISAN

Sekali lagi politik perkauman diungkit kembali. Kali ini rentetannya adalah kerana sebilah keris yang dinamakan Panca Warisan. Keris yang ditempah khas dengan pelbagai kesenian dan keindahan kerja tangan Melayu secara turun temurun dan sepatutnya digunakan dalam setiap Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sebagai lambang Melayu dilihat akan berkubur dengan permohonan maaf seorang Ketua Pemuda yang sepatutnya menjulang nama Melayu. Keris yang menjadi lambang Melayu tersebut akan diarkibkan sebagai sebahagian dari kompromi politik perkauman ke atas kaum Melayu yang sentiasa beralah. Kemasukan keris ke dalam sebuah arkib melambangkan betapa dayusnya bangsa Melayu dalam mempertahankan maruah sendiri. Betapa mudahnya kita mengalah kepada tekanan dan tohmahan kaum lain. Sampai bila agaknya Melayu akan terus mengalah di bumi sendiri?

Tidak dapat dipastikan kenapa Ketua Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda BN secara tiba-tiba memohon maaf secara terbuka di atas perlakuan penuh tertib beliau mencium keris dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang lalu. Ada yang mengaitkan perbuatan mohon maaf kerana dikatakan perbuatan mencium dan menjulang keris itulah yang menyebabkan prestasi BN merudum dalam pilihanraya lalu. Ada yang mengaitkan perbuatan mohon maaf itu kerana desakan dari Khairy Jamaludin, Naib Ketua Pemuda UMNO dan BN sendiri yang dikaitkan dengan prestasi buruk BN dalam pilihanraya tersebut yang mahu mengheret sama Ketua Pemuda untuk berkongsi saham kekalahan. Ada yang mengatakan bahawa permohonan maaf tersebut adalah perlu bagi meredakan kemarahan kaum cina terhadap perbuatan tersebut. Ada yang melihat bahawa Hishamuddin tidak tahan dengan tekanan politik Pemuda MCA dan GERAKAN.

Apapun sebab dan alasan mohon maaf tersebut yang cuba difikirkan oleh rakyat marhaen, perlu kita tahu adakah ketertiban Hishamuddin mencium dan menjulang keris adalah penyebab sebenar kaum cina menolak BN dalam pilihanraya yang lalu. Kenapa kaum cina menolak BN? Apakah kerana perbuatan tersebut dianggap biadap? Apakah Pemuda UMNO mengancam keselamatan dan keharmonian kaum lain? Dalam bentuk apakah ancaman tersebut? Adakah perbuatan tersebut dianggap melancarkan perang terhadap kaum lain di Malaysia? Apakah isu keris sahaja alasan dan sebab penolakan kaum cina terhadap BN? Atau adakah Hishamuddin sebenarnya kambing hitam yang terpaksa dikorbankan oleh Pemuda MCA atas kegagalan mereka mempengaruhi kaum cina? Permainan politik menuding jari kepada orang lain ini akan menggugat keharmonian dan keutuhan dalam BN, apatah lagi melibatkan kebudayaan dan warisan sebuah bangsa lain.

Apakah salah bagi kaum Melayu menjulang sebilah keris yang telah menjadi budaya orang Melayu sejak berzaman lamanya? Kalaulah menjulang keris tersebut mengancam keharmonian kaum lain, nampaknya UMNO terpaksalah mengubah lambang keris pada logo UMNO kepada lambang songkok kerana songkok telah pun diterima oleh wakil rakyat berbangsa cina semasa upacara mengangkat sumpah di dewan negeri. Apakah begitu sekali kompromi politik Melayu sehingga terpaksa meninggalkan warisan sendiri untuk dilihat lebih sensitif terhadap bangsa lain? Kalau begitu sifatnya, nampaknya pengantin Melayu masa akan datang akan bersanding dengan berkot dan bertali leher. Tiada lagi persalinan Melayu yang lengkap bertanjak dan berkeris. Takut nanti majlis kahwin akan dianggap majlis melancar perang terhadap kaum cina. Mungkin majlis tersebut bukan lagi ‘majlis serangan antara jantina’ tapi majlis serangan antara kaum. Manalah tahu!!

Kalaulah dikatakan mencium keris mengancan keselamatan kaum lain, nampaknya Sultan-sultan Melayu dan Yang Dipertuan Agung perlu meminta maaf secara terbuka juga kepada kaum cina kerana mencium keris pada majlis pertabalan mereka. Kalau mencium keris itu meruntuhkan keharmonian kaum, maka seluruh kaum Melayu terpaksa memohon maaf kepada kaum cina kerana sebahagiannya menjadikan keris sebagai hiasan di dinding-dinding rumah mereka. Manalah tahu nanti kaum cina tidak berani lagi menziarahi rumah orang Melayu kerana keris adalah lambang keganasan dan ancaman perang. Manalah tahu perkataan keris juga perlu dibuang dari Kamus Dewan kerana ditakuti menakutkan bangsa lain.

Rakyat marhaen masih bertanya dimanakah toleransi dan persefahamn kaum di kalangan kaum cina? Apakah toleransi kaum ini hanyalah berfokus kepada Melayu terpaksa melupakan adat resam dan budaya sendiri untuk dilihat lebih terbuka? Apakah toleransi kaum ini berbentuk satu hala sahaja?. Bagaimana pula kalau orang Melayu mempersoalkan Tarian Naga kaum cina sebagai mengancam keharmonian dan keselamatan orang Melayu? Mungkinkah mercun dan dentuman bunyian semasa Tarian Naga yang kononnya untuk menghalau hantu boleh ditafsirkan oleh orang Melayu sebagai mesej memulakan serangan kepada bangsa Melayu? Adat dan budaya sesuatu kaum yang kemudiannya ditafsirkan mengikut kefahaman kaum lain adalah perkembangan yang cukup tidak sihat dalam sebuah negara pelbagai kaum. Apatah lagi mencampuri urusan adab dan budaya kaum lain.

Kalaulah benar kaum cina tersinggung dengan isu keris, di mana peranan Pemuda MCA dan GERAKAN untuk menjelaskan isu tersebut kepada kaum cina? Di mana cerdik pandai dan kalangan elitis MCA dan GERAKAN semasa isu tersebut perlu difahamkan kepada kaum mereka? Apa yang telah mereka lakukan untuk memperbetulkan kesalahfahaman tersebut? Berjayakah mereka? Kalau isu tersebut masih menghantui kaum cina, makanya Pemuda MCA dan GERAKAN lah yang sebenarnya gagal berperanan dalam konteks BN.

Kenapa diletakkan kegagalan sendiri kepada orang lain? Persoalan besar ialah bagaimana memberi kefahaman kepada kaum cina dalam isu tersebut, bukan mencari siapa yang perlu dikambing hitamkan.

Rakyat marhaen memandang bahawa Hishamuddin mungkin berjiwa besar kerana mampu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan BN dalam pilihanraya lalu, namun perlukah beliau berbuat demikian? Beliau disaran melihat kepada Negara Arab Saudi yang sentiasa diberi tekanan dalam pelbagai bentuk oleh puak Yahudi, namun sampai sekarang bendera rasmi kerajaan Arab Saudi masih berlambangkan pedang. Apakah pedang bukan lambang peperangan?

Jangan jadi KUCABAGHA.

Tuesday, April 22, 2008

APA KABO DERIH JUSOH?

Kacau dalam cawan tentang pemilihan dan perlantikan Menteri Besar (MB) Trengganu telah selesai. Paling tidak, majlis angkat sumpah dan ‘merasmikan’ pejabat baru selepas PRU 12 telah sempurna dilakukan. Ahmad Said telah memulakan kerja-kerja beliau sebagai MB dan Idris Jusoh telah kembali semula ke tanah tumpah darah beliau di sempadan Trengganu - Kelantan.

Namun rakyat marhaen masih tertanya-tanya, itu sajakah penyelesaian isu tersebut? MB lama diganti dan MB baru ambil alih? Bagaimana agaknya nasib Idris Jusoh? Bagaimana beliau akan menghadapi rakan-rakan YB lain yang pernah menerima arahan dari beliau? Bagaimana beliau akan menghadapi rakyat Trengganu keseluruhannya. Mungkin perkara ini kecil tetapi impaknya pada diri dan kredibiliti beliau amat besar. Kita mungkin menganggap isu ini remeh tetapi bekas MB dari parti BN perlu juga diletakkan di tempat yang sewajarnya. Walaupun apa dosanya, beliau perlu dimuliakan juga, sekurang-kurangnya sebagai tanda penghargaan dan terimakasih. Mungkin sesuatu perlu dilakukan atau mungkin juga sudah tiba masanya isu ini dilupakan? Mungkinkah semua pihak perlu membuka buku baru?. Atau mungkinkah Idris sudah tidak relevan lagi?

Bagi rakyat marhaen, apa pun yang berlaku samada kepada MB lama mahupun yang baru, satu perkara yang mungkin perlu kita renung bersama ialah apakah semua idea, dasar dan projek-projek pembangunan fizikal yang diilhamkan sepanjang Idris Jusoh menjadi MB perlu di kaji semula? Apakah sudah menjadi trend dalam masyarakat Malaysia mengkaji semula keputusan yang telah dipersetujui bersama antara pemimpin terdahulu dengan anggota pentadbirannya sebaik sahaja pertukaran kepimpinan berlaku?

Lihat sahaja contoh pembatalan ‘jambatan indah’ di Tambak Johor yang ditarik balik selepas pertukaran kepimpinan di peringkat pusat? Begitu juga dengan isu jambatan kedua di Pulau Pinang atau mana-mana projek pembangunan atau dasar lain yang terpaksa dikaji semula selepas pertukaran kepimpinan. Namun begitu, ada juga dasar-dasar yang masih dikekalkan sehingga sekarang seperti wawasan 2020 walaupun bukan satu projek pembangunan fizikal. Fenomena ini berlaku di peringkat pusat. Bagaimana pula di peringkat negeri?

Rakyat marhaen mungkin boleh faham jika penarikan balik beberapa projek atau dasar di negeri-negeri yang telah bertukar tangan dari Barisan Nasional (BN) ke Pakatan Rakyat (PR) seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang akan dan sedang berlaku. Mungkin keutamaan, polisi dan pendekatan kepimpinan baru telah berubah ekoran pertukaran parti pemerintah. Mungkin faktor ‘badi’ kerajaan lama perlu di ‘samak’ semula?

Namun bagaimana halnya dengan kerajaan negeri yang hanya bertukar teraju kepimpinan dan bukan parti pemerintah seperti Perlis dan Trengganu? Perlis mungkin tidak banyak yang berubah atas faktor geografi tetapi bagaimana dengan Trengganu? Akan ‘dikaji semulakah’ projek-projek dan dasar-dasar yang telah diputuskan semasa era Idris Jusoh? Atas dasar apa perkara tersebut perlu dikaji semula atau ditarik balik? Rakyat marhaen perlu difahamkan keadaan ini. Jangan nanti pemimpin-pemimpin BN masih dilihat bercakaran sesama sendiri kerana faktor kajian semula atau penarikan balik projek-projek dan dasar-dasar terdahulu. Rakyat yang memerhati akan sentiasa merumuskan keputusan hanya berdasarkan faktor ‘persepsi’ semata-mata. Tugas sebenar untuk memberi kefahaman kepada rakyat terletak di atas kebijaksanaan pemimpin kerajaan negeri. Rakyat hanya memerhati dan melihat dari jauh apa alasan yang bakal diberi tetapi kerasionalan terhadap keputusan baru juga perlu dicari.

Mungkin faktor keutamaan, kesesuaian masa dan rintangan bajet adalah faktor biasa yang diambil kira untuk membenarkan apa-apa tindakan ‘kajian semula’ tersebut. Persoalan mungkin timbul ialah apakah sebelum ini keputusan yang telah dibuat tidak mengambil kira faktor-faktor tersebut? Apa peranan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam dasar pembangunan fizikal? Adakah UPEN sekadar mengangguk dan menjustifikasikan apa-apa kehendak dan kemahuan MB semasa itu? Apakah tiada kajian teliti telah dilakukan sebelum keputusan melaksanakan projek-projek tersebut diambil? Bagaimana dengan dasar dan pendekatan baru? Tidak sesuaikah lagi dasar lama tersebut hanya selepas beberapa tahun mula dilaksanakan?

Semua kemungkinan-kemungkinan ini perlu diambilkira dalam menentukan bahawa sebarang keputusan yang melibatkan ‘kajian semula’ diberi tempat dalam isu ini. Ianya tidak terbatas kepada apa jenis projek atau apa keputusan yang bakal diambil. Ianya juga tidak terbatas kepada bentuk pembangunan fizikal semata-mata tetapi merangkumi juga pembangunan modal insan.

Idris Jusoh bukan lagi berkuasa di Trengganu namun legasi yang telah ditinggalkan pada rakyat Trengganu juga masih banyak dan akan terus diingati. Pembinaan dua buah universiti awam dan program tahfiz dan hafazan adalah antara jasa beliau yang memperlihatkan kesungguhan seorang pemimpin untuk melihat rakyatnya terus menimba ilmu. Pengisytiharan Kuala Trengganu sebagai sebuah bandaraya mendepani pencapaian negeri-negeri lain di Pantai Timur walaupun Kota Bharu telahpun diisytiharkan Bandaraya Islam ‘bertaraf’ Majlis Perbandaran sebelum ini. Malangnya rakyat di negeri Kelantan, menumpang nama Bandaraya pada hanya sebuah Majlis Perbandaran!

Semua jasa ini dan yang lainnya perlu disyukuri oleh rakyat Trengganu. Janganlah kerana ber’MB’ baru, MB lama semakin dilupakan. Ingatlah bahawa gading dan tanduk ada kelebihan masing-masing walaupun tak semestinya yang awal itu tanduk, yang akhir itu gading. MB baru juga janganlah nanti menjadi si Tanggang, lupa asal usul dan ber’ego’ tinggi. Apatah lagi menjadi kaduk naik junjung. Jangan sampai negeri yang makmur itu menjadi kubu pembangkang semula.

Jangan jadi KUCABAGHA.

Wednesday, April 16, 2008

ANTARA 'KITCHEN CABINET & 'BEDROOM CABINET'

Pak Lah akan berhenti dalam satu proses peralihan kuasa yang akan ditentukan kemudian. Demikianlah bunyi dentuman janji UMNO untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap parti tersebut. Bunyinya agak pelik walaupun tidak mengejutkan. ‘Pelik’ kerana Pak Lah yang ‘berasa tidak tertekan’ tetapi kemudiannya mengakui menyumbang kepada kekalahan teruk BN dalam Pilihanraya lalu tiba-tiba memperakui proses peralihan kuasa tersebut.

‘Tidak mengejutkan’ kerana Pak Lah sentiasa ‘full of surprises’. Beliau menafikan pembubaran Parlimen sehari sebelum dibubarkan dan melantik semula Shahrizat Ab Jalil sebagai Penasihat bertaraf menteri selepas beberapa hari beliau membuat kenyataan tidak akan melantik mana-mana calon yang kalah dalam pilihanraya lalu dalam kerajaan.

Walaupun apa gambaran yang ingin diberikan oleh Pak Lah kepada rakyat marhaen, persoalan besar masih lagi berkisar kepada bila tarikh peralihan kuasa tersebut akan bermula dan sampai bila Pak Lah akan terus berkuasa? Ada yang membayangkan peralihan tersebut memakan sedikit masa sehingga 2010, ada yang meramalkan peralihan tersebut akan berlangsung selepas pemilihan UMNO akhir tahun ini malah ada yang masih percaya Pak Lah hanya akan berhenti selepas pilihanraya umum ke 13 nanti (PRU). Ada suara-suara nakal yang mengatakan Pak Lah memang ‘kaki bohong’ dan akan melihat keputusan PRU 13 nanti, sekiranya BN menang besar semula Pak Lah akan terus berada di tampok kuasa.

Apapun pemikiran, telahan dan pandangan rakyat marhaen, isu peralihan kuasa bukan hanya perlu dilihat dalam konteks bila Pak Lah akan berhenti. Fokus utama sepatutnya pada siapa selepas Pak Lah? Mungkin juga perlu dikaji kenapa Pak Lah perlu berhenti?

Pemerintahan Pak Lah dilihat oleh rakyat sebagai ‘pemerintahan anak beranak’ atau lebih tepat lagi digambarkan sebagai ‘kitchen cabinet’. Beliau dikatakan dikawal oleh anak menantu beliau dalam melaksanakan pentadbiran kerajaan. Khairy Jamaludin dikatakan cukup berkuasa sehingga boleh menetukan jatuh bnagun seseorang ahli politik dan di tempat mana mereka akan ditempatkan. Penguasaan projek-projek mega kerajaan di kawal oleh Khairy dan iparnya Kamaludin. Dasar-dasar dan keputusan kerajaan dinasihatkan oleh Khairy dengan bantuan rakan-rakan ‘punahsihat’ Tingkat 4.

Itulah gambaran dan persepsi yang diterima oleh rakyat marhaen walaupun tiada satu pun pernah dibuktikan secara jelas. Yang nyata, itulah pemikiran rakyat. Pelbagai perencah dan manisan ditambah untuk menyedapkan cerita tersebut dengan pelbagai tokok tambh bahawa Khairy memonopoli semua projek besar kerajaan, mendapat permit teksi berjumlah ribuan angka dan mendapat pengagihan saham-saham yang pelbagai. Semuanya kecuali kes ECM Libra tidak pernah didedahkan secara bertulis kepada umum. Yang kita dengar adalah cerita-cerita dari mulut ke mulut yang Khairy mendapat itu dan ini. Ironinya kita tidak pernah pun melihat bukti-bukti tersebut. Ahh, politik melayu!!!

Namun itulah dunia politik. “He must not only be clean but must be seen to be clean”. Semua itu adalah berasaskan persepsi dan persepsi adalah apa yang dilihat oleh rakyat marhaen. Pembuktian dan kebenaran kadang-kadang bukan mudah untuk mendapat tempat.

Mungkinkah Pak Lah dan Khairy adalah mangsa keadaan persepsi tersebut? Mungkin sedikit sebanyak ada benarnya dan mungkin juga mereka memang begitu.

Peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib sebagaimana sepatutnya adalah sesuatu yang menarik juga untuk dilihat dari sudut persepsi. Peralihan kuasa adalah kerana ‘kegagalan’ Pak Lah yang dilihat lembik, dikongkong oleh anak menantu dan tidak cerdik kerana dinasihatkan oleh ‘budak-budak pandai tapi tidak bijaksana di Tingkat 4’. Itulah isu sebenar peralihan kuasa yang ditambah dengan kekecewaan besar BN dalam pilihanraya lalu. Semua pihak mula menuding jari pada Pak Lah walaupun sebelumnya merekalah yang mahu berkerat rotan dengan Dr Mahathir dalam isu kritikan terbuka beliau.

Najib Razak adalah tokoh terbilang yang lahir dalam ‘baloh padi’ sehingga menjadi antara Ahli Parlimen termuda di zamannya. Ketokohan beliau memang tidak dapat dinafikan walaupun beliau bukannya datang dari pemimpin yang sentiasa ‘berlawan’ untuk mendapat tempat. Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda selepas Anwar Ibrahim adalah atas dasar ‘peralihan kuasa’ juga. Kesediaan bertanding jawatan Naib Presiden dalam pakatan Team Wawasan juga bukan satu persaingan yang sengit dalam gelombang politik semasa apatah lagi perlantikan beliau sebagai Timbalan Presiden yang mendapat ikhsan Pak Lah atas rekomen Dr Mahathir.

Apapun rentetan kronologi tersebut, rakyat marhaen telah mula menunjukkan kebimbangan kalau Najib menggantikan Pak Lah. Sudah ada suara-suara sinis yang menggambarkan Najib akan mengamalkan ‘bedroom cabinet’ selepas Pak Lah dengan ‘kitchen cabinet’. Rakyat sudah mula bercakap tentang ‘kekuasaan’ yang dimiliki oleh Rosmah terhadap Najib. Telah ada penulisan-penulisan yang membayangkan “Perdana Menteri wanita De Facto yang pertama di Malaysia” akan wujud selepas ini. Telah ada suara-suara kebimbangan bahawa pemerintahan Najib nanti campur tolak adalah lebih kurang dengan apa yang berlaku sekarang walaupun ‘ahli korum’nya mungkin berbeza.

Rakyat marhaen tentunya tidak mahu melihat contoh dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bilamana “Presiden De Jure” terpaksa mendapat nasihat di bilik tidur dari “Pemimpin De Facto”. Menambahkan kegelisahan rakyat yang berfikir, Pemimpin De Facto tersebut tidak pernah pun diisytiharkan sebagai ahli parti PKR walaupun selepas beliau bebas dari belenggu larangan berpolitik. Malangnya negara kalau mendapat pemimpin seperti ini. Mendapat nasihat dari seorang ‘orang luar’ yang mahu berkuasa tanpa menerima sepenuhnya ideologi parti. Entah-enatah beliau dah pun dapat PR dari negara polis dunia. Siapa tahu?

Rakyat marhaen mahu melihat seorang Perdana Menteri yang berwawasan, berani dan mempunyai idea sendiri. Najib mungkin mampu melakukannya berdasarkan ‘track record’ dan pengalaman beliau namun sesuatu yang beliau perlu usahakan sekarang ialah menepis persepsi buruk yang telah ditanamkan pada rakyat.

Sekiranya persepsi tersebut masih membelenggu sebelum dan semasa pemerintahan beliau nanti, mungkin Muhyidin sudah perlu bersedia mengambilalih pemerintahan. Tetapi mungkinkah Muhyidin juga ada dibelenggu persepsi lain pula? Habis, siapa yang sesuai?

Jangan jadi KUCABAGHA.

Friday, April 11, 2008

POLITIK "SHOPPING COMPLEX".

Cuti hujung minggu biasanya digunakan oleh semua warga kerja samada di bandar atau didesa untuk meriadahkan diri dengan pelbagai aktiviti. Ada yang menghabiskan masa bersama keluarga, saudara mara, sahabat handai dan seumpamanya. Ada yang sehari suntuk berada di rumah, berkunjung ke tasik dan mungkin ada yang suka mengunjungi pusat beli belah. Bila menyebut pusat beli belah, bagaimana agaknya kalau kita bayangkan parti politik itu sebagai sebuah pusat beli belah?

Di dalam sebuah pusat beli belah, kita boleh dapati pelbagai kedai dan ‘hypermarket’ yang menjual pelbagai produk dan dari pelbagai jenama. Ada yang menjual barang hiasan, ada yang menjual pakaian, ada yang menjual barang keperluan harian, makanan dan ada juga yang menjual minuman yang memabukkan!!. Semuanya itu ada dijual di sebuah pusat beli belah.

Kalau dinisbahkan kedai-kedai tersebut sebagai orang politik, kita akan dapati bermacam-macam idealisma dan khidmat yang ditawarkan oleh ahli-ahli politik. Harga yang perlu dibayar pula boleh dinisbahkan kepada undi yang bakal diperolehi oleh ahli politik tersebut. Harga yang mahal adalah kerana ‘pemberi undi’ tersebut mempunyai pengaruh tersendiri dalam masyarakat.

Kalau ‘disubtopikkan’ lagi kedai menjual makanan sahaja, kita akan dapati pelbagai makanan dijual. Ada makanan segera, ada masakan panas, ada nasi campur malah ada yang menjual sushi yang separuh masak!!

Begitulah juga dengan kerenah ahli politik, ada yang mewarnai politik dengan wang ringgit, menjadi ahli separuh masak yang tak faham falsafah dan perjuangan parti malah ada ahli ‘politik segera’ yang muncul di saat-saat menjelang pemilihan parti. Semuanya itu mewujudkan ‘keragaman’ produk atau dasar perjuangan mereka yang tersendiri. Ada ahli politik yang menawarkan khidmat untuk membantu dalam bentuk kewangan, ada yang membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan malah ada yang bersedia menghambakan diri pada rakyat jelata. Tak kurang juga yang berkorban masa, wang dan tenaga untuk menyumbang kepada perubahan masyarakat.

Semuanya itu menjadikan mereka unik mengikut acuan mereka sendiri dan terpulanglah kepada masyarakat untuk menilai dan menerimanya walaupun kadangkala konsep kedai tersebut memainkan peranan tersendiri untuk menarik orangramai mengunjunginya. Konsep kedai inilah yang boleh dikatakan sebagai idealisma parti.

Saiz dan standard kedai juga berbeza. Ada kedai satu pintu (lot) yang disewa tetapi dibahagi dua untuk mengurangkan kos sewa, ada kedai yang disewa untuk beberapa pintu, ada ‘hypermarket’ yang menyewa hampir satu tingkat pusat beli belah tersebut malah ada yang hanya berniaga dengan kereta sorong. Kepelbagaian ini melambangkan kedudukan dan keadaan ahli politik tersebut. Ada antara mereka adalah pemimpin besar di peringkat nasional, pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan juga cawangan.

Para jurual dan pekerja kedai mungkin boleh disamakan dengan ‘pembantu-pembantu’ atau juak-juak politik yang tidak jemu-jemu mempromosikan bos-bos mereka untuk terus kekal dalam kedudukan politik tersebut. Mereka biasanya dibayar gaji atau mendapat imbuhan dari kerja-kerja tersebut. Mungkin ada yang bekerja untuk lebih dari satu kedai malah ada yang bekerja ‘part time’ di beberapa kedai pada hari-hari tertentu!! Tetapi jangan pula nanti ada yang bekerja di pelbagai pusat beli belah pula semata-mata untuk mencari rezeki!!

Demikianlah sedikit persamaan diantara kedai-kedai di pusat membeli belah dengan ahli-ahli politik.

Melihat kepada persamaan tersebut, kedai-kedai memang sentiasa mengadakan jualan murah setiapa kali musim cuti sekolah dan perayaan lain. Pelbagai diskaun ditawarkan. Ada yang menjual produk dengan diskaun 20%, 50% malah ada yang sampai 80%. Kesemuanya berniat untuk menarik pengunjung membeli barangan di kedai mereka. Kesemuanya itu dilakukan dalam pelbagai bentuk promosi dan kaedah pemasaran.

Begitulah juga dengan ahli politik, mereka sentiasa mengadakan pelbagai tawaran, janji dan ikrar semasa ingin memancing undi terutamanya dalam musim-musim pemilihan seperti ini. Pelbagai kelebihan mereka ditonjolkan. Ada yang menonjolkan kelebihan akademik mereka, menunjukkan kekayaan dan pengaruh mereka dan ada yang bercakap soal-soal perjuangan yang mereka sendiri tidak pasti boleh dilaksanakan. Malah dalam keadaan politik negara sehari dua ini, ada yang mula menonjolkan keberanian mereka mengkritik kepimpinan untuk menunjukkan ‘keheroan’ mereka. Semuanya itu adalah berdasarkan kepada kehendak mereka untuk diterima sebagai pemimpin walau untuk apa pun tujuannya nanti.

Namun suatu perkara yang pasti dalam persamaan ini, pusat beli belah tersebut perlu mempunyai ‘added values’ untuk dinikmati oleh pengunjung. Kemudahan tempat letak kereta yang lebih murah atau mungkin secara percuma adalah satu kelebihan. Tempat yang senang dikunjungi (easy access) juga merupakan sebab besar kenapa puat beli belah tersebut sentiasa di ingati oleh pengunjung. Kemudahan panggung wayang yang boleh meredakan ketegangan fikiran juga mungkin ada kelebihannya belum termasuk lagi pelbagai pusat-pusat rekreasi yang lain. Bagi pengunjung beragama Islam misalnya, tempat sembahyang yang selesa juga mungkin diperlukan disamping ada yang mengharapkan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan juga tempat untuk para ibu menyusukan anak.

Kesemua nilai tambah tersebut yang dicampur dengan kepelbagaian kedai yang menawarkan produk yang boleh menarik minat masyarakat untuk mengunjungi dan membelinya akan menjadikan pusat beli belah tersebut sentiasa diingati.

Soalnya sekarang, apakah UMNO telah menepati dan menyediakan masyarakat dengan kelebihan-kelebihan tersebut? Sekiranya kesemuanya sudah disediakan tetapi sekarang tidak juga mendapat sambutan, rasanya UMNO perlu kaji juga di mana kelebihan pusat beli belah lain atau mungkin menjengok-jengok juga pekedai-pekedai kita yang mungkin tidak ‘friendly user’. Manalah tahu ada yang menjual produk tanpa ada ‘after sale service’ yang menyebabkan pembeli ditinggalkan berseorangan bila menghadapi masalah. Atau mungkin produk yang dijual di kedai-kedai dalam pusat beli belah tersebut sudah ketinggalan zaman? Atau mungkinkah pekedai kita kadang-kadang dilihat sombong dan berlagak seperti pekedai kaya? Mungkinkah pusat beli belah tersebut perlu di 'renovate' dan dicat semula supaya melambangkan imej baru? Serba kemungkinan inilah yang perlu diperhalusi sebenarnya. Hanya pengunjung yang boleh menilainya. Jangan nanti para pengunjung tetap kita mula meninjau-ninjau pusat beli belah lain pula. Takut-takut mereka terpikat pula dengan gaya dan kelebihan pusat beli belah tersebut. Mana tahu kita mungkin kehilangan pengunjung lagi!! Atau lebih tepat kita kehilangan pengundi lagi …

Jangan jadi KUCABAGHA.

Thursday, April 10, 2008

POLITIK MACHIAVELLI PEMBANGKANG

3 Ahli Dewan Undangan Negeri BN di Kedah dikatakan sedang berura-ura untuk melompat parti dan berada dalam Parti PKR. Mereka dilaporkan telah ditawarkan pelbagai jawatan termasuk Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan teraju utama sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri. Pengisytiharan tersebut dikatakan telah dibuat oleh sumber-sumber yang tidak didedahkan yang kemudian disambut oleh sebuah portal web yang berfikiran pembangkang.

Tidak diketahui samada berita tersebut sahih atau tidak tetapi apa yang menarik adalah pihak Barisan Rakyat (BR) telah mula menyerang semula. Perang psikologi mereka terhadap pemimpin dan ahli-ahli BN seakan seperti direncanakan. Dijangkakan pelbagai lagi cerita-cerita Bollywood yang heronya tidak pernah terluka sedikitpun akan didendangkan oleh PKR. Mungkin selepas ini mereka akan mendendangkan cerita Sepanyol pula yang kadang-kadang berlaku peristiwa tak masuk akal dengan hero yang ‘handsome’ dan penjahat yang sentiasa busuk hati. Rasanya Sutradara filem-filem tersebut bukan Hishamudin Rais kerana beliau hanya tahu mengkritik filem tetapi Anwar Ibrahim sendiri yang suka berfantasi. Maklumlah orang lelaki pun boleh ‘dinampak’ macam wanita. Inikan pula mengolah cerita Melayu menjadi cerita Sepanyol.

Isu lompat melompat parti seperti ini telah dimulakan oleh Azmin Ali (Naib Presiden PKR yang dikatakan suka memakai pakaian berjenama sehingga berbelas ribu sepasang), bila beliau mengumumkan bahawa ada di kalangan Ahli Parlimen (MP) di Malaysia Timur akan melompat parti menyeberang ke PKR. Sekarang ini dikatakan sudah ada 34 Ahli Parlimen di sana bersedia bila-bila masa untuk menyeberang ke PKR walaupun Pembangkang hanya memerlukan 30 orang MP sahaja untuk membentuk Kerajaan. Kenyataan tersebut ditambah lagi dengan perencah segera tidak berjenama bahawa kesemua mereka yang terlibat tidak ditawarkan sebarang imbuhan atau penggunaan wang. Nampaknya ahli-ahli MP berkenaan memikirkan ‘kepentingan rakyat’ melebihi kepentingan peribadi apabila sanggup menyeberang ke sebuah parti yang tidak diketahui lagi corak dan gaya pentadbirannya. Agak-agaknya mereka ini lebih yakin dengan BR dari melihat rekod BN yang mereka sama-sama perjuangkan sebelum ini. Mungin sebab BR tidak menawarkan sebarang imbuhan yang menyebabkan hati mereka tersentuh untuk menyeberang.

Rentetan dari peristiwa itu juga dikatakan ada usaha dari BN pula untuk membeli Wakil Rakyat di Perak sehingga mencecah RM65 Juta, malah terbaru dikatakan ada yang sampai 80 Juta. Rakyat marhaen mungkin tidak dapat mengagak berapa banyak 65 atau 80 Juta tersebut, maklumlah jumlahnya sudah tak boleh dikira dengan jari tangan dan kaki. Kalau guna ‘calculator’ pun, kena beli yang boleh mengira Matematik tambahan di sekolah, setakat yang digunakan di kedai runcit tu mungkin tak cukup nombor lagi untuk menghitung.

Kita tak pasti apa hebatnya Wakil rakyat yang tidak tersohor tersebut boleh ditawarkan ganjaran sebnayak itu. Mungkin kalaulah benar dakwaan tersebut, rasanya samada Tajol Rosli Ghazali (yang masih mengetuai BN Perak) sudah hilang akal atau tak tahu membilang. Agaknya kekalahan BN di Perak menyebabkan beliau ‘ingat-ingat lupa’ kot? Apa yang pasti kalau dah nak buat cerita pun, padan-padanlah dengan logik akal.

Kes terbaru di Kedah pula semakin menampakkan ‘ketidakmunasabahan’ cerita-cerita lompat parti ini. Apalah hebatnya seorang ADUN menjadi Datuk Bandar atau Ketua Pegawai Eksekutif sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri? Yang rakyat marhaen tak boleh faham juga ialah wajarkah seorang ADUN yang sudah berjawatan dalam kerajaan bekerja secara eksekutif dan dibayar gaji untuk sebuah syarikat lain? Nampaknya banyak betul gaji yang akan diperolehi oleh ADUN berkenaan.

Kesemua peristiwa pengumuman lompat melompat parti tersebut mencerminkan bahawa Pembangkang telah menyusun satu strategi perang psikologi terancang terhadap BN dalam keadaan BN dan UMNO berada dalam keadaan pemulihan. Pergolakan dalaman dalam UMNO, parti yang menunjangi BN diambil kesempatan sepenuhya oleh BR (atau lebih tepat lagi PKR) untuk meletakkan UMNO dalam keadaan berprasangka sesama sendiri.

Rakyat marhaen percaya bahawa cerita-cerita tersebut tidak berasas sama sekali tetapi pengumuman seperti itu boleh menggugat keyakinan ahli UMNO terhadap keutuhan dan kestabilan UMNO. Ini ditambah lagi dengan pelbagai kritikan dalaman terhadap kepimpinan UMNO yang mungkin tidak dirasai sebelum ini. Kritikan-kritikan ke arah pembaikan UMNO terhadap kepimpinan menampakkan seolah-olah UMNO telah berpecah dan sedia untuk karam.

Perlu diingatkan bahawa rakyat marhaen berpandangan yang kritikan-kritikan tersebut sebenarnya melambangkan kematangan dalam UMNO. Kritikan tersebut menjadikan UMNO sebuah parti yang demokrasi dan menurut tuntutan zaman. UMNO sebenarnya telah berubah dan di zaman serba maju ini, ahli-ahli UMNO telahpun mendahului parti-parti lain dengan memulakan kritikan terhadap kepimpinan parti secara terbuka yang melambangkan suburnya demokrasi dan hak bersuara ahlinya.

Walau apapun niat dan permainan politik yang ingin dimainkan oleh Parti Pembnagkang, rakyat marhaen ingin mengingatkan bahawa janganlah permainan politik mereka ini menggugat kestabilan dan keharmonian dalam negara. Janganlah kerana hendakkan kuasa politik, para pelabur dan kalangan peniaga meninggalkan negara kita kerana ada perasaan tidak selamat. Jangan nanti rakyat juga yang menanggung kesannya hanya kerana cita-cita politik segelintir pemimpin pembangkang.

Jangan jadi KUCABAGHA.

Tuesday, April 8, 2008

SIAPA KETUA PEMUDA BARU?

Pengumuman Hishamudin untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjawab teka-teki siapa yang akan menawarkan diri bertanding jawatan tersebut. Pengumuman awal Hishamudin tentunya melegakan banyak pihak dan menarik ramai pemimpin untuk mula membuat perkiraan. Pemimpin yang menawarkan diri akan mula menyiapkan diri sementara perwakilan dan ahli pemuda akan mula berkira-kira siapa yang bakal menawan hati mereka.

Tidak diketahui kenapa Hishamudin bertindak membuat pengisytiharan awal tetapi beliau mungkin ingin meredakan sedikit ketegangan dalam susun atur pemuda supaya ahli-ahli pemuda sudah boleh membuat perhitungan. Mungkinkah beliau juga sedang ‘test market’ samada beliau akan dicalonkan oleh perwakilan bahagian untuk jawatan Naib Presiden nanti? Benarkah pemgunduran beli
au dikaitkan dengan isu hunus keris yang menyebabkan kekalahan teruk UMNO (BN) dalam Pilihanraya yang lalu?

Pengisytiharan tersebut menandakan gendang pertandingan sudah bemula. Dr Khir Toyo, bekas exco pemuda sebelum ini sudah awal-awal lagi mendaftar diri masuk ke gelanggang. Bersandarkan keberanian beliau untuk berlawan dengan Khairy ‘the son in law’ dalam keadaan ahli UMNO belum pulih dari kemarahan kepada pimpinannya, Dr Khir dilihat semakin berani bersuara dan mula mengikut rentak ahli marhaen untuk turut sama melihat kekalahan dari sudut kelemahan kepimpinan UMNO. Walaupun begitu, mungkin Dr Khir terlupa bahawa sebelum meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, beliaulah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi BN di negeri tersebut sehingga tersungkur di tangan Barisan Rakyat. Mungkin juga Khir terlupa tentang ‘hadiah penyapu’ dan ‘perobohan’ kuil Hindu sebelum ini yang mengundang kemarahan pegawai-pegawai kerajaan dan kaum India. Isu-isu tersebut sedikit sebanyak menyumbang kepada prestasi keseluruhan BN negeri Selangor.

Pengisytiharan Dr Khir juga agak menarik bilamana beliau bukan lagi seorang ‘komander’ kepada UMNO negeri. Bagaimanakah sokongan pemimpin-pemimpin pemuda di negeri Selangor terhadap beliau? Setakat ini, tiada lagi kenyataan-kenyataan ‘kami berdiri teguh di belakang’ sebagaimana biasa dari Pemuda UMNO Selangor. Rebah di kiri lari ke kanan. Nampaknya Dr Khir akan bertarung berseorangan. Maklumlah tiada projek lagi yang boleh ditawarkan kali ini. Rekod sebagai ahli MT yang mendapat undi terbanyak yang lalu mungkin tidak lagi terpakai kali ini.

Mukhriz Mahathir adalah nama yang disebut-sebut sejak dari awal lagi untuk jawatan nombor satu Pemuda. Exco pemuda yang mendapat undi terbanyak walaupun tewas di bahagian sendiri ini dilihat seorang yang sentiasa ‘constant’ dan matang, jauh lebih disegani dari kalangan beberapa ‘ahli exco ampu yang lain’. Kelebihan beliau sebagai anak bekas Perdana Menteri mungkin mendapat sokongan dari perwakilan terutamanya dalam suasana politik semasa tetapi perlu juga diingat bahawa ayahanda beliau juga pernah tewas sebagai perwakilan G7 dalam pemilihan sebelum ini di Kubang pasu, kubu kuat beliau selama bertahun. Itulah permainan politik dalaman UMNO yang Mukhriz tidak boleh ‘tidur dalam perut’.

Mukhriz sudah lama dilihat sebagai alternatif kepada Khairy dalam kepimpinan Pemuda. Namun, ketenangan beliau dengan tidak menampakkan kegelojohan untuk naik secara mendadak meredakan sedikit sebanyak ketegangan perebutan jawatan dalam Pemuda. Tapi apakah bentuk kepimpinan yang akan dibawa oleh Mukhriz nanti sekiranya beliau terpilih? Mungkinkah kita akan menyaksikan ramai ahli-ahli ANSARA berpusu-pusu menduduki kepimpinan Pemuda? Ada baiknya golongan pemuda berpendidikan sebegini diberi peluang untuk sama-sama membantu pembangunan negara. Alma Matar selalunya memang sentimental untuk diingati.

Pengumuman dua tokoh muda tersebut untuk menawarkan diri kini disertai pula oleh Ketua Penerangan Pemuda sekarang, Azimi Daim. Azimi yang terkenal dengan kepetahannya berpidato sekarang ini bersama Khir dalam jemaah ‘pembangkang’ di negeri mereka. Azimi pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda semasa pemilihan lalu tetapi ‘angin perubahan’ yang berpihak kepada Khairy memusnahkan harapan beliau untuk mendapat cukup pencalonan. Tidak diketahui samada beliau menarik diri atau kerana kekurangan pencalonan, yang pasti Khairy memang ‘power’ pada masa tersebut. Mungkin MK sudah patut bergerak sekarang.

Calon yang masih ditunggu-tunggu adalah Naib Ketua Pemuda sekarang, Khairy Jamaludin yang hanya menyerahkan kepada ahli tentang kedudukan beliau untuk jawatan Ketua. Khairy yang kini disabitkan segala kesalahan atas kekalahan BN dalam pilihanraya yang lalu telah makin mendiamkan diri sejak selepas pilihanraya. Beliau yang dikatakan amat kecewa dengan prestasi BN dan berkira-kira untuk lebih fokus kepada peranan beliau dalam Parlimen Rembau kini diberitakan sudah mula aktif semula di peringkat nasional. Nampaknya tak sia-sia nasihat sahabat-sahabat karib yang tidak meletakkan kekalahan BN sepenuhnya pada Khairy.

Khairy bagaimanapun dikatakan sedang berkira untuk menaja ‘calon kroni’ bertanding bagi jawatan tersebut. Seorang menteri muda yang baru dibawa masuk ke dalam kabinet dan lahir dari kalangan exco Pemuda disebut-sebut sebagai calon tajaan beliau. Tidak diketahui kesahihan berita tersebut tetapi dalam politik macam-macam boleh jadi. Mungkinkah Khairy masih ‘bertaring’ dalam Pemuda? Hanya perwakilan Pemuda sahaja yang boleh menjawabnya.

Rakyat marhaen perlu bertanya apa yang dimahukan dari Pemuda? Pemuda perlu kepada kepimpinan yang mampu membawa mereka menjadi jentera utama parti dalam mana-mana pilihanraya. Kekalahan besar yang tidak pernah ada dalam sejarah UMNO memerlukan Pemuda untuk menjadi tonggak utama menyusun semula jentera parti. Tidak dapat dibayangkan betapa sukarnya untuk merampas kembali negeri-negeri yang telah jatuh ke tangan Barisan Rakyat. Negeri Kelantan yang masih berada dalam kategori miskin pun tidak mampu ditawan semula sejak lebih 18 tahun yang lalu, inikan pula untuk menawan Perak yang kaya dengan hasil buminya. Apatah lagi Selangor yang telah dinobatkan sebagai Negeri Maju.

Tugas Pemuda sebenarnya semakin mencabar. Ianya bukan lagi sekadar menjaga keselamatan. Bukan juga menyediakan pemuda bermotor. Lebih dari itu, Pemuda sudah perlu ada perancangan. Rasanya sudah tiba masanya Pemuda diberi peranan yang lebih besar dalam perancangan pilihanraya selepas ini. UMNO perlu perubahan bukan sahaja dari segi tokoh dan kepimpinan malah melangkaui struktur dan peranan sayap-sayapnya. Pengkhususan Pemuda dalam portfolio tertentu jentera perlu di timbangkan semula. Jangan lagi Pemuda hanya menjadi ‘pengawal keselamatan’ untuk Puteri berkunjung rumah ke rumah.

Perwakilan Pemuda pada tahun ini diharap lebih berani menyatakan keinginan mereka. Pilihan mereka untuk menentukan siapa yang patut berada dipuncak kuasa akan banyak membantu menawan semula negeri-negeri yang sudah jadi pembangkang, Jangan nanti kerana kesilapan memilih, UMNO pula yang akan menjadi pembangkang.

Jangan jadi KUCABAGHA.

Tuesday, April 1, 2008

BERBALOIKAH PINDAAN KUOTA?

Kenyataan Timbalan Presiden UMNO bahawa peratus pencalonan minima untuk melayakkan diri bertanding jawatan tinggi dalam UMNO memberi sedikit harapan ke arah penyusunan semula organisasi UMNO dalam proses demokrasi sejati.

Kenyataan tersebut walaupun bukan berbentuk jawapan pasti tentang kemelut demokrasi dalam UMNO tetapi memberi sedikit harapan bahawa demokrasi masih dan sedang dipulihkan. Apapun keputusan muktamad yang bakal dibuat memberi gambaran bahawa suara dan laungan rakyat marhaen semakin didengari dalam UMNO walaupun belum tentu dituruti.

UMNO semakin matang dan diharap semakin bijak dalam menentukan apa yang tebaik untuk parti tersebut terutamanya selepas PRU 12 yang lalu. Kelemahan dan kekalutan yang berlaku pasca PRU 12 itu seharusnya perlu di jadikan teladan untuk bergerak ke arah yang lebih tersusun dan dimahukan oleh rakyat.

Kuota minima pencalonan adalah antara perkara besar yang dilihat masih menjadi perbahasan rakyat marhaen. Kajian secara rambang mungkin menunjukkan bahawa kuota tersebut perlu dihapuskan untuk menyesuaikan dengan keadaan politik semasa. Namun ada juga yang merasakan bahawa ianya penting untuk dipertahankan demi untuk menjaga kestabilan parti. Walau apapun hujah dan alasan yang mungkin boleh diberikan, natijah utamanya adalah supaya UMNO terus kekal sebagai parti yang demokratik, bebas dan terbuka.

Apa sekalipun keputusan yang bakal ditentukan dalam isu tersebut seharusnya menjurus kepada memberi gambaran kepada umum terutamanya golongan muda bahawa UMNO masih relevan dalam persekitaran politik Malaysia. Tiada gunanya sebarang pindaan dilakukan oleh parti sekiranya UMNO makin tidak diterima oleh rakyat marhaen. Isu sebenar bukan pada keperluan pindaan tersebut tetapi lebih kepada menarik rakyat kembali kepada UMNO dan menwarkan persekitaran demokratik dalam berpolitik.

Tugas berat menanti pimpinan UMNO adalah menentukan apakah pindaan tersebut akan memberi keuntungan kepada parti? Sekiranya desakan tersebut sekadar untuk memberi peluang kepada sesetengah individu bertanding jawatan parti, bolehkah ianya diterima oleh rakyat? Bolehkah satu dari agenda pemulihan parti dilaksanakan melalui pindaan tersebut?

UMNO sebenarnya memerlukan lebih dari sekadar pindaan perlembagaan untuk memulihkan keyakinan rakyat. Mentaliti dan tahap pemikiran ahli juga perlu di ‘program’kan semula. Jika kita berada dalam kelompok masyarakat marhaen di peringkat bahagian atau cawangan UMNO dan menyatakan hasrat untuk bertanding mana-mana jawatan di peringkat tersebut, soalan pertama yang akan diutarakan adalah “Duit ada tak?”. Ini memberi gambaran bahawa mana-mana penjawat jawatan dalam UMNO perlu berduit untuk diterima sebagai pemimpin.

Apakah itu kriteria utama pemimpin? Bagaimana dengan mereka yang tidak berduit tetapi memiliki idealisma dan komitmen perjuangan yang tinggi? Mungkinkah mereka akan terpinggir kerana ‘status’ tersebut yang sengaja diwujudkan oleh ahli peringkat bawahan? Mungkinkah suatu masa nanti pemimpin UMNO hanyalah terdiri dari mereka yang berduit? Berbezakah pimpinan mereka dengan mereka yang tidak berduit?

Persoalan besar yang sentiasa berlegar di peringkat bawahan ini perlu juga ditangani oleh pimpinan UMNO sekarang. UMNO mungkin memerlukan golongan professional untuk membantu parti dalam kepimpinan tetapi status ‘berduit’ tidak sepatutnya dijadikan kriteria utama di peringkat mana sekalipun. Jangan nanti pimpinan muda UMNO masih dilihat ‘kaki kontrak’ dari memperjuangkan idealisma sebenar parti. Pemimpin ‘segera’ yang hanya datang setiap kali pemilihan seperti inilah yang sebenarnya merosakkan parti dan rakyat bawahan yang termakan dengan ‘salam hulur’ inilah yang bersekongkol dengan mereka. Parti akhirnya lesu dengan ketiadaan program dan sentuhan bersama masyarakat. Jadi apa perlunya UMNO pada masyarakat umum?

Perlu diingatkan kepada semua ahli dan pendokong UMNO bahawa walau apapun istilah yang digunakan untuk memulihkan UMNO di mata masyarakat, persoalan besar adalah mampukah ianya menarik semula sokongan masyarakat kepada UMNO? Istilah reformasi dalaman, revolusi, pemulihan dan sebagainya tidak berguna tanpa mencapai objektif utama tersebut. Ahli UMNO boleh beremosi dalam mendesak perubahan tetapi berbaloikah perubahan tersebut untuk menjadikan UMNO sentiasa relevan?

Jangan jadi KUCABAGHA.