Tuesday, April 8, 2008

SIAPA KETUA PEMUDA BARU?

Pengumuman Hishamudin untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjawab teka-teki siapa yang akan menawarkan diri bertanding jawatan tersebut. Pengumuman awal Hishamudin tentunya melegakan banyak pihak dan menarik ramai pemimpin untuk mula membuat perkiraan. Pemimpin yang menawarkan diri akan mula menyiapkan diri sementara perwakilan dan ahli pemuda akan mula berkira-kira siapa yang bakal menawan hati mereka.

Tidak diketahui kenapa Hishamudin bertindak membuat pengisytiharan awal tetapi beliau mungkin ingin meredakan sedikit ketegangan dalam susun atur pemuda supaya ahli-ahli pemuda sudah boleh membuat perhitungan. Mungkinkah beliau juga sedang ‘test market’ samada beliau akan dicalonkan oleh perwakilan bahagian untuk jawatan Naib Presiden nanti? Benarkah pemgunduran beli
au dikaitkan dengan isu hunus keris yang menyebabkan kekalahan teruk UMNO (BN) dalam Pilihanraya yang lalu?

Pengisytiharan tersebut menandakan gendang pertandingan sudah bemula. Dr Khir Toyo, bekas exco pemuda sebelum ini sudah awal-awal lagi mendaftar diri masuk ke gelanggang. Bersandarkan keberanian beliau untuk berlawan dengan Khairy ‘the son in law’ dalam keadaan ahli UMNO belum pulih dari kemarahan kepada pimpinannya, Dr Khir dilihat semakin berani bersuara dan mula mengikut rentak ahli marhaen untuk turut sama melihat kekalahan dari sudut kelemahan kepimpinan UMNO. Walaupun begitu, mungkin Dr Khir terlupa bahawa sebelum meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, beliaulah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi BN di negeri tersebut sehingga tersungkur di tangan Barisan Rakyat. Mungkin juga Khir terlupa tentang ‘hadiah penyapu’ dan ‘perobohan’ kuil Hindu sebelum ini yang mengundang kemarahan pegawai-pegawai kerajaan dan kaum India. Isu-isu tersebut sedikit sebanyak menyumbang kepada prestasi keseluruhan BN negeri Selangor.

Pengisytiharan Dr Khir juga agak menarik bilamana beliau bukan lagi seorang ‘komander’ kepada UMNO negeri. Bagaimanakah sokongan pemimpin-pemimpin pemuda di negeri Selangor terhadap beliau? Setakat ini, tiada lagi kenyataan-kenyataan ‘kami berdiri teguh di belakang’ sebagaimana biasa dari Pemuda UMNO Selangor. Rebah di kiri lari ke kanan. Nampaknya Dr Khir akan bertarung berseorangan. Maklumlah tiada projek lagi yang boleh ditawarkan kali ini. Rekod sebagai ahli MT yang mendapat undi terbanyak yang lalu mungkin tidak lagi terpakai kali ini.

Mukhriz Mahathir adalah nama yang disebut-sebut sejak dari awal lagi untuk jawatan nombor satu Pemuda. Exco pemuda yang mendapat undi terbanyak walaupun tewas di bahagian sendiri ini dilihat seorang yang sentiasa ‘constant’ dan matang, jauh lebih disegani dari kalangan beberapa ‘ahli exco ampu yang lain’. Kelebihan beliau sebagai anak bekas Perdana Menteri mungkin mendapat sokongan dari perwakilan terutamanya dalam suasana politik semasa tetapi perlu juga diingat bahawa ayahanda beliau juga pernah tewas sebagai perwakilan G7 dalam pemilihan sebelum ini di Kubang pasu, kubu kuat beliau selama bertahun. Itulah permainan politik dalaman UMNO yang Mukhriz tidak boleh ‘tidur dalam perut’.

Mukhriz sudah lama dilihat sebagai alternatif kepada Khairy dalam kepimpinan Pemuda. Namun, ketenangan beliau dengan tidak menampakkan kegelojohan untuk naik secara mendadak meredakan sedikit sebanyak ketegangan perebutan jawatan dalam Pemuda. Tapi apakah bentuk kepimpinan yang akan dibawa oleh Mukhriz nanti sekiranya beliau terpilih? Mungkinkah kita akan menyaksikan ramai ahli-ahli ANSARA berpusu-pusu menduduki kepimpinan Pemuda? Ada baiknya golongan pemuda berpendidikan sebegini diberi peluang untuk sama-sama membantu pembangunan negara. Alma Matar selalunya memang sentimental untuk diingati.

Pengumuman dua tokoh muda tersebut untuk menawarkan diri kini disertai pula oleh Ketua Penerangan Pemuda sekarang, Azimi Daim. Azimi yang terkenal dengan kepetahannya berpidato sekarang ini bersama Khir dalam jemaah ‘pembangkang’ di negeri mereka. Azimi pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda semasa pemilihan lalu tetapi ‘angin perubahan’ yang berpihak kepada Khairy memusnahkan harapan beliau untuk mendapat cukup pencalonan. Tidak diketahui samada beliau menarik diri atau kerana kekurangan pencalonan, yang pasti Khairy memang ‘power’ pada masa tersebut. Mungkin MK sudah patut bergerak sekarang.

Calon yang masih ditunggu-tunggu adalah Naib Ketua Pemuda sekarang, Khairy Jamaludin yang hanya menyerahkan kepada ahli tentang kedudukan beliau untuk jawatan Ketua. Khairy yang kini disabitkan segala kesalahan atas kekalahan BN dalam pilihanraya yang lalu telah makin mendiamkan diri sejak selepas pilihanraya. Beliau yang dikatakan amat kecewa dengan prestasi BN dan berkira-kira untuk lebih fokus kepada peranan beliau dalam Parlimen Rembau kini diberitakan sudah mula aktif semula di peringkat nasional. Nampaknya tak sia-sia nasihat sahabat-sahabat karib yang tidak meletakkan kekalahan BN sepenuhnya pada Khairy.

Khairy bagaimanapun dikatakan sedang berkira untuk menaja ‘calon kroni’ bertanding bagi jawatan tersebut. Seorang menteri muda yang baru dibawa masuk ke dalam kabinet dan lahir dari kalangan exco Pemuda disebut-sebut sebagai calon tajaan beliau. Tidak diketahui kesahihan berita tersebut tetapi dalam politik macam-macam boleh jadi. Mungkinkah Khairy masih ‘bertaring’ dalam Pemuda? Hanya perwakilan Pemuda sahaja yang boleh menjawabnya.

Rakyat marhaen perlu bertanya apa yang dimahukan dari Pemuda? Pemuda perlu kepada kepimpinan yang mampu membawa mereka menjadi jentera utama parti dalam mana-mana pilihanraya. Kekalahan besar yang tidak pernah ada dalam sejarah UMNO memerlukan Pemuda untuk menjadi tonggak utama menyusun semula jentera parti. Tidak dapat dibayangkan betapa sukarnya untuk merampas kembali negeri-negeri yang telah jatuh ke tangan Barisan Rakyat. Negeri Kelantan yang masih berada dalam kategori miskin pun tidak mampu ditawan semula sejak lebih 18 tahun yang lalu, inikan pula untuk menawan Perak yang kaya dengan hasil buminya. Apatah lagi Selangor yang telah dinobatkan sebagai Negeri Maju.

Tugas Pemuda sebenarnya semakin mencabar. Ianya bukan lagi sekadar menjaga keselamatan. Bukan juga menyediakan pemuda bermotor. Lebih dari itu, Pemuda sudah perlu ada perancangan. Rasanya sudah tiba masanya Pemuda diberi peranan yang lebih besar dalam perancangan pilihanraya selepas ini. UMNO perlu perubahan bukan sahaja dari segi tokoh dan kepimpinan malah melangkaui struktur dan peranan sayap-sayapnya. Pengkhususan Pemuda dalam portfolio tertentu jentera perlu di timbangkan semula. Jangan lagi Pemuda hanya menjadi ‘pengawal keselamatan’ untuk Puteri berkunjung rumah ke rumah.

Perwakilan Pemuda pada tahun ini diharap lebih berani menyatakan keinginan mereka. Pilihan mereka untuk menentukan siapa yang patut berada dipuncak kuasa akan banyak membantu menawan semula negeri-negeri yang sudah jadi pembangkang, Jangan nanti kerana kesilapan memilih, UMNO pula yang akan menjadi pembangkang.

Jangan jadi KUCABAGHA.

No comments: