Tuesday, April 22, 2008

APA KABO DERIH JUSOH?

Kacau dalam cawan tentang pemilihan dan perlantikan Menteri Besar (MB) Trengganu telah selesai. Paling tidak, majlis angkat sumpah dan ‘merasmikan’ pejabat baru selepas PRU 12 telah sempurna dilakukan. Ahmad Said telah memulakan kerja-kerja beliau sebagai MB dan Idris Jusoh telah kembali semula ke tanah tumpah darah beliau di sempadan Trengganu - Kelantan.

Namun rakyat marhaen masih tertanya-tanya, itu sajakah penyelesaian isu tersebut? MB lama diganti dan MB baru ambil alih? Bagaimana agaknya nasib Idris Jusoh? Bagaimana beliau akan menghadapi rakan-rakan YB lain yang pernah menerima arahan dari beliau? Bagaimana beliau akan menghadapi rakyat Trengganu keseluruhannya. Mungkin perkara ini kecil tetapi impaknya pada diri dan kredibiliti beliau amat besar. Kita mungkin menganggap isu ini remeh tetapi bekas MB dari parti BN perlu juga diletakkan di tempat yang sewajarnya. Walaupun apa dosanya, beliau perlu dimuliakan juga, sekurang-kurangnya sebagai tanda penghargaan dan terimakasih. Mungkin sesuatu perlu dilakukan atau mungkin juga sudah tiba masanya isu ini dilupakan? Mungkinkah semua pihak perlu membuka buku baru?. Atau mungkinkah Idris sudah tidak relevan lagi?

Bagi rakyat marhaen, apa pun yang berlaku samada kepada MB lama mahupun yang baru, satu perkara yang mungkin perlu kita renung bersama ialah apakah semua idea, dasar dan projek-projek pembangunan fizikal yang diilhamkan sepanjang Idris Jusoh menjadi MB perlu di kaji semula? Apakah sudah menjadi trend dalam masyarakat Malaysia mengkaji semula keputusan yang telah dipersetujui bersama antara pemimpin terdahulu dengan anggota pentadbirannya sebaik sahaja pertukaran kepimpinan berlaku?

Lihat sahaja contoh pembatalan ‘jambatan indah’ di Tambak Johor yang ditarik balik selepas pertukaran kepimpinan di peringkat pusat? Begitu juga dengan isu jambatan kedua di Pulau Pinang atau mana-mana projek pembangunan atau dasar lain yang terpaksa dikaji semula selepas pertukaran kepimpinan. Namun begitu, ada juga dasar-dasar yang masih dikekalkan sehingga sekarang seperti wawasan 2020 walaupun bukan satu projek pembangunan fizikal. Fenomena ini berlaku di peringkat pusat. Bagaimana pula di peringkat negeri?

Rakyat marhaen mungkin boleh faham jika penarikan balik beberapa projek atau dasar di negeri-negeri yang telah bertukar tangan dari Barisan Nasional (BN) ke Pakatan Rakyat (PR) seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang akan dan sedang berlaku. Mungkin keutamaan, polisi dan pendekatan kepimpinan baru telah berubah ekoran pertukaran parti pemerintah. Mungkin faktor ‘badi’ kerajaan lama perlu di ‘samak’ semula?

Namun bagaimana halnya dengan kerajaan negeri yang hanya bertukar teraju kepimpinan dan bukan parti pemerintah seperti Perlis dan Trengganu? Perlis mungkin tidak banyak yang berubah atas faktor geografi tetapi bagaimana dengan Trengganu? Akan ‘dikaji semulakah’ projek-projek dan dasar-dasar yang telah diputuskan semasa era Idris Jusoh? Atas dasar apa perkara tersebut perlu dikaji semula atau ditarik balik? Rakyat marhaen perlu difahamkan keadaan ini. Jangan nanti pemimpin-pemimpin BN masih dilihat bercakaran sesama sendiri kerana faktor kajian semula atau penarikan balik projek-projek dan dasar-dasar terdahulu. Rakyat yang memerhati akan sentiasa merumuskan keputusan hanya berdasarkan faktor ‘persepsi’ semata-mata. Tugas sebenar untuk memberi kefahaman kepada rakyat terletak di atas kebijaksanaan pemimpin kerajaan negeri. Rakyat hanya memerhati dan melihat dari jauh apa alasan yang bakal diberi tetapi kerasionalan terhadap keputusan baru juga perlu dicari.

Mungkin faktor keutamaan, kesesuaian masa dan rintangan bajet adalah faktor biasa yang diambil kira untuk membenarkan apa-apa tindakan ‘kajian semula’ tersebut. Persoalan mungkin timbul ialah apakah sebelum ini keputusan yang telah dibuat tidak mengambil kira faktor-faktor tersebut? Apa peranan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam dasar pembangunan fizikal? Adakah UPEN sekadar mengangguk dan menjustifikasikan apa-apa kehendak dan kemahuan MB semasa itu? Apakah tiada kajian teliti telah dilakukan sebelum keputusan melaksanakan projek-projek tersebut diambil? Bagaimana dengan dasar dan pendekatan baru? Tidak sesuaikah lagi dasar lama tersebut hanya selepas beberapa tahun mula dilaksanakan?

Semua kemungkinan-kemungkinan ini perlu diambilkira dalam menentukan bahawa sebarang keputusan yang melibatkan ‘kajian semula’ diberi tempat dalam isu ini. Ianya tidak terbatas kepada apa jenis projek atau apa keputusan yang bakal diambil. Ianya juga tidak terbatas kepada bentuk pembangunan fizikal semata-mata tetapi merangkumi juga pembangunan modal insan.

Idris Jusoh bukan lagi berkuasa di Trengganu namun legasi yang telah ditinggalkan pada rakyat Trengganu juga masih banyak dan akan terus diingati. Pembinaan dua buah universiti awam dan program tahfiz dan hafazan adalah antara jasa beliau yang memperlihatkan kesungguhan seorang pemimpin untuk melihat rakyatnya terus menimba ilmu. Pengisytiharan Kuala Trengganu sebagai sebuah bandaraya mendepani pencapaian negeri-negeri lain di Pantai Timur walaupun Kota Bharu telahpun diisytiharkan Bandaraya Islam ‘bertaraf’ Majlis Perbandaran sebelum ini. Malangnya rakyat di negeri Kelantan, menumpang nama Bandaraya pada hanya sebuah Majlis Perbandaran!

Semua jasa ini dan yang lainnya perlu disyukuri oleh rakyat Trengganu. Janganlah kerana ber’MB’ baru, MB lama semakin dilupakan. Ingatlah bahawa gading dan tanduk ada kelebihan masing-masing walaupun tak semestinya yang awal itu tanduk, yang akhir itu gading. MB baru juga janganlah nanti menjadi si Tanggang, lupa asal usul dan ber’ego’ tinggi. Apatah lagi menjadi kaduk naik junjung. Jangan sampai negeri yang makmur itu menjadi kubu pembangkang semula.

Jangan jadi KUCABAGHA.

No comments: