Monday, April 28, 2008

SELAMAT TINGGAL PANCA WARISAN

Sekali lagi politik perkauman diungkit kembali. Kali ini rentetannya adalah kerana sebilah keris yang dinamakan Panca Warisan. Keris yang ditempah khas dengan pelbagai kesenian dan keindahan kerja tangan Melayu secara turun temurun dan sepatutnya digunakan dalam setiap Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sebagai lambang Melayu dilihat akan berkubur dengan permohonan maaf seorang Ketua Pemuda yang sepatutnya menjulang nama Melayu. Keris yang menjadi lambang Melayu tersebut akan diarkibkan sebagai sebahagian dari kompromi politik perkauman ke atas kaum Melayu yang sentiasa beralah. Kemasukan keris ke dalam sebuah arkib melambangkan betapa dayusnya bangsa Melayu dalam mempertahankan maruah sendiri. Betapa mudahnya kita mengalah kepada tekanan dan tohmahan kaum lain. Sampai bila agaknya Melayu akan terus mengalah di bumi sendiri?

Tidak dapat dipastikan kenapa Ketua Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda BN secara tiba-tiba memohon maaf secara terbuka di atas perlakuan penuh tertib beliau mencium keris dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang lalu. Ada yang mengaitkan perbuatan mohon maaf kerana dikatakan perbuatan mencium dan menjulang keris itulah yang menyebabkan prestasi BN merudum dalam pilihanraya lalu. Ada yang mengaitkan perbuatan mohon maaf itu kerana desakan dari Khairy Jamaludin, Naib Ketua Pemuda UMNO dan BN sendiri yang dikaitkan dengan prestasi buruk BN dalam pilihanraya tersebut yang mahu mengheret sama Ketua Pemuda untuk berkongsi saham kekalahan. Ada yang mengatakan bahawa permohonan maaf tersebut adalah perlu bagi meredakan kemarahan kaum cina terhadap perbuatan tersebut. Ada yang melihat bahawa Hishamuddin tidak tahan dengan tekanan politik Pemuda MCA dan GERAKAN.

Apapun sebab dan alasan mohon maaf tersebut yang cuba difikirkan oleh rakyat marhaen, perlu kita tahu adakah ketertiban Hishamuddin mencium dan menjulang keris adalah penyebab sebenar kaum cina menolak BN dalam pilihanraya yang lalu. Kenapa kaum cina menolak BN? Apakah kerana perbuatan tersebut dianggap biadap? Apakah Pemuda UMNO mengancam keselamatan dan keharmonian kaum lain? Dalam bentuk apakah ancaman tersebut? Adakah perbuatan tersebut dianggap melancarkan perang terhadap kaum lain di Malaysia? Apakah isu keris sahaja alasan dan sebab penolakan kaum cina terhadap BN? Atau adakah Hishamuddin sebenarnya kambing hitam yang terpaksa dikorbankan oleh Pemuda MCA atas kegagalan mereka mempengaruhi kaum cina? Permainan politik menuding jari kepada orang lain ini akan menggugat keharmonian dan keutuhan dalam BN, apatah lagi melibatkan kebudayaan dan warisan sebuah bangsa lain.

Apakah salah bagi kaum Melayu menjulang sebilah keris yang telah menjadi budaya orang Melayu sejak berzaman lamanya? Kalaulah menjulang keris tersebut mengancam keharmonian kaum lain, nampaknya UMNO terpaksalah mengubah lambang keris pada logo UMNO kepada lambang songkok kerana songkok telah pun diterima oleh wakil rakyat berbangsa cina semasa upacara mengangkat sumpah di dewan negeri. Apakah begitu sekali kompromi politik Melayu sehingga terpaksa meninggalkan warisan sendiri untuk dilihat lebih sensitif terhadap bangsa lain? Kalau begitu sifatnya, nampaknya pengantin Melayu masa akan datang akan bersanding dengan berkot dan bertali leher. Tiada lagi persalinan Melayu yang lengkap bertanjak dan berkeris. Takut nanti majlis kahwin akan dianggap majlis melancar perang terhadap kaum cina. Mungkin majlis tersebut bukan lagi ‘majlis serangan antara jantina’ tapi majlis serangan antara kaum. Manalah tahu!!

Kalaulah dikatakan mencium keris mengancan keselamatan kaum lain, nampaknya Sultan-sultan Melayu dan Yang Dipertuan Agung perlu meminta maaf secara terbuka juga kepada kaum cina kerana mencium keris pada majlis pertabalan mereka. Kalau mencium keris itu meruntuhkan keharmonian kaum, maka seluruh kaum Melayu terpaksa memohon maaf kepada kaum cina kerana sebahagiannya menjadikan keris sebagai hiasan di dinding-dinding rumah mereka. Manalah tahu nanti kaum cina tidak berani lagi menziarahi rumah orang Melayu kerana keris adalah lambang keganasan dan ancaman perang. Manalah tahu perkataan keris juga perlu dibuang dari Kamus Dewan kerana ditakuti menakutkan bangsa lain.

Rakyat marhaen masih bertanya dimanakah toleransi dan persefahamn kaum di kalangan kaum cina? Apakah toleransi kaum ini hanyalah berfokus kepada Melayu terpaksa melupakan adat resam dan budaya sendiri untuk dilihat lebih terbuka? Apakah toleransi kaum ini berbentuk satu hala sahaja?. Bagaimana pula kalau orang Melayu mempersoalkan Tarian Naga kaum cina sebagai mengancam keharmonian dan keselamatan orang Melayu? Mungkinkah mercun dan dentuman bunyian semasa Tarian Naga yang kononnya untuk menghalau hantu boleh ditafsirkan oleh orang Melayu sebagai mesej memulakan serangan kepada bangsa Melayu? Adat dan budaya sesuatu kaum yang kemudiannya ditafsirkan mengikut kefahaman kaum lain adalah perkembangan yang cukup tidak sihat dalam sebuah negara pelbagai kaum. Apatah lagi mencampuri urusan adab dan budaya kaum lain.

Kalaulah benar kaum cina tersinggung dengan isu keris, di mana peranan Pemuda MCA dan GERAKAN untuk menjelaskan isu tersebut kepada kaum cina? Di mana cerdik pandai dan kalangan elitis MCA dan GERAKAN semasa isu tersebut perlu difahamkan kepada kaum mereka? Apa yang telah mereka lakukan untuk memperbetulkan kesalahfahaman tersebut? Berjayakah mereka? Kalau isu tersebut masih menghantui kaum cina, makanya Pemuda MCA dan GERAKAN lah yang sebenarnya gagal berperanan dalam konteks BN.

Kenapa diletakkan kegagalan sendiri kepada orang lain? Persoalan besar ialah bagaimana memberi kefahaman kepada kaum cina dalam isu tersebut, bukan mencari siapa yang perlu dikambing hitamkan.

Rakyat marhaen memandang bahawa Hishamuddin mungkin berjiwa besar kerana mampu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan BN dalam pilihanraya lalu, namun perlukah beliau berbuat demikian? Beliau disaran melihat kepada Negara Arab Saudi yang sentiasa diberi tekanan dalam pelbagai bentuk oleh puak Yahudi, namun sampai sekarang bendera rasmi kerajaan Arab Saudi masih berlambangkan pedang. Apakah pedang bukan lambang peperangan?

Jangan jadi KUCABAGHA.

No comments: