Tuesday, September 1, 2009

ISU KARTIKA: MERASIONALKAN APA YANG TIDAK RASIONAL?

1) Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 seorang model sambilan yang telah berkahwin dan sekarang ini menetap di Singapura secara tiba-tiba telah menjadi seorang ‘selebriti’. Mungkin kepopularan beliau tidak menyamai ‘bintang-bintang’ realiti TV yang semakin bercambah dari sehari ke sehari tetapi sensasi isu yang menyelubungi beliau melebihi publisiti murahan artis-artis yang lebih menampakkan tubuh badan dari bakat mereka.

2) Kartika telah disabit dengan kesalahan meminum arak di khalayak ramai di Mahkamah Tinggi Syariah di Pahang. Beliau telah didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 136, Enakmen Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang. Denda RM5,000 dan 6 sebatan adalah hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.

3) Hukuman sebat ke atas Kartika ini adalah yang pertama diputuskan untuk seorang pesalah wanita bagi kesalahan tersebut walaupun sebelum ini telah ada hukuman yang sama diputuskan ke atas dua beradik Mohamed Nizam Ibrahim dan Mohamed Nasha di Mahkamah dan dengan hukuman yang sama.

4) Tiada kecacatan dan isu yang boleh dipersoalkan dengan keputusan tersebut kerana ianya diperuntukkan di bawah Seksyen berkenaan. Apa yang menjadi perdebatan masyarakat dan mengelirukan marhaen adalah pelbagai komen dan ulasan yang diberikan oleh pelbagai pihak berhubung dengan isu tersebut dan sebahagian komen-komen tersebut sebenarnya sama sekali tidak membina ke arah meletakkan Mahkamah Syariah di tempat yang sepatutnya.

5) Komen dari Shahrizat Jalil yang mencadangkan Kartika membuat rayuan adalah sesuatu yang baik tetapi tidak perlu. Keseluruhan proses Mahkamah tentunya mempunyai tempoh masa tertentu untuk merayu dan Kartika sebenarnya faham dengan sistem tersebut. Beliau telah menyediakan dirinya dengan perlaksanaan hukuman tersebut.

6) Rakyat marhaen tertanya-tanya bilamana semasa Kartika di bawa ke Penjara Kajang untuk dilaksanakan hukuman tersebut, kenderaan yang membawa beliau berpatah balik selepas hanya setengah jam dalam perjalanan. Penghantaran balik Kartika ke rumah keluarga beliau di Sungai Siput menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya yang berlaku.

7) Penjelasan yang dibuat oleh exco Pahang bahawa perlaksanaan hukuman ditangguhkan kerana menghormati Bulan Ramadhan diterima agak baik walaupun agak mengelirukan kerana tiada arahan awal sebelum membawa Kartika pergi. Bagaimana sistem kehakiman negara boleh secara tiba-tiba menangguhkan perlaksanaan tanpa pemberitahuan awal? Perkara tersebut boleh membawa pemikiran bahawa terdapat campurtangan tertentu dalam perlaksanaannya. Apatah lagi pemikiran politik parti pembangkang!

8) Menteri Dalam Negeri yang mengulas kemudiannya meletakkan penangguhan tersebut ke atas ketiadaan juru sebat wanita bagi melaksanakan hukuman. Persoalan yang mungkin masih tidak berjawab ialah apakah sistem Kehakiman Syariah ini masih tidak bersedia melaksanakan hukuman yang dimasukkan dalam peruntukan Enakmen tersebut? Peruntukan yang sebegitu lama tidak menyediakan perlaksanaan hukuman? Pandangan politik pula meletakkan pihak berkuasa sebagai tidak bercadang melaksanakan hukuman tersebut dan sekadar melepaskan batuk di tangga. Natijahnya, pihak Kerajaan dilihat tidak serius dalam melaksanakan hukuman Syariah.

9) Mungkin sudah sampai masanya Kerajaan perlu peka dengan sebarang komen dan pandangan pemimpin-pemimpin Kerajaan dalam sesuatu isu. Percanggahan dan ketidaksamaan versi dalam memberi komen boleh mengundang pelbagai kekeliruan dalam masyarakat, apatah lagi kalau perkara-perkara yang menyentuh isu agama dan politik. Mungkin juga sudah sampai masanya hanya pemimpin-pemimpin Kerajaan yang mempunyai ‘locus standi’ dalam perkara berkaitan sahaja mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan perdebatan dan kesalahfahaman dalam masyarakat.

10) Namun begitu, apapun komen dan ulasan yang diberikan, perlaksanaan dan penangguhan hukuman tersebut masih menimbulkan banyak persoalan. Persoalan yang masih tidak berjawab ialah kenapa perlaksanaan hukuman tersebut diadakan di Penjara Kajang? Kes tersebut berlaku dan disabitkan di Pahang, pesalah menetap di Singapura dan keluarganya di Perak tetapi perlaksanaannya di Kajang. Apa rasional tindakan tersebut? Timbul juga tandatanya tentang bidang kuasa dan dokumentasi yang perlu dalam pemindahan tempat perlaksanaan tersebut kerana kuasa Mahkamah Syariah Pahang adalah dalam negeri berkenaan sahaja. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa perlaksanaan di tempat lain juga boleh mengurangkan semangat perlaksanaan hukuman untuk menyedarkan orang ramai terutamanya masyarakat setempat.

11) Ada juga pengamal undang-undang yang merasakan bahawa hukuman tersebut bercanggah dengan Peraturan Penjara tahun 2005 yang mengecualikan pesalah yang tidak dipenjarakan dari hukuman sebat. Dalam kes Kartika, beliau hanya di kenakan denda dan sebatan dan tiada hukuman penjara.

12) Kesimpulan dari kacau bilau hukuman ke atas Kartika tersebut telah meletakkan negara Malaysia dalam perhatian dunia. Ianya tidak hanya berkisar tentang apa pandangan masyarakat dunia terhadap ‘keterbukaan’ Islam di Malaysia tetapi lebih besar dari itu menampakkan seolah-olah sistem kehakiman negara masih ditahap ‘undang-undang rimba’. Bayangkan sahaja apa perasaan Kartika yang masih tidak pasti bila perlaksanaan hukuman ke atas beliau akan dilaksanakan. Bayangkan bagaimana tidak teraturnya perlaksanaan tersebut. Mungkinkah sistem kehakiman Syariah kita masih berkucabagha?

Wednesday, July 29, 2009

KELANTAN SEBUAH NEGERI BERKAT?

1) Pilihanraya Kecil (PRK) Manik Urai telah beberapa minggu berlalu. Cakap-cakap politik berkenaan kawasan berkenaan semakin menghilang malah sudah tidak kedengaran lagi dalam kedai-kedai kopi yang menjadi medan tempur politik di Malaysia. PAS membuktikan keutuhan mereka walaupun penuh kontroversi dan diwarnai dengan persoalan ketepatan kiraan undi. Apapun keputusannya, ia telah diumumkan walaupun ada ura-ura bahawa BN akan merayu kes tersebut ke Mahkamah.

2) Namun disebalik kehangatan kempen dan kebijaksanaan mengatur strategi di Manik Urai oleh kedua-dua parti bertanding, PRK tersebut memberi impak yang cukup besar terhadap tahap pemikiran politik dan intelektual terutamanya berkenaan pandangan ahli dan pemimpin PAS terhadap UMNO dan PAS sendiri.

3) Isu gambar Presiden PAS dalam poster kempen yang tidak diperlukan di Manik Urai mendahului siri pemikiran politik yang dibawa oleh PAS. Pemimpin peringkat negeri berpandangan bahawa PRK tersebut bersifat kedaerahan dan gambar Presiden mereka bersifat nasional dan tidak akan membantu kempen mereka. Gambar Menteri Besar (MB) sahaja yang diperlukan dan dihormati oleh pengundi di sana. Kesannya PAS telah ‘berjaya mengurangkan’ majoriti kemenangan mereka dari lebih 1,300 undi kepada hanya 65 undi. Itupun masih dipertikaikan oleh BN atas dasar pengiraan yang berubah-ubah.

4) PRK tersebut juga mencetuskan kontroversi tentang tahap kepahaman Islam parti PAS apabila ‘difatwakan’ oleh beberapa ‘alim ulamak peringkat kampong’ bahawa melihat gambar Nik Aziz sahaja sudah cukup untuk mendapat pahala. Kita tidak tahu kitab mana yang digunakan untuk menjustifikasikan dakwaan tersebut tetapi pandangan sedemikian akan memberi kesan kepada rakyat marhaen dan mencetuskan kecelaruan pemikiran Islam masyarakat keseluruhannya.

5) Dakwaan dan tohmahan terhadap UMNO tidak terhenti disitu sahaja bilamana UMNO sekali lagi digambarkan sebagai sama dengan Komunis oleh Mursyidul Am nya sendiri. Mungkin kerana kedangkalan ilmu dunia dan ketidakfahaman beliau dalam Bahasa Inggeris sehingga tidak mengetahui definasi Komunis boleh dijadikan faktor pemaaf atas dakwaan tersebut tetapi apabila satu kenyataan dikeluarkan oleh seorang pemimpin apatah lagi yang dikatakan pemimpin agama, label sedemikian mencemar kehormatan UMNO sebagai parti yang dinaungi oleh orang-orang Melayu beragama Islam di Malaysia. Tektik mempersoalkan keislaman seseorang adalah sesuatu yang melampau dalam konteks ajaran Islam sendiri dimana tahap pahala dan dosa seseorang adalah urusan Allah.

6) Beberapa hari selepas PRK tersebut, rakyat marhaen dimaklumkan bahawa keadaan air di daerah Pasir Mas di Kelantan berada dalam keadan yang cukup kritikal. Sebuah sekolah asrama bantuan penuh Kerajaan Pusat terpaksa melepaskan murid-muridnya yang datang dari pelusuk Daerah Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang pulang ke rumah masing-masing setiap hari disebabkan masalah ketiadaan air. Menariknya, masalah tersebut telah berlarutan beberapa lama tanpa ada penyelesaian. Rakyat marhaen mendapat berita bahawa ianya bukan sahaja masalah terpencil di sekolah berkenaan tetapi juga adalah masalah dalam seluruh daerah Pasir Mas. Kemana perginya keislaman dan tanggungjawab membangun bersama Islam yang dilaung-laungkan oleh kerajaan Negeri sebelum ini?

7) Ujian Tuhan rupanya tidak terhenti setakat masalah kekurangan air malah merangkumi juga masalah lebihan air. Sejak beberapa hari yang lepas, negeri Kelantan sentiasa mendapat ‘berkat’ air hujan yang melimpah ruah. Kesannya penanam tembakau di Bachok mahupun penanam Timun Cina (Tembikai) di tepi Sungai Kelantan mengeluh menanti apa yang akan terjadi terhadap tanaman mereka. Hampir 2 dekad yang lalu, rakyat Kelantan percaya bahawa negeri mereka berkat di bawah kepimpinan Nik Aziz sehingga dikatakan tiada banjir besar melanda tetapi selang beberapa tahun kemudian banjir besar telah menenggelamkan Bandar Kota Bharu ‘Bandaraya Islam’ sehingga segala urusan tergendala untuk beberapa hari. Mungkin kita terfikir kemana perginya berkat di waktu tersebut?

8) Beberapa hari yang lepas kita dikejutkan pula dengan kenyataan dari Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhah Sakinah Kelantan bahawa mereka menerima lebih dari 150 panggilan telefon sehari yang memohon untuk menempatkan anak-anak gadis mereka di pusat tersebut kerana didapati hamil luar nikah dan gejala sosial lainnya, kita mula terfikir apakah benar Kelantan sebuah negeri berkat? Dimana keberkatan sebuah negeri kalau jumlah anak gadisnya hamil tanpa nikah semakin meningkat? Dimana berkatnya kalau pusat-pusat karaoke haram bercambah dari hari ke hari? Dimana berkatnya kalau anak-anak gadis dari Ulu kelantan boleh dibawa kehulu kehilir hanya bermodalkan ‘top up’ RM10? Dimana berkatnya kalau anak-anak sekolah menengah agama mampu terbang ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu hanya untuk memperdagangkan tubuh mereka?

9) Rasanya sudah tiba masanya untuk Nik Aziz melihat ke dalam diri dan melakukan muhasabah. Apakah selama ini ceramah beliau setiap pagi Jumaat di Pejabat PAS memberi kesan kepada rakyat? Apakah ceramah beliau bermotifkan mendidik atau sekadar ceramah memperkuatkan politik? Berapa ramaikah ustaz yang beliau lahirkan sepanjang berpuluh tahun beliau berceramah setiap minggu di situ? Berapa ramaikah yang melaksanakan isi kandungan ceramah tersebut? Atau mungkinkah ceramah beliau memang tanpa isi, hanya retorik politik mempersenda dan memperlekehkan orang lain? Hanya Nik Aziz mampu menjawabnya. Hanya Nik Aziz yang perlu muhasabah diri. Jika tidak, memang Kelantan akan sentiasa kucabagha.

Friday, July 10, 2009

BN AKAN MENANG DI MANEK URAI?

1) Rakyat marhaen berkesempatan meninjau secara lebih dekat kehangatan kempen Pilihanraya Kecil N 41 Manek Urai (PRK Manek Urai) hari ini, 10 Julai 2009 iaitu hari ke 5 selepas bermula penamaan calon bagi kerusi berkenaan. Kehangatan kempen di waktu siang rasanya tidak sehangat cuaca di Manek Urai, ianya lebih suam-suam kuku. Tiada kesesakan kenderaan di jalan utama Kuala Krai ke Gua Musang. Tiada perarakan kenderaan berbendera secara silih berganti. Tiada juga petugas-petugas yang membunyikan kenderaan untuk menyatakan sokongan mereka pada mana-mana parti atau calon yang bertanding. Mungkin juga strategi kempen telah berubah dengan lebih penumpuan kepada lawatan rumah ke rumah. Mungkin juga sebahagian jentera kempen sedang beristirehat untuk menjalankan aktiviti seterusnya dari waktu petang hingga ke awal pagi. Mungkin juga ada yang sedang berlibur di Air Terjun Lata Rek.

2) Rakyat marhaen percaya bahawa kedua-dua jentera parti yang bertanding berada dalam keadaan tertekan. Sekiranya PAS kalah, kekuatan parti akan teruk terjejas dan memalukan kerana DUN berkenaan adalah kubu kuat mereka dengan kemenangan berterusan kecuali pada Pilihanraya Umum ke 11. Itupun dengan hanya majoriti 53 undi. Bagi BN pula, kekalahan di DUN Manek Urai akan memperlihatkan kepada pengundi seluruh negara bahawa siri kekalahan BN dalam PRK akan berterusan dan tsunami politik dalam negara masih membara. Apa lagi bila teraju negara telah bertukar tangan dan Najib perlu membuktikan kekuatan.

3) Apa sahaja strategi dan pendekatan yang diambil oleh mana-mana parti, kekuatan calon sudah pun berada di pihak BN. Calon PAS yang tidak berpendidikan dan cuma bersandarkan populariti di kampong dirasakan ‘alah roma’ dengan calon BN, seorang graduan universiti dan bekas pengurus KESEDAR. Namun begitu, pemerhatian secara rambang mendapati BN tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan tersebut. Mungkin ada yang berpandangan bahawa soal pendidikan akan menjadi ‘back fire’ kerana seolah-olah memperlekehkan calon PAS tetapi lupakah kita semua bahawa Allah SWT secara jelas mencabar manusia dalam Al Quran dengan bertanya “Adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?”. Apakah cabaran tersebut benar-benar bertujuan menduga minda manusia atau betul sebagaimana tafsiran ulamak bahawa ayat tersebut lebih memperli umat manusia? Bagaimana PAS boleh menafikan fakta tersebut yang secara jelas disebut dalam Al Quran? Apa ajaran Islam PAS yang sebenar kalau menerima separuh dan menolak separuh tuntutan agama? Mungkin juga benar kata orang, Islam PAS adalah Islam tanpa nabi dan kitab tetapi hanya separuh Al Quran. Patutlah UMNO menolaknya.

4) Satu perkara yang lebih nyata dalam isu berkenaan juga menunjukkan bahawa BN tidak menyediakan set perbandingan peribadi antara kedua calon. Kenapa tidak disenaraikan kelulusan mereka? Kenapa tidak disenaraikan pengalaman kerja mereka? Kenapa tidak dinyatakan kepada rakyat perbandingan usia mereka bilamana generasi muda dikatakan menjadi undi penentu kemenangan calon? Mungkinkah BN terlupa? Jadikanlah kekuatan calon sebagai ‘mindset’ pengundi. Biarkan rakyat menilai mana kaca dan mana permata?

5) Rakyat marhaen dapati sebahagian dari penceramah BN terutamanya penceramah muda yang kurang berpengalaman adalah syok endiri. Berceramah seolah-olah kita pemidato hebat tapi rakyat Manek Urai hanya ingin mendengar bahawa bayaran premium tanah semakin naik sejak PAS memerintah Kelantan. Rakyat Manek Urai hanya ingin diberitahu bahawa kawasan balak hanya tinggal kulit kayu balak sahaja lagi kerana dinodai secara rakus oleh pimpinan Kerajaan negeri. Rakyat Manek Urai hanya ingin tahu berapa ramai dan kenapa rakyat Kelantan merantau mencari rezeki di luar dari negeri tersebut. Rakyat Manek Urai hanya perlu tahu bahawa kemiskinan mereka adalah didorong oleh kegagalan kerajaan negeri. Begitu susahkah untuk BN menyampaikan mesej tersebut?

6) Kelemahan utama yang masih menghantui BN adalah budaya ‘menghurung’ pemimpin. Pergilah di mana-mana majlis BN yang dihadiri oleh menteri menteri apatah lagi oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan kita akan dapati yang mengiringi pemimpin berkenaan adalah pemimpin-pemimpin negeri dan bahagian. Merekalah yang sentiasa tersengih di atas pentas menunjukkan sokongan pada pemimpin berkenaan. Soalnya sekarang siapa yang melaksanakan kerja-kerja menemui rakyat di bawah kalau pemimpin-pemimpin berkenaan sibuk mengiringi pemimpin atasan? Perlukah ianya hanya kerja wanita K10 sahaja? Bila dan bagaimana pengundi berkenaan berkesempatan mengenali dan menyatakan hasrat mereka kepada pemimpin atasan kalau ‘pagar’ ini tidak dibuang? Rakyat marhaen merasa cukup meluat bila membaca satu laman sosial secara maya apabila seorang pemimpin pemuda secara terangan dan secara bangga memperlihatkan gambar beliau mengiringi seorang menteri. Tidak adakah masa lain yang lebih sesuai untuk pemimpin berkenaan menemui dan bersama dengan menteri berkenaan? Rakyat marhaen mencadangkan supaya berilah peluang dan kesempatan kepada rakyat bawahan bertemu dan berbincang secara dekat dengan pemimpin dan menteri berkenaan. Inilah masa untuk menunjukkan keprihatinan dan kerendahan diri pemimpin BN.

7) PRK adalah masa yang paling sesuai untuk mana-mana menteri bertemu dan menyelami permasalahan rakyat secara lebih mendalam. Apakah sukar kalau sekiranya Datuk-Datuk menteri boleh menjadi ‘anak angkat’ orang kampong untuk satu atau dua malam? Bersama di rumah mereka dan seluruh kampong untuk satu jangkamasa pendek pada setiap PRK? Soal keselamatan boleh difikirkan kerana BN mempunyai segala sudut kelengkapan untuk memantau hal tersebut. Apatah lagi pihak keselamatan sentiasa memenuhi setiap ruang dalam kawasan berkenaan. Mungkin cadangan ini perlu diperhalusi tetapi kesannya bukan sahaja pada keluarga berkenaan tetapi kepada seluruh kaum kerabat dan saudara mara mereka juga. Fikir-fikirkanlah tetapi yang nyata jentera BN masih nampak berkucabagha.

Thursday, July 9, 2009

PPSMI, 1MALAYSIA DAN BAHASA IBUNDA

1) Isu perdebatan hangat Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akhirnya dinoktahkan oleh YAB Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri (TPM) selepas dibentang, dibincang dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009. Keputusan memansuhkan penggunaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara menjelang 2012 diterima secara berbelah bagi di kalangan masyarakat. Ada yang bersetuju 100%, ada yang masih berpendapat yang ianya perlu diteruskan, ada yang mahu pemakaiannya diperbaiki dan tak kurang juga yang bersorak riang melihat ketidaktentuan Kerajaan dalam isu tersebut. Apapun reaksinya, pengumuman rasmi telah dimuktamadkan dan ianya akan menjadi dasar baru sistem pendidikan negara tidak lama lagi.

2) Rakyat marhaen menyambut baik pelbagai usaha dan pengubahsuaian ke arah penggunaan Bahasa Inggeris secara lebih berkesan melalui sistem pendidikan negara. Apatah lagi kesungguhan kerajaan menyediakan prasarana terbaik bagi menyediakan rakyat menghadapi globalisasi namun susulan pengumuman dan pemansuhan tersebut perlu juga dilihat dari pelbagai sudut.

3) Sudut yang paling banyak dipersoalkan oleh kalangan rakyat marhaen ialah tentang komitmen, kreativiti dan keupayaan pemimpin-pemimpin besar negara dalam menangani isu tersebut. Dasar yang diperkenalkan di zaman kerajaan Malaysia Boleh tersebut di sokong dan dijulang semahunya oleh pimpinan negara pada masa berkenaan. Mereka bersyarah dan bertaklimat ke seluruh negara menyambut baik idea penggunaan PPSMI oleh YAB Perdana Menteri. Mereka melaung slogan memajukan negara dan menyahut cabaran globalisasi. Bertahun berlalu dan mereka yang hampir sama inilah yang kemudiannya menghentam pula dasar tersebut. Perlakuan hipokrit yang boleh disamakan sebagai meludah ke langit terpalit ke muka sendiri.

4) Rakyat marhaen boleh menerima keadaan sekarang sekiranya benar bahawa kajian yang dijalankan secara bebas menunjukkan bahawa penggunaan PPSMI tidak mencapai matlamat yang dihasratkan (sebagaimana kata-kata YAB TPM) tetapi perlukah seluruh dasar tersebut dimansuhkan tanpa perlu kepada pengubahsuaian di mana kelemahan tersebut? Mungkin para cendekiawan dan sasterawan yang bijak gemilang melihat kegagalan tersebut sebagai kegagalan sepenuhnya dan ia perlu ditamatkan. Mungkin mereka merasakan pemertabatan Bahasa Malaysia seharusnya menjadi lebih utama dari pendedahan rakyat dalam Bahasa Inggeris. Apapun kemungkinan yang difikirkan, langkah kementerian menambah sessi pelajaran Bahasa Inggeris sedikit sebanyak melegakan. Bayangkanlah graduan tempatan kita yang tidak mendapat pendedahan sepatutnya dalam Bahasa Inggeris tidak memahami malah tidak boleh menguasai bahasa tersebut. Bayangkan berapa ramai graduan tempatan tidak mendapat pekerjaan yang setaraf hanya kerana lemah dalam penggunaan Bahasa Inggeris. Bayangkan berapa banyak kerugian kerajaan memberi mereka pendidikan yang tidak boleh dimanafaatkan oleh negara.

5) Rakyat marhaen berpendapat bahawa keputusan pemansuhan PPSMI telah sedikit sebanyak menunjukkan kegagalan dasar kerajaan. Kita telah memperjudikan nasib anak-anak kita sejak beberapa tahun ini dan akhirnya diakui bahawa dasar tersebut sebenarnya gagal? Kenapa tiada seorang pun dari kalangan ahli politik, cerdik pandai, sasterawan, cendekiawan dan ahli akademik dalam negara yang menyuarakan perkara ini sebelum ini? Kenapa selepas beberapa orang anak Pak Mat daging di SK Bahagia, Kuala Krai atau Pak Teh Bakar di Nenasi, Pahang gagal dalam Matematik dan Sains kerana tidak memahami pembelajaran mereka, barulah kita mula memikirkan keadaan ini? Kemana perginya mereka yang tidak lulus Matematk dan Sains hanya kerana kegagalan memahami Bahasa Inggeris sebelum ini? Bagaimanakah kita mampu membayar gantirugi kegagalan mereka ini? Semua ini perlu dijawab oleh kerajaan kalau benar isu PPSMI ini gagal sepenuhnya.

6) Rakyat marhaen lebih tertarik dengan isu PPSMI ini bilamana segolongan para sasterawan yang kononnya memperjuangkan Bahasa Ibunda berikrar mempertahankan hujah mereka hinggakan sanggup gelaran mereka ditarik balik. Perjuangan mereka harus dipuji tetapi menariknya sebahagian mereka menggunakan Bahasa Inggeris sebagai perbualan harian di rumah dan sebahagian anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negeri dan tidak mengikuti sistem pembelajaran negara. Mungkinkah mereka merasakan anak-anak murid di Kampung Laloh dan Lata Rek tidak berkelayakan mendapat pendidikan dalam Bahasa Inggeris sebagaimana anak-anak mereka yang rata-ratanya bercakap seharian dalam Bahasa Inggeris? Menarik juga apabila dikatakan bahawa Ketua sebuah pertubuhan penulis peringkat nasional yang memperjuangkan Bahasa Ibunda lebih senang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris di sebuah majlis orang-orang Malaysia di selatan tanahair suatu ketika dulu. Mungkin bagi mereka, anak-anak kita tidak perlu belajar Bahasa Inggeris kerana boleh menghakis jatidiri bangsa, biarlah mereka sahaja yang terpaksa menerima situasi tersebut sebelum ini. Alangkah mulianya perjuangan.

7) Pemansuhan PPSMI semasa kerajaan 1Malaysia ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai amat perlu untuk menyatupadukan pelbagai bangsa dalam negara. Bahasa Malaysia perlu menjadi bahasa perantara untuk semua kaum dan sepenuhnya digunakan di sekolah-sekolah. Soalnya kenapa di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK), Bahasa Ibunda mereka masih dibenarkan dan diiktiraf setaraf Bahasa Malaysia disekolah mereka? Kenapa Bahasa Malaysia tidak dicadangkan untuk menjadi bahasa pengantar di sana? Kemana perginya pejuang-pejuang bahasa yang rela ditarik bailk anugerah mereka itu? Kemana perginya ahli-ahli politik zaman 1Malaysia yang lantang mengkritik PPSMI? Kemana perginya semangat Hang Tuah mereka? Atau setidaknya semangat Hang Jebat mereka? Sekali lagi kita menjadi keliru. Sekali lagi kita akan berkucabagha.

Sunday, July 5, 2009

ANTARA JAMBATAN GANTUNG DAN 1000 EKAR LADANG RAKYAT

1) Bahang kehangatan pra kempen PRK Manek Urai telah mengheret rakyat marhaen turut sama mengikuti beberapa siri ceramah yang diatur samada oleh jentera BN mahupun Pakatan Rakyat (PR) sebelum hari penamaan calon pada 6 Julai nanti. Menariknya, dicelah-celah persaingan ceramah tersebut, muncul pula ceramah yang diatur sendiri oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali (atau lebih dikenali sebagai Datuk Him) atas nama ‘Majlis Mesra Rakyat’ yang dianjurkan oleh pertubuhan NGO beliau, PERKASA.

2) Ceramah terbaru Datuk Him ialah pada 3 Julai di hadapan rumah Jani Hassan di Laloh dan seperti biasa ceramah beliau penuh dengan hilai ketawa, kritikan pedas dan kesungguhan memperjuangkan bangsa Melayu. Lupakan soal samada beliau ikhlas atau tidak, biarkan sementara soal bila beliau akan melompat parti lagi dan pedulikan sumpah seranah beliau terhadap sesiapa sebelum ini. Program ceramah yang diselang seli dengan nyanyian nasyid tersebut merumuskan beberapa pemikiran kepada rakyat marhaen.

3) Perkara yang paling nyata adalah ceramah Datuk Him nampak lebih bertenaga dari ceramah-ceramah yang diaturkan oleh kedua-dua parti walaupun mungkin kerana mereka masih belum sepenuhnya masuk gear dalam perlumbaan di Manek Urai. Datuk Him sebagaimana ‘trade mark’ beliau tidak memperdulikan apa orang kata walaupun telah jelas beliau sedang berusaha keras menarik perhatian pimpinan UMNO untuk menerima beliau kembali. Ceramah yang tidak menggunakan jentera mana-mana parti masih tetap mendapat sambutan dari masyarakat setempat Perkara yang tidak dapat dijawab oleh rakyat marhaen ialah apakah UMNO bersedia menerima semula Datuk Him? Bayangkan beliau dipecat dari UMNO semasa Tok Pa menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan kalau diterima beliau akan kembali semula semasa Tok Pa mengemudi UMNO negeri sekali lagi. Ironinya, Datuk Him telah menyerang Tok Pa secara berterusan sebelum ini. Mungkin benar kata orang, dalam politik tiada kawan atau musuh yang kekal.

4) Datuk Him telah mula membuka gelanggang dengan mengingatkan pengundi Manek Urai tentang pentingnya memilih pemimpin yang bijak sambil menempelak Nik Aziz yang mendesak mengadakan debat dengan PM sedangkan bagi Datuk Him lebih baik Nik Aziz memperjuangkan beberapa projek pembangunan yang telah dijanjikan oleh kerajaan pusat sebelum ini. Projek Pelabuhan Tok Bali, Pelabuhan Darat dan lainnya disamping menarik pelaburan asing perlu diberi lebih keutamaan berbanding sekadar mengadakan debat untuk mengatakan siapa betul atau salah. Menariknya beliau membandingkan Kelantan dengan Melaka yang tiada apa-apa sumber alam tetapi mampu menjadi kawasan pelancongan dunia.

5) Majlis Datuk Him tidak meriah sekiranya beliau tidak membuka beberapa pekung dalam pimpinan PAS. Bekas YB yang telah 5 penggal mewakili kawasan tersebut telah meninggalkan jasa terbesar beliau dengan membina ‘jambatan gantung’ yang menghubungkan antara Manek Urai Baru dengan Manek Urai Lama untuk kaum marhaen di sana. Jambatan tersebut hanya mampu menampung trafik sehala pada satu masa. Datuk Him membayangkan kalaulah beliau berada ditempat tersebut, jambatan tersebut mungkin sekarang sudah menjangkau 6 tingkat!! Namun begitu, jasa Bekas YB tersebut yang paling nyata ialah beliau telah meninggalkan hampir 1,000 ekar tanah Ladang Rakyat kepada kaum keluarga beliau!! Itulah jasa utama pemimpin PAS disana.

6) Rumusan dari ceramah tersebut memperlihatkan bahawa BN perlu melahirkan lebih ramai penceramah yang mampu menarik pendengar dari mendengar penceramah yang hanya syok sendiri. Pengundi di Manek Urai adalah mereka yang tidak memerlukan pengkisahan yang terlalu tinggi tetapi mampu mengulas dan merumuskan isu setempat. Biarkan slogan 1Malaysia dan Kerajaan Perpaduan malah mereka tidak minatpun dengan slogan 1Manek Urai. Isu ‘ghetak’, zink rumah dan ‘pok getah’ lebih ‘jijak’ dari isu pemerintahan negara. Satu sumber dan pengolahan isu setempat perlu diberi keutamaan supaya tidak akan jadi kucabagha.

Wednesday, July 1, 2009

MANEK URAI MILIK BN

1) Pelbagai andaian dan bacaan politik sedang dibincang dan diperkatakan oleh masyarakat ekoran Pilihanraya kecil (PRK) Manek Urai sekarang. Ada yang mengandaikan bahawa BN akan dimalukan sekali lagi dalam siri PRK malah ada yang sudah awal-awal lagi merumuskan bahwa BN sudah tidak relevan lagi dalam politik Malaysia. Apapun pandangan dan andaian mereka, ianya amat menarik untuk dianalisa kerana BN yang sudah lebih 50 tahun bertapak di negara ini perlu melakukan sesuatu yang segera bagi memenangi PRK ini.

2) PRK ini juga sebenarnya bukanlah medan terbaik bagi BN kalau dilihat dari segi sejarah pilihanraya di sana. BN hanya memenangi sekali sahaja pilihanraya kawasan berkenaaan iaitu pada tahun 2004 (PRU11) sejak 4 atau 5 PRU yang lepas. Kekebalan arwah Paksu Weil menjadikan BN sukar memenangi kawasan berkenaan sehinggalah beliau tidak dicalonkan pada PRU 11 tersebut. Namun pada PRU 12 yang lalu, nama beliau muncul kembali dan UMNO rebah semula di gelanggang tersebut.

3) Melihat senario yang sedemikian, rakyat marhaen percaya kemenangan PAS di kawasan berkenaan secara berturut-turut sebelum ini adalah sepenuhnya atas sifat peribadi dan kekuatan calon dan bukan kerana kehebatan parti. Soalan yang perlu ditanya adalah apakah calon yang dinamakan PAS sekarang sehebat arwah YB mereka sebelum ini?

4) Manek Urai dilaporkan mengandungi lebih kurang 12,200 orang pengundi berdaftar. Lebih kurang 4,200 orang dari jumlah keseluruhan pengundi tersebut adalah ahli UMNO. Ini menunjukkan bahawa 30% daripada pengundi adalah penyokong BN. Mengandaikan bahawa 70% dari pengundi akan keluar mengundi pada 14 Julai ini, BN sekurang-kurangnya sudah mampu mendapat hampir separuh dari jumlah undi keseluruhan nanti. Andaian mudah ialah semua ahli UMNO turun mengundi pada hari berkenaan atau paling tidak 90% daripadanya. Jika UMNO terus menjaga ahli sendiri dan mereka tidak belot, sokongan pengundi atas pagar hanyalah bonus untuk BN memenangi PRK ini.

5) Soalan paling dinanti sekarang adalah apakah semua ahli UMNO tersebut wujud di Manek Urai? Atau ianya hanyalah ahli berdaftar di atas kertas yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan pemilihan parti semata-semata sebagaimana yang berlaku di tempat lain juga? Dimana kesemua ahli-ahli UMNO tersebut? Bolehkah dikesan kedudukan mereka?

6) Rakyat marhaen mengharapkan kesemua ahli UMNO tersebut bermastautin atau setidaknya pengundi sebenar Manek Urai. Jangan nanti berlaku sebagaimana di sebuah kawasan Parlimen yang berjiran dengan Kuala Krai dimana ahli UMNOnya bukan sahaja tidak pernah menetap atau berasal dari kawasan berkenaan tetapi juga terdiri dari rakyat Sarawak yang cawangan UMNO pun tidak pernah ada di sana. Mereka hanya muncul secara rombongan untuk mengundi di musim pemilihan UMNO.

7) Rakyat marhaen mengharapkan bahawa pimpinan UMNO setempat sudah mula bersalam-salaman dan sudah boleh bertepuk tampar untuk menggerakkan seluruh kekuatan yang ada bagi memenangi PRK ini. Tiada lagi istilah 23 atau istilah orang siapa. Sekiranya ini tidak mampu dilakukan, PRK ini hanyalah satu dari siri kekalahan BN pasca PRU12. PRK seterusnya atau PRU 13 nanti tentunya akan lebih berkucabagha.

Tuesday, June 30, 2009

ULAMAK IKAN SUDAH MAMPU BERKAWAN DENGAN SYAITAN

1) Pilihanraya kecil N 41 Manek Urai (PRK N41) telah mula menampakkan bahang panasnya apabila kedua-dua parti yang dijangka meletakkan calon masing-masing telah mengumumkan wakil mereka.

2) Calon PAS sebagaimana yang dijangka akan diwakili oleh Fauzi Abdullah, seorang ulamak Ikan atau mungkin juga Professional Ikan (bergantung kepada kumpulan mana beliau berada) manakala calon BN pula diwakili oleh Tuan Aziz Tuan Mat, seorang graduan dari univerisiti tempatan dan Pengurus KESEDAR.

3) Apa yang menarik mengenai kedua-dua calon tersebut ialah mereka diberitakan sebagai orang tempatan. PAS sejak dari awal-awal lagi telah mencanang ke seluruh pelusuk negara bahawa calon mereka adalah orang tempatan walaupun Fauzi sebenarnya menetap di Guchil dan bukan di Manek Urai. PAS juga mungkin terlupa bahawa Ahli Parlimen yang mewakili mereka untuk Parlimen Kual Krai adalah ‘orang luar’ yang tak pernah pun tinggal dalam kawasan berkenaan. Apatah lagi untuk bergaul dan bercakap dalam Bahasa Kelate. Apa yang boleh diharapkan dari Ahli Parlimen tersebut yang sepatutnya membawa mesej dan aspirasi rakyat Kuala Krai?.

4) Derita rakyat Manek Urai akan bertambah sekiranya calon mereka si Ulamak Ikan ini berjaya memenangi PRK ini. Apalah sangat yang boleh diharapkan dari beliau? Ilmu agama atau nasihat Professional? Rakyat marhaen percaya kedua-duanya tidak mampu diberikan oleh calon tersebut. Apatah lagi membela nasib rakyat Manek Urai yang rata-ratanya orang kampong yang lahir, membesar dan tinggal di sana. Nik Aziz Nik Mat, Pemerintah Autonomi PAS telah menegaskan bahawa calon mereka adalah calon cakna dan mesra rakyat. Mungkin ada benarnya kalau dinisbahkan kepada aktiviti calon berkenaan sebelum ini yang sentiasa berurusan dengan masyarakat di sana sebagai pemborong ikan. Persoalannya apakah cukup dengan bergaul dalam masyarakat tanpa visi dan arah tuju melayakkan beliau menjadi pembela mereka dalam konteks dunia tanpa sempadan sekarang ini?

5) PAS sebenarnya bukan sahaja telah merendahkan martabat dan pemikiran pengundi Manek Urai dengan meletakkan calon yang tidak berpelajaran tetapi juga cuba meraih sokongan untuk memenangi PRK ini dengan menengahkan calon yang dikenali ramai walaupun mungkin tidak mampu berbuat apa-apa. Bagi PAS, kemenangan politik melalui apa cara pun adalah segala-galanya melebihi kepentingan masyarakat setempat dan fungsi sebenar wakil yang dipilih. Pada pendirian PAS, calon yang sentiasa dilihat berkeliaran dalam kawasan lebih mudah diingati dan diundi oleh pengundi di sana. Istilah berkhidmat untuk rakyat dengan membawa perubahan dan hala tuju masyarakat berilmu sesuai dengan tuntutan zaman tidak diambil kira. Siapapun yang mewakili parti mereka tidak sepenting memenangi pilihanraya dan mengekalkan kuasa walaupun telah jelas secara keseluruhannya rakyat Kelantan semakin terdesak untuk mencari pekerjaan di luar dari negeri tersebut ekoran tiada pelan pembangunan yang terancang.

6) Rakyat marhaen percaya walaupun pengundi di Manek Urai telah matang dalam memilih wakil mereka, PAS masih dan akan sentiasa menggunakan tektik memburukkan peribadi calon BN dan beliau akan digambarkan sebagai seburuk-buruk manusia. Itulah yang bakal terjadi dan mungkin sedang terjadi. Permainan ‘character assassination’ oleh PAS dan parti pembangkang lain di negara ini sudah boleh dijangka walau sebersih manapun calon BN yang dipertaruhkan. Itulah kemahiran dan senjata utama mereka selama ini. Calon BN akan digambarkan sebagai perasuah, kroni, tidak mesra rakyat, hidup secara mewah dan seumpamanya dan calon PAS akan dikhabarkan cakna dan mesra rakyat.

7) Jentera BN sepatutnya telah bersedia dengan jawapan untuk segala tohmahan tersebut. Calon BN walaupun setakat ini telah memenangi pusingan pertama dari segi peribadi dan kekuatan calon perlu melihat juga persiapan jentera PAS. Kecil jangan disangka anak kerana PAS telahpun melepasi falsafah politik ‘Matlamat menghalalkan cara’. Mereka bersedia melakukan apa saja untuk memenangi pilihanraya apatah lagi bila Presiden PAS sendiri sudah hilang bisanya untuk mentadbir parti. Hal ehwal parti ditentukan oleh hanya seorang manusia yang berkuasa autonomi. Presiden PAS hanyalah boneka tanpa kuasa malah poster beliau sendiri tidak dibenarkan ditampal sepanjang kempen PRK ini. Kekalutan dalaman PAS ini sudah lebih dari perebutan kuasa yang biasa malah sudah kacau bilau. Rakyat marhaen bagaimanapun mengharapkan jangan sampai Nik Aziz sanggup meminta bantuan syaitan kerana beliau memang sudahpun berkawan dengan syaitan!! Jangan nanti lebih kucabagha.

Friday, June 26, 2009

HIKAYAT SINDROM AKU MAHARAJA

1) Manusia dan kuasa tidak boleh dipisahkan dari perasaan ego, angkuh, bongkak dan sombong. Semakin tinggi seseorang itu berada di puncak kuasa, semakin tinggi ego dan keangkuhannya kalau tidak dibendung.

2) Keangkuhan manusia yang berada dalam lingkungan kuasa atau lebih tepatnya keangkuhan seorang pemimpin bukan hanya terbatas dari segi tindakan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tetapi juga merangkumi kedegilan menerima pandangan dan pendapat orang lain.

3) Sebuah cerita dongeng masyarakat telah menyebut bahawa seorang raja yang hebat pada satu waktu dahulu tertipu oleh kejahilan dan keangkuhan baginda sendiri apabila terpaksa ditipu oleh tukang jahitnya menggunakan sepersalinan pakaian yang sebenarnya tidak wujud tetapi dikatakan tidak dapat dilihat oleh mata kasar kerana keunikan dan kecantikannya. Ironinya, seluruh rakyat jelata tetap mengatakan bahawa baginda memakai pakaian yang cukup cantik walhal sebenarnya mereka tahu bahawa raja berkenaan tidak berpakaian hatta seurat benang pun sehingga di tegur oleh seorang kanak-kanak yang tentunya tidak pandai berbohong atau berpura-pura kerana dia tidak tahu apa itu ‘Aku Maharaja’.

4) Peristiwa raja tidak berpakaian itu kalau dinisbahkan dalam politik negara hari ini sememangnya sesuatu yang sedang berlaku. Ada pemimpin besar negara yang tidak boleh diberi pandangan apatah lagi dikritik kerana beliaulah satu-satunya cerdik pandai negara yang mempunyai idea yang bernas. Ada menteri yang tidak suka mendengar berita tidak gembira malah ada kalangan pewaris pemimpin politik tidak boleh diberi pandangan kerana beliau adalah lulusan universiti ternama. Menariknya juga ada kalangan juak-juak pemimpin ini yang lebih sudu dari kuahnya.

5) UMNO yang telah kehilangan taring dalam Pilihanraya ke !2 (PRU 12) yang lepas seolah-olah masih tidak faham bahawa suara akar umbi yang mendokong parti selama ini telah berteriak meminta pandangan mereka diambilkira. Sikap hangat-hangat tahi ayam pemimpin menunjukkan mereka masih tidak sedar bahawa golongan muda dan marhaen telah semakin menolak UMNO. Parti yang diasaskan pada perjuangan bangsa, agama dan negara semakin lama telah jauh ketinggalan dari idea-idea baru dan terkini dek kerana sikap pemimpin dan juak-juaknya. Mereka hanya leka dengan istilah merekabentuk, membina dan menyiapkan dari istilah merekayasakan. Apatah lagi istilah portal, blog dan seumpamanya.

6) Parti lawan semakin jauh berkembang. Suara orang muda sentiasa kedengaran.
Idea baru dan terkini semakin hari semakin digunakan. Mereka semakin jauh kehadapan dengan pelbagai program dan pembaharuan. Malangnya apa yang boleh diharapkan oleh pimpinan UMNO. Sebahagiannya dilihat hipokrit, munafik dan berpura-pura. Imbuhan diri mengatasi kepentingan negara malah mengkayakan diri sendiri sudah menjadi agenda utama. Pandangan rakyat umpama kudis bagi mereka, perlu dinyahkan dengan segera.

7) Rakyat marhaen ingin mengingatkan pemimpin bahawa cerita masyarakat tentang raja tidak berpakaian tersebut perlu dijadikan pedoman. Selidikilah aktiviti juak-juak yang meminggiri beliau, dengarilah suara marhaen yang tidak pernah bermimpi makan di Restoran Eden atau Victoria Station. Semakin kita merasakan kita hebat, semakin membuak benci dari rakyat.

8) Jangan nanti kalau diberi nasihat, rakyat marhaen dikatakan berlagak pandai. Jangan nanti kalau dikritik, rakyat marhaen dikatakan menentang. Diam bukan semestinya tanda setuju tetapi Yes Man itu membawa sindrom ‘Aku Maharaja’. Hikayat raja tidak berpakaian berulang semula dan kanak-kanak atau rakyat hina dina akan meluahkan yang sebenarnya. Jangan nanti PRU13 lebih kucabagha, bencanalah jawabnya.

Monday, January 19, 2009

UMNO sudah tidak relevan

Keputusan Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu telah diisytiharkan kepada umum. Rakyat sama-sama telah melihat bagaimana sekali lagi BN (atau lebih tepatnya UMNO) dimalukan di gelanggang sendiri. Gelanggang yang sebelum ini dimenangi secara cukup bergaya walaupun tewas 3 dari 4 DUN dalam Parlimen berkenaan dalam Pilihanraya Umum 12 lalu (PRU 12). Pertambahan majoriti berganda kepada PAS menceritakan keadaan UMNO hari ini.

Semua telah maklum bahawa pilihanraya kecil ini adalah menjadi kayu pengukur kepada tahap keyakinan rakyat kepada UMNO. Pilihanraya kecil kedua ini selepas PRU 12 menjadi medan sebenar bagi UMNO menilai semula keupayaan dan kekuatan parti tersebut. Permatang Pauh bukanlah tempat sebenar mengadu kekuatan mana-mana parti kerana semua telah sedia maklum bahawa Parlimen tersebut adalah kubu kuat Anwar Ibrahim selepas bertahun dalam politik sehingga ke peringkat kedua tertinggi dalam hirarki kerajaan. Kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang sudah dijangka dari awal.

Namun begitu, Kuala Terengganu bagi sesetengah pihak sebenarnya sedikit sebanyak tidak juga mencerminkan kekuatan sebenar UMNO atau PAS. Faktor ketidaktentuan dalam keputusan-keputusan pilihanraya terdahulu menunjukkan bahawa kekuatan kedua-dua parti tersebut adalah seimbang. Mungkin faktor isu semasa dan calon sahaja yang akan memihak kepada mana-mana parti.

Keadaan lebih nampak tidak memihak pada UMNO apabila 3 dari 4 DUN dalam kawasan berkenaan telahpun dikuasai oleh PAS. Paling menarik salah satu DUN berkenaan, Wakaf Mempelam telah pun 5 kali dimenangi oleh PAS secara berturut-turut dan wakilnya adalah calon ahli Parlimen yang bertanding tersebut. Keadaan ini sebenarnya secara awalnya sudah menunjukkan jalan sukar bagi UMNO untuk mempertahankan kawasan yang pernah dimenangi dengan hanya majoriti kecil.

Mungkin dalam PRU 12 yang lalu, UMNO memenangi kerusi tersebut berasaskan faktor penarikan dan penolakan calon. Calon UMNO, Arwah Datuk Razali Ismail terkenal dengan imej bersih dan kebaikannya tetapi PAS memperjudikan nasib Mohamad Sabu, ayam sabung tanpa daerah yang bertanding di mana-mana kawasan yang bukan dalam daerah sendiri. Mungkin mentaliti dan sikap orang Kuala Terengganu tidak boleh menerima calon luar dan Mohamad Sabu tersungkur dalam pilihanraya tersebut. Persoalan yang perlu kita tanya ialah apakah kalau waktu itu PAS mencalonkan anak tempatan, mungkinkah BN yang tersungkur?

Soalan ini sebenarnya perlu juga dikaji oleh UMNO atau dibuat post mortem sebelum ini tetapi sayangnya post mortem politik hanya diadakan apabila kalah dan bukan selepas menang. Sekiranya UMNO memahami keadaan tersebut, UMNO mungkin telah mengenalpasti apa yang pengundi Kuala Terengganu pentingkan. Apakah faktor calon atau kerana UMNO itu sendiri sudah tidak diyakini oleh rakyat lagi?

Memahami keadaan tersebut, semua pihak tidak perlu lagi menuding jari mencari salah siapa dan kenapa. Tiada lagi kekesalan bahawa faktor calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang dikatakan sombong dan tidak mudah senyum tersebut menjadi perbualan sesama jentera dan penyokong parti. Tiada lagi faktor abang beliau, Wan Hisham menyumbang kepada kekalahan tersebut. Tiada lagi faktor keluarga elitis dan susah didekati pengundi. Tiada lagi faktor siapa yang dicalonkan.

UMNO sepatutnya sudah sedar apa perubahan yang rakyat mahukan sekarang. Apakah rakyat mahukan ‘total reform’ dalam UMNO dengan membuang mana-mana pemimpin yang bukan sahaja tidak bersih tetapi tidak dilihat bersih? Apakah rakyat sudah muak dengan kepimpinan Pak Lah sendiri yang dilihat lemah dan dikuasai oleh golongan tertentu? Apakah Najib Razak juga dikaitkan sama dalam ‘total reform’ yang diinginkan? Apakah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah masih tidak dapat menambat hati rakyat untuk melihat sebuah kerajaan yang bersih dan telus? Apakah UMNO sudah terlalu korup sehingga rakyat betul-betul hilang keyakinan kepada parti tersebut?

Persoalan-persoalan tersebut sepatutnya telah dimaklumi oleh UMNO sekiranya UMNO ingin mengembalikan kegemilangan pemerintahan sebagaimana sebelumnya. Sekiranya tiada usaha bersungguh dilakukan dari sekarang dan secara drastik, kemenangan yang sama akan turut dinikmati oleh seorang lagi, Mohd Abdul Wahid Endut dimana-mana kawasan pilihanraya kecil yang ditandingi oleh UMNO dalam waktu terdekat ini.