Tuesday, August 19, 2008

BILA POKOK DIKELIRUKAN OLEH DAHAN DAN RANTING

Jumaat yang lepas, suasana politik tanahair telah sekali lagi menerima kejutan. Kali ini, seorang anak muda bernama Saiful Bukhari Azlan yang menganggap dirinya ‘tukang bancuh kopi’ Anwar Ibrahim telah melakukan Sumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan menyebut secara jelas bahawa Anwar telah meliwat beliau. Keberanian anak muda tersebut adalah sebagai menunaikan janji beliau sebelum ini yang diumumkan oleh peguam beliau bahawa Saiful akan melakukan sumpah laknat sebaik sahaja selesai siasatan polis atas laporan yang telah beliau lakukan. Ternyata Saiful berani mengotakan janji beliau.

Malangnya sebaik sahaja beliau melaksanakan janji tersebut, pelbagai kecaman dan sindiran masih ditujukan kepada beliau terutamanya dari ahli-ahli politik pembangkang Melayu. Ada yang mengatakan bahawa sumpah tersebut menyerupai budaya Kristian kerana memegang Al Quran sebagaimana penganut Kristian memegang Bible. Ada yang mempertikaikan kenapa perlu bersumpah di masjid malah ada golongan marhaen ‘paria’ pembangkang yang berterusan menganggap Saiful telah dibayar untuk melakukan sumpah tersebut. Tidak pula dinyatakan berapakah harga bayaran tersebut sehingga Saiful boleh mempermainkan sumpah dengan nama Allah. Kalau setakat satu atau dua juta, rasanya lebih baik Saiful terus menjadi ‘barang mainan’ Anwar, maklumlah si Sukma pendatang asing pun boleh menjadi kaya raya kerana menjadi ‘tukang tahan’ Anwar.

Apapun komen, sindiran dan kecaman dalam isu tersebut, ianya perlu diperhalusi secara lebih rasional dan saksama terhadap kedua-dua pihak. Saiful telah dijatuhkan hukuman oleh ‘mahkamah media pembangkang’ terlebih dahulu dari perlaksanaan sumpah yang beliau lakukan. Peribadinya dicalar, dicaci dan diperlekehkan sebegitu hina seolah-olah beliau telah membayar harga dirinya dengan wang ringgit yang banyak untuk kepentingan politik pihak tertentu. Belumpun selesai siasatan pihak polis, Saiful sebenarnya telah dijatuhkan hukuman dalam mahkamah politik pembangkang.

Amat malang bagi seorang anak muda yang baru ingin mengenal dunia telah diperlakukan sedemikian rupa tanpa sedikitpun diberi peluang dan ruang untuk membela diri. Beliau terpaksa ‘berperang’ secara berseorangan untuk membuktikan kebenaran dakwaan beliau menentang segerombolan pemimpin dan pakar strategi pihak pembangkang. Apa yang menariknya, Saiful tidak pernah pun mengeluarkan sebarang kenyataan membalas kecaman Anwar dan rakan-rakannya terhadap beliau malah beliau tidak ada ruang untuk itu. Ruang yang ada pada beliau hanyalah di laman ‘friendster’, satu sudut mencari kawan secara maya. Apalah sangat pengaruhnya laman web tersebut kepada ahli-ahli politik negara dan masyarakat umumnya?

Namun begitu, satu sifat yang hebat pada Saiful ialah beliau sentiasa istiqamah dalam dakwaan beliau. Beliau dilihat lebih yakin dengan cerita liwat tersebut berbanding dengan Anwar yang sejak dari awal sentiasa ‘gabra’ sehingga terpaksa berlindung di sebuah kedutaan asing atas alasan keselamatan yang nyawanya dalam bahaya. Namun begitu, nampaknya ‘nyawa’ Anwar masih panjang dan sekarang ini sedang sibuk berkempen di seluruh pelusuk kampung di Permatang Pauh tanpa rasa takut ‘dibunuh’ sebagaimana sebelum ini. Mungkin ‘pembunuh’ atau ‘orang yang ingin membunuh’ beliau telah terlupa misi mereka atau mungkin juga sedang bercuti bersama keluarga di musim cuti sekolah ini. Atau mungkin juga disebabkan minyak mahal, ‘pembunuh’ tersebut terpaksa menunggu di Kuala Lumpur kerana tidak mampu berkejar ke Permatang Pauh.

Saiful yang tertekan dengan ‘penghakiman tanpa bicara’ telah memilih cara yang difikirkan Islamik dengan membuat sumpah laknat. Mungkin bagi beliau, itulah cara untuk menegaskan bahawa beliau berkata benar. Rakyat marhaen patut melihat bahawa sumpah tersebut sebenarnya bukan berbentuk pembuktian sebagaimana dalam kes-kes mahkamah. Bagaimana mungkin kita mengatakan perbuatan bersumpah itu pembuktian sebagaimana kes lian kalau ianya belumpun dibawa ke Mahkamah Syariah. Perbuatan bersumpah tersebut hanyalah luahan rasa Saiful untuk membela dirinya dalam masyarakat bahawa beliau berkata benar dan tidak ada jalan lain yang boleh membuktikan ketegasan beliau walaupun kes itu dibicarakan dimahkamah dan Anwar didapati bersalah. Beliau telah sepenuhnya menyerahkan dirinya kepada Allah SWT.

Saiful tentunya sedar bahawa apakah ada jaminan bahawa sekiranya Anwar didapati bersalah, pihak pembangkang tidak akan mereka cerita konspirasi sebagaimana sebelum ini? Paling teruk, bagaimana kalau Anwar didapati tidak bersalah atas dasar kelonggaran pembuktian atau atas dasar teknikal yang lain? Rakyat marhaen perlu ingat bahawa Anwar dilepaskan semasa rayuan dalam kes liwat sebelum ini atas dasar teknikal dan para hakim mempercayai bahawa perbuatan liwat tersebut benar-benar berlaku. Kalau senario itu berlaku sekali lagi, tentunya Saiful akan terus dicemuh terlibat dengan rekaan konspirasi tersebut.

Perbuatan Saiful bersumpah perlu dilihat sebagai cara menguatkan keyakinan beliau sendiri dan menegaskan kepada rakyat marhaen bahawa beliau sememangnya bercakap benar. Janganlah disamakan sumpah tersebut sebagai pembuktian dalam mahkamah kerana kalau begitulah keadaannya, bagaimana pula sumpah yang dilakukan oleh Nik Aziz Nik Mat semasa memegang jawatan Menteri Besar Kelantan? Kepada siapakah beliau nak buktikan sumpah tersebut? Pembuktian untuk kes apa sumpah tersebut dilakukan? Lainlah kalau Nik Aziz bersumpah bahawa menantunya Ariff Fahmi tidak dilantik secara ‘kroni’ dan tidak terlibat dalam siasatan BPR dalam kes Perbadanan Menteri Besar baru-baru ini?

Sumpah Saiful yang menimbulkan pelbagai reaksi juga perlu diteliti secara lebih rasional. Apapun pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak, tidak ada satu pihak pun yang mengatakan bahawa sumpah tersebut terbatal atau tidak boleh dipakai. Perbincangan tentang cara, tempat dan lainnya mungkin boleh dikatakan perkara furu’ atau mungkin juga khilaf sahaja. Pokok persoalan besar ialah lafaz sumpah tersebut telah mengikut garis panduan Islam sebagaimana yang dikehendaki dan tiada perbahasan tentang hal itu. Ini menunjukkan bahawa sumpah tersebut adalah diterima sebagai sumpah yang benar dalam Islam.

Persoalan tentang memegang Al Quran sebagaimana penganut Kristian memegang Bible sebenarnya bukan masalah besar tetapi hanya diperbesarkan untuk menutup isu sebenar. Apakah semua amalan yang hampir bersamaan dengan amalan agama lain harus dilihat menuruti agama tersebut? Apakah bersumpah di masjid yang merupakan Rumah Allah tidak seluruhnya mengikut ajaran Islam? Apakah untuk mengelakkan dari menyerupai bersumpah di gereja, Saiful perlu bersumpah di rumah beliau? Atau mungkin di luar masjid? Atau di tengah padang sebagaimana rutin sembahyang minta hujan? Atau ada sebahagian sahabat nakal yang mahu dilaksanakan di dalam tandas? Takkanlah kerana 'mengaminkan' doa makan sudah boleh disamakan dengan amalan Kristian yang turut sama 'mengaminkan' doa mereka?

Janganlah lagi umat Islam dipesongkan oleh perkara-perkara kecil melebihi perkara pokok demi kepentingan politik kepartian. Perlukah kita masih berbincang soal bagaimana berniat dalam sembahyang sedangkan Islam sebenarnya difahami oleh 4 mazhab utama yang kadang-kadang berbeza pandangan tentang perlaksanaan? Persoalan pokok ialah sembahyang itu wajib dan itu yang menjadi isu utama. Kenapa perlu dipersoalkan tempat dan apa yang Saiful pegang?

Perbahasan tentang tempat dan apa yang dipegang oleh Saiful juga menarik minat rakyat marhaen untuk menganalisa isu tersebut. Sumpah Saiful dilaporkan telah disaksikan oleh imam-imam Masjid Wilayah Persekutuan disamping dihadiri oleh Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali. Tak diketahui pula setakat mana ilmu agama yang ada didada ahli-ahli agama yang hadir tersebut. Kalaulah benar sumpah tersebut tidak menepati kehendak dan aturan Islam, kenapa para ‘agamawan’ tersebut tidak menasihati Saiful untuk melakukan secara ‘betul-betul Islamik’?

Persoalan lebih besar dari itu juga ialah kalaulah sumpah Saiful tidak menjadi mengikut aturan Islam, rakyat marhaen mencadangkan kepada para ulamak dan ‘agamawan’ dalam parti PAS dan masyarakat seluruhnya supaya membimbing Anwar Ibrahim bersumpah mengikut cara Islam yang sebenar. Mungkin selepas itu, barulah Saiful boleh bersumpah secara Islam sebenar. Tapi jangan pula nanti rakyat marhaen jadi kucabagha..