Saturday, March 22, 2008

BERSUARALAH RAKYAT MARHAEN

Gegak gempitalah seluruh negara bilamana anak raja dari Kelantan yang dikatakan telah menghadiahkan tapak bangunan untuk ibupejabat UMNO menyatakan kesediaan beliau untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden UMNO bagi pemilihan 2008. Maka bergegarlah hulubalang dan panglima UMNO menyanggah dan memperlekehkan kewibawaan anak raja tersebut. Pelbagai sokongan dan kenyataan berdiri teguh di belakang Presiden sekarang telah, sedang dan akan terus didengari sepanjang pemilihan ini.

Ada yang mempersoalkan keikhlasan anak raja tersebut bertanding dan ada pula yang tidak mahu berlaku perpecahan semula dalam UMNO sebagaimana sejarah sebelum ini. Tukang canang sokongan dan juara perpaduan dalam UMNO sudah mula bersuara. Pertandingan bagi mereka akan membawa lebih perpecahan dalam UMNO dan mewujudkan puak-puak yang akan menghancurkan parti tunjang Barisan Nasional itu. Kebenaran kepada kenyataan tersebut mungkin bersifat subjektif. Ianya terpulang kepada pihak yang mentafsirkannya. Namun tidak dapat dinafikan bahawa kemungkinan tersebut mungkin tetap ada. Persoalan besar ialah apakah pertandingan benar-benar memecahkan perpaduan parti atau hanya permainan minda pemimpin atasan supaya tiada pertandingan dalam hirarki tertinggi UMNO? Adakah kemudaratan berpecah ekoran pertandingan mengatasi kemudaratan UMNO dilihat parti yang tidak demokratik? Tiada siapa yang boleh menjawab secara jelas tetapi mungkinkah UMNO memerlukan pertandingan untuk dilihat lebih demokratik dan terbuka dalam suasana politik sekarang?

Melihat kepada kenyataan-kenyataan ‘standard’ yang telah disuarakan setakat ini tentunya tiada apa yang menarik untuk diperhalusi kecuali kenyataan penuh sinis seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang baru sahaja dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh dengan mengesyorkan supaya si anak raja, Ahli Parlimen paling lama berkhidmat dalam sejarah politik Malaysia itu memulihkan dulu UMNO negeri Kelantan. Negeri tanah tumpah anak raja tersebut yang telah pun ‘selesa’ berada di tangan parti pembangkang sejak 18 tahun yang lepas meskipun pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan untuk menawannya kembali.

Menariknya, negeri tempat tumpah darah Ahli MT yang mencadangkan pemulihan tersebut baru sahaja jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya March lepas walaupun sebelum ini telah dinobatkan negeri yang ‘sifar pembangkang’. Rupanya sifar pembangkang di negeri tersebut bermaksud pembangkang dahulu sudah menjadi kerajaan dan telah betul-betul sifar. Mungkin negeri yang telahpun diisytihar maju ini patut terlebih dahulu dipulihkan sebelum menjadi ‘lebih selesa’ di tangan pembangkang. Mungkin Ahli MT berkenaan yang menduduki kerusi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut semasa kekalahan mengejut lalu patut melihat dalam diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain.

Sekarang bukan lagi masa untuk menjadi juara membela sesiapa tetapi mencari sebab musabab kenapa UMNO boleh dimalukan sedemikian rupa. Hentikan politik hero kalau ingin melihat UMNO terus menjadi tunjang parti memerintah negara. Jika tidak, UMNO mungkin akan menjadi arkib yang senasib dengan rakannya Golkar di Indonesia atau Kongres di India suatu ketika dahulu.

PRU ke12 yang lepas sebenarnya meletakkan politik dalaman UMNO dalam keadaan yang sukar difahami. Bagi sesetengah pemimpin, kekalahan paling teruk dalam sejarah itu adalah kerana kelemahan jentera pilihanraya UMNO atau BN sendiri. Sesetengah yang lain meletakkan isu kenaikan harga minyak dunia sehingga mendesak kenaikan harga barangan pengguna dalam negara adalah penyebab utama kekalahan tersebut disamping peningkatan kos sara hidup rakyat. Sesetengahnya lagi menganggap bahawa tiada isu besar yang boleh dijadikan modal oleh pembangkang untuk meraih undi tetapi sekadar undi protes rakyat pada BN. Menariknya ada yang berkata bahawa Pak Lah telah memilih tarikh pilihanraya semasa tiada isu besar dalam negara, cuma beliau tidak sedar bahawa beliaulah isu sebenarnya. Mungkin tidak adil untuk meletakkan faktor kekalahan hanya pada satu faktor semata-mata tetapi bersediakah pemimpin UMNO menerima pandangan dan kritikan rakyat secara terbuka?

Seminggu dua ini pergolakan dalaman UMNO lebih dilihat dalam suasana ketidaksepakatan antara pemimpin dengan ahli bawahan. Para pemimpin sibuk mempertahankan pemimpin yang lebih tinggi manakala ahli bawahan menuntut pemulihan semua peringkat walaupun mungkin ada yang tidak sampai ke tahap menukar Presiden parti. Perubahan selera dan kehendak bawahan ini seharusnya diberi lebih perhatian oleh pimpinan di peringkat atasan. Mungkinkah sudah sampai masanya ahli bawahan dibenarkan berucap dan menyuarakan pandangan mereka tanpa diwakili oleh pemimpin yang dikehendaki oleh pihak atasan parti semata-mata? Mungkinkah perlu UMNO mengadakan mesyuarat agung luarbiasa (EGM) sebagaimana yang disarankan oleh anak raja Kelantan tersebut? Ahli-ahli UMNO sendiri adalah penentunya..

Jangan jadi KUCABAGHA.

No comments: