Saturday, January 1, 2011

FEDERALISME DAN KEPENTINGAN POLITIK

1) Esok (Isnin, 3 Januari 11) merupakan hari pertama bekerja seluruh negara dalam tahun 2011 selepas dianugerahkan cuti khas sempena kemenangan skuad Harimau membawa pulang Piala AFF Suzuki buat pertama kalinya. Esok juga merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh para pemerhati politk Negara bilamana Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya menerima ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru. Datuk Mohd Khusrin Munawi, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah secara rasmi dilantik sebagai SUK Selangor berkuatkuasa 1 Januari 2011.

2) Menariknya, perlantikan Khusrin ditentang oleh Menteri Besar (MB) Selangor dan dibalas dengan merekomen 3 nama lain yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri sehingga MB berusaha mengadap Sultan Selangor bagi menarik balik perkenan baginda dalam perlantikan Khusrin tersebut. Ramai yang beranggapan bahawa penolakan perlantikan Khusrin dikaitkan dengan beberapa tindakan beliau akhir-akhir ini yang dikatakan tidak menguntungkan pengaruh politik pihak-pihak tertentu malah beliau dilihat sebagai agen kepada Kerajaan Pusat dalam usaha mendapatkan maklumat-maklumat tertentu kalaupun tidak untuk menggagalkan keberkesanan Kerajaan negeri.

3) Pelbagai pihak mempertikaikan tindakan MB Selangor dengan alasan bahawa sudah menjadi amalan lazim yang perlantikan 3 ex officio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi negeri-negeri yang dahulunya didalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu adalah dibawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan perkenan Sultan.

4) Kita tidak mahu berbincang secara lanjut peruntukan undang-undang mahupun berkenaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor cuma apa yang mungkin menarik untuk diimaginasikan ialah bagaimana SUK baru akan memasuki pejabat baru beliau di Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah.

5) Mungkinkah beliau akan dihalang memasuki pejabat baru dengan alasan perlantikan tidak sah? Apa yang mampu dilakukan oleh seorang penjawat jawatan awam untuk menentang sebuah kerajaan yang mempunyai pelbagai jentera dan cara untuk melaksanakan perancangan mereka? Mungkinkah Khusrin akan ‘berehat’ untuk beberapa ketika lagi sebelum status sebenar beliau di sahkan?

6) Menarik untuk diperhati bagaimana sebuah Kerajaan Negeri yang telah menerima konsep Federalisme akan menyelesaikan konflik tersebut. Menarik juga untuk dinanti bagaimana Kerajaan Persekutuan menangani perselisihan tersebut. Lebih menarik kalau perkara tersebut menjadi satu lagi krisis Perlembagaan dan ‘precedent’ bagi pengkaji, pengamal dan pelajar undang-undang. Apapun perkara menarik yang bakal berlaku, ternyata politik Malaysia tidak pernah sunyi dan sudah menyelinapi sehingga ke dalam sistem amalan perjawatan perkhidmatan awam. Moga penyelesaian apapun yang bakal diambil tidak akan membawa negara lebih kucabagha.

No comments: