Saturday, January 1, 2011

Artikel 153: YANG DIFIKIRKAN MUNASABAH dan SEWAJARNYA

1) Selamat Tahun Baru 2011 diucapkan kepada sahabat-sahabat. Doa dan harapan semoga semuanya sentiasa dilimpahi kemakmuran dan rahmatNYA. Saya bercadang memulakan Tahun Baru 2011 dengan semangat untuk terus ber’blogging’ di setiap kesempatan dan ruang waktu yang ada.

2) Marilah sama-sama kita mulakan Tahun Baru ini dengan merenung kembali apakah nasib dan kesudahan bangsa Melayu di bumi Malaysia ini sekiranya kita hanya terus bergantung kepada ‘Keistimewaan Melayu’ sebagaimana yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu sehingga pemimpin hari ini.

3) Scenario politik pasca PRU 12 telah merubah lanskap politik sehingga ‘keistimewaan’ tersebut semakin dipersoalkan walaupun semua maklum peruntukan keistimewaan Melayu dan Bumiputra dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana terkandung dalam Artikel 153.

4) Persoalan menarik ialah Artikel tersebut menganugerahkan kepada Yang Di Pertuan Agong kuasa istimewa untuk mempastikan bahawa Melayu dan Bumiputra (anak negeri) direzabkan dalam perkara-perkara (1) pendidikan atau latihan (2) perkhidmatan awam (3) bisiswa dan danasiswa (4) permit dan lesen perniagaan YANG DIFIKIRKAN MUNASABAH dan pihak berkuasa haruslah bertindak SEWAJARNYA dalam perkara-perkara tersebut.

5) Meniti hari-hari dalam 2011 ini menyedarkan kita bahawa keistimewaan-keistimewaan tersebut tidak diperincikan secara jelas. Target pencapaian 30% ekuiti Bumiputra dan seumpamanya bukan termaktub dengan jelas dalam peruntukan Perlembagaan tersebut dan mungkin hanya membawa semangat (spirit) Kontrak Sosial yang dipersetujui semata-mata.

6) Apakah perkara-perkara YANG DIFIKIRKAN MUNASABAH pada Tahun 1969 dulu masih sama dengan persekitaran Tahun 2011 ini? Bagaimanakah bentuk SEWAJARNYA pada Tahun 2011 ini? Mungkinkah perkara-perkara tersebut akan berubah sebagaimana berubahnya kuota kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke universiti-universiti awam? Mungkinkah desakan dan ancaman bangsa lain akan menjadikan perkara YANG DIFIKIRKAN MUNASABAH tidak lagi memberi apa-apa keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputra? Atau paling tidak mengurangkan keistimewaan-keistimewaan tersebut? Mari sama-sama kita renungkan sempena menyambut Tahun Baru ini. Apakah ukuran SEWAJARNYA dalam perbahasan isu tersebut? Jangan nanti penat lelah dan jerit perih pemimpin terdahulu hanya menjadi hiasan dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan sampai negara jadi Kucabagha.

No comments: