Sunday, February 21, 2010

BILA GURU KENCING BERDIRI, MURID KENCING BERLARI!

1 Beberapa hari yang lepas, seramai lebih kurang 500 orang rakyat Malaysia yang terdiri dari ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dan Badan-badan Bukan Kerajaan telah mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kedutaan Australia sebagai menunjukkan bantahan terhadap campurtangan 50 orang Ahli Parlimen Australia dalam isu perbicaraan Anwar Ibrahim.

2 Petangnya serombongan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (exco) yang dikepalai oleh Ketuanya, Khairy Jamaludin (KJ) telah mengadakan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

3 Pertemuan tersebut dikatakan berkisar soal halatuju dan gerak kerja Pemuda terutamanya untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) nanti. Tiada yang menarik dilaporkan berlaku tetapi beberapa orang sahabat yang menghadiri pertemuan tersebut bertelingkah dan saling menafikan ‘perkara kecil’ yang menjadi perhatian apabila dikatakan bahawa seorang ahli yang hadir membawa isu perlantikan KJ ke dalam kabinet.

4 Seorang sahabat yang dikatakan rapat dengan seorang menteri kanan menafikan ada perkara tersebut dibangkitkan tetapi seorang sahabat lain yang dikatakan rapat dengan Ketua Pemuda mengesahkannya tetapi tidak dibincangkan secara serius. Ada seorang sahabat lain membuat rumusan bahawa perkara tersebut telah dirancang terlebih dahulu untuk mendapat perhatian Perdana Menteri. Apapun yang berlaku sebenarnya tidak memberi apa-apa makna pada gerak kerja parti kerana perlantikan sesiapapun dalam kabinet adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri yang tidak perlu dipertikaikan walaupun kadangkala ianya sudah menjadi amalan untuk melantik pemegang jawatan tinggi dalam parti sebagai anggota kabinet. Kalau dilihat susunan kabinet hari ini, beberapa orang ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menang bertanding hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri walhal beberapa orang rakan lain yang entah dari mana munculnya dilantik sebagai Menteri penuh. Itu bukan persoalan kerana Perdana Menteri tentunya mempunyai perkiraan sendiri untuk kelancaran kabinet beliau.

5 Namun apa yang lebih menarik, pelbagai versi yang dibawa oleh rakan-rakan yang hadir tadi mengingatkan rakyat marhaen pada ‘sindrom penafian’ yang semakin berlaku dalam politik Malaysia. Beberapa ketika dahulu, seorang menteri yang menjaga hal ehwal pengguna menafikan bahawa harga minyak akan naik tetapi sehari selepas penafian tersebut, harga minyak sememangnya dinaikkan. Akhir tahun lepas, seorang lagi menteri membuat penafian yang sama untuk harga gula dan seperti dijangka, harga barangan tersebut naik juga.

6 Sedekad yang lalu, Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu menafikan khabar angin perletakan jawatan beliau dari kabinet dan masalah peribadi sehari sebelum beliau digugurkan dari kabinet dan jawatan parti. Beliau masih boleh berpantun dan bermadah berhelah semasa menyampaikan ucapan di negeri beliau sendiri. Akhirnya beliau gugur.

7 Sindrom penafian ini sebenarnya telah memakan diri. UMNO semakin tidak dipercayai kerana dikaitkan dengan pemimpin yang penipu, korup dan berkepentingan diri. Natijah sindrom tersebut dapat dilihat bilamana YAB Perdana Menteri terpaksa bersumpah di masjid bagi membersihkan dirinya dari dikaitkan dengan isu Altantuya kerana sebarang penjelasan dan bukti tidak lagi diterima oleh rakyat. Bayangkan alangkah malunya jentera parti dan kerajaan sehingga Perdana Menteri terpaksa bersumaph di rumah Allah untuk kepentingan parti dan Kerajaan.

8 Rakyat marhaen tidak mahu mempersoalkan siapa yang betul dan siapa salah dalam isu perjumpaan tersebut, jauh sekali ingin mengheret sesiapa tetapi kalau difikirkan secara logik, “Masakan pokok bergoyang kalau tiada angin”.

9 Sindrom penafian telah menular dalam budaya politik UMNO sehingga ke peringkat bawahan terutamanya apabila dikaitkan dengan penafian untuk membodek seorang ketua pada apa peringkat pun. UMNO gagal dalam kajian sikap melalui cawangan kerana ada ketua cawangan yang mengambil pendekatan untuk melapor yang ‘terbaik’ pada bossnya sebagai menafikan apa yang sebenarnya berlaku. Seorang pegawai parti akan menutup sebarang kelemahan dan ketidakcekapan beliau dari pengetahuan Ketua malah ada yang terpaksa menggunakan orang lain untuk tidak melaporkan yang sebenar. Sindrom penafian memang sedang berlaku walaupun kita tidak mengharapkan ianya sebagai satu ajaran kepada rakyat marhaen kerana “Bila guru kencing berdiri, murid kencing berlari”.

10 Rakyat marhaen teringat juga kepada pepatah lama “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Kita tidak mahu sindrom penafian ini akan menjadi ajaran dan budaya dalam politik negara sehingga ke tahap yang lebih teruk. Kita tidak mahu rakyat marhaen masih dianggap tidak bermaklumat walaupun sudah ada yang mengatakan sekarang ini dinding pun sudah boleh bercakap. Kita hanya ingin mengingatkan bahawa dalam dunia serba berteknologi ini, maklumat dan keputusan boleh terus disampaikan walaupun kita belum keluar dari bilik mesyuarat. Jangan nanti terlalu lama rakyat diperbodohkan. Jangan sampai ada yang berkata “Biarkan Luncai terjun dengan labu-labunya” sedangkan rakyat sedang mentertawakan kita. Jangan sampai negara jadi ‘kucabagha’.

1 comment:

AntiKJ said...

Salam bro,

Yang tersurat tidak semestinya benar. Lihat di sebalik yang tersirat.


Konspirasi RM2 juta klik sini