Thursday, July 9, 2009

PPSMI, 1MALAYSIA DAN BAHASA IBUNDA

1) Isu perdebatan hangat Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akhirnya dinoktahkan oleh YAB Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri (TPM) selepas dibentang, dibincang dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009. Keputusan memansuhkan penggunaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara menjelang 2012 diterima secara berbelah bagi di kalangan masyarakat. Ada yang bersetuju 100%, ada yang masih berpendapat yang ianya perlu diteruskan, ada yang mahu pemakaiannya diperbaiki dan tak kurang juga yang bersorak riang melihat ketidaktentuan Kerajaan dalam isu tersebut. Apapun reaksinya, pengumuman rasmi telah dimuktamadkan dan ianya akan menjadi dasar baru sistem pendidikan negara tidak lama lagi.

2) Rakyat marhaen menyambut baik pelbagai usaha dan pengubahsuaian ke arah penggunaan Bahasa Inggeris secara lebih berkesan melalui sistem pendidikan negara. Apatah lagi kesungguhan kerajaan menyediakan prasarana terbaik bagi menyediakan rakyat menghadapi globalisasi namun susulan pengumuman dan pemansuhan tersebut perlu juga dilihat dari pelbagai sudut.

3) Sudut yang paling banyak dipersoalkan oleh kalangan rakyat marhaen ialah tentang komitmen, kreativiti dan keupayaan pemimpin-pemimpin besar negara dalam menangani isu tersebut. Dasar yang diperkenalkan di zaman kerajaan Malaysia Boleh tersebut di sokong dan dijulang semahunya oleh pimpinan negara pada masa berkenaan. Mereka bersyarah dan bertaklimat ke seluruh negara menyambut baik idea penggunaan PPSMI oleh YAB Perdana Menteri. Mereka melaung slogan memajukan negara dan menyahut cabaran globalisasi. Bertahun berlalu dan mereka yang hampir sama inilah yang kemudiannya menghentam pula dasar tersebut. Perlakuan hipokrit yang boleh disamakan sebagai meludah ke langit terpalit ke muka sendiri.

4) Rakyat marhaen boleh menerima keadaan sekarang sekiranya benar bahawa kajian yang dijalankan secara bebas menunjukkan bahawa penggunaan PPSMI tidak mencapai matlamat yang dihasratkan (sebagaimana kata-kata YAB TPM) tetapi perlukah seluruh dasar tersebut dimansuhkan tanpa perlu kepada pengubahsuaian di mana kelemahan tersebut? Mungkin para cendekiawan dan sasterawan yang bijak gemilang melihat kegagalan tersebut sebagai kegagalan sepenuhnya dan ia perlu ditamatkan. Mungkin mereka merasakan pemertabatan Bahasa Malaysia seharusnya menjadi lebih utama dari pendedahan rakyat dalam Bahasa Inggeris. Apapun kemungkinan yang difikirkan, langkah kementerian menambah sessi pelajaran Bahasa Inggeris sedikit sebanyak melegakan. Bayangkanlah graduan tempatan kita yang tidak mendapat pendedahan sepatutnya dalam Bahasa Inggeris tidak memahami malah tidak boleh menguasai bahasa tersebut. Bayangkan berapa ramai graduan tempatan tidak mendapat pekerjaan yang setaraf hanya kerana lemah dalam penggunaan Bahasa Inggeris. Bayangkan berapa banyak kerugian kerajaan memberi mereka pendidikan yang tidak boleh dimanafaatkan oleh negara.

5) Rakyat marhaen berpendapat bahawa keputusan pemansuhan PPSMI telah sedikit sebanyak menunjukkan kegagalan dasar kerajaan. Kita telah memperjudikan nasib anak-anak kita sejak beberapa tahun ini dan akhirnya diakui bahawa dasar tersebut sebenarnya gagal? Kenapa tiada seorang pun dari kalangan ahli politik, cerdik pandai, sasterawan, cendekiawan dan ahli akademik dalam negara yang menyuarakan perkara ini sebelum ini? Kenapa selepas beberapa orang anak Pak Mat daging di SK Bahagia, Kuala Krai atau Pak Teh Bakar di Nenasi, Pahang gagal dalam Matematik dan Sains kerana tidak memahami pembelajaran mereka, barulah kita mula memikirkan keadaan ini? Kemana perginya mereka yang tidak lulus Matematk dan Sains hanya kerana kegagalan memahami Bahasa Inggeris sebelum ini? Bagaimanakah kita mampu membayar gantirugi kegagalan mereka ini? Semua ini perlu dijawab oleh kerajaan kalau benar isu PPSMI ini gagal sepenuhnya.

6) Rakyat marhaen lebih tertarik dengan isu PPSMI ini bilamana segolongan para sasterawan yang kononnya memperjuangkan Bahasa Ibunda berikrar mempertahankan hujah mereka hinggakan sanggup gelaran mereka ditarik balik. Perjuangan mereka harus dipuji tetapi menariknya sebahagian mereka menggunakan Bahasa Inggeris sebagai perbualan harian di rumah dan sebahagian anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negeri dan tidak mengikuti sistem pembelajaran negara. Mungkinkah mereka merasakan anak-anak murid di Kampung Laloh dan Lata Rek tidak berkelayakan mendapat pendidikan dalam Bahasa Inggeris sebagaimana anak-anak mereka yang rata-ratanya bercakap seharian dalam Bahasa Inggeris? Menarik juga apabila dikatakan bahawa Ketua sebuah pertubuhan penulis peringkat nasional yang memperjuangkan Bahasa Ibunda lebih senang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris di sebuah majlis orang-orang Malaysia di selatan tanahair suatu ketika dulu. Mungkin bagi mereka, anak-anak kita tidak perlu belajar Bahasa Inggeris kerana boleh menghakis jatidiri bangsa, biarlah mereka sahaja yang terpaksa menerima situasi tersebut sebelum ini. Alangkah mulianya perjuangan.

7) Pemansuhan PPSMI semasa kerajaan 1Malaysia ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai amat perlu untuk menyatupadukan pelbagai bangsa dalam negara. Bahasa Malaysia perlu menjadi bahasa perantara untuk semua kaum dan sepenuhnya digunakan di sekolah-sekolah. Soalnya kenapa di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK), Bahasa Ibunda mereka masih dibenarkan dan diiktiraf setaraf Bahasa Malaysia disekolah mereka? Kenapa Bahasa Malaysia tidak dicadangkan untuk menjadi bahasa pengantar di sana? Kemana perginya pejuang-pejuang bahasa yang rela ditarik bailk anugerah mereka itu? Kemana perginya ahli-ahli politik zaman 1Malaysia yang lantang mengkritik PPSMI? Kemana perginya semangat Hang Tuah mereka? Atau setidaknya semangat Hang Jebat mereka? Sekali lagi kita menjadi keliru. Sekali lagi kita akan berkucabagha.

2 comments:

ejoe said...

Kita membiarkan puak penentang PPSMI berforum dan berhujah serta berdemostrasi tanpa kita “menyerang balas” melalui hujah/fakta menyokong.

Dan bila kita menganjurkan forum menyokong PPSMI, gagal menarik khalayak (lokasi, informasi, promosi dan fakta yang lemah).

Kita sekadar membiarkan Tun Dr. Mahathir keseorangan menjawab isu ini seolah2 hanya beliau yang faham isu ini.

Sekali lagi, penerangan dari pihak kerajaan pada sy “tidak sampai” atau gagal difahami oleh golongan sasar dan rakyat keseluruhannya.

Dan disaat segala prasarana dan pebelanjaan telah di laburkan utk PPSMI, kerajaan bertindak pula memansuhkan terus PPSMI (bukan menambah baik lompang yg wujud) pastinya menggambarkan lg kredibiliti kerajaan yg “flip-flop” dalam membuat keputusan masa depan negara.

Berbilion RM pula di peruntukkan untuk memperkukuhkan system pembelajaran BI.

Memang berkucabagha!




Adios…

morkiembf said...

Salam,

PPSMI adalah satu program yang bagus. Tiada sapa boleh menafikan bahawa BI adalah amat penting untuk kemajuan negara, dan sebagai individu yang terlibat terus dalam program ini rasa kecewa itu memang wujud.

http://www.apdip.net/projects/2003/asian-forum/resources/my-ict-edu.pdf

Tp aku sebenarnya lebih kecewa kerana PPSMI - satu program yang baik dilaksanakan ibarat memasak mee segera. Tanpa kita sedari, guru-guru yang terlibat dalam program ini sebenarnya langsung tidak bersedia. Bukan kerana mereka tidak pandai, tetapi sistem pendidikan yang mendidik mereka dahulu menggunakan Bahasa Malaysia.

http://www.ejmste.com/v3n2/EJMSTE_v3n2_Idris_etal.pdf

Dan pada ketika itu, lulus @ kredit dalam BI tidak menjadi syarat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Jangan terkejut kalau ada golongan pendidik yang langsung tidak lulus dalam subjek ini. Bukan bertujuan untuk memperkecilkan mana-mana pihak tapi itulah keadaannya.
Jadi bayangkanlah apa yang berlaku apabila ada diantara mereka disuruh mengajar dalam BI! Tidak dapat dinafikan bahawa perlaksanaan program ini disertakan dengan latihan memantapkan penggunaan BI dikalangan guru-guru sains dan matematik. Tp persoalannya, adakah ia benar-benar dapat membantu? Cubalah tanya guru-guru terlibat.

Tapi yang pastinya, penggunaan BI untuk tujuan individu (membaca buku, suratkhabar dsb) jika dibandingkan dengan tujuan mendidik adalah dua keadaan yang jauh berbeza.Dan untuk guru-guru ini menjadi mahir, mereka perlukan masa dan latihan yang berterusan.

Entahlah, yang lepas biarlah lepas....

Cuma aku berharap, sesuatu yang baik akan berlaku dalam MBMMBI.

Wassalam


http://refleksimembangunminda.blogspot.com/