Tuesday, September 1, 2009

ISU KARTIKA: MERASIONALKAN APA YANG TIDAK RASIONAL?

1) Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 seorang model sambilan yang telah berkahwin dan sekarang ini menetap di Singapura secara tiba-tiba telah menjadi seorang ‘selebriti’. Mungkin kepopularan beliau tidak menyamai ‘bintang-bintang’ realiti TV yang semakin bercambah dari sehari ke sehari tetapi sensasi isu yang menyelubungi beliau melebihi publisiti murahan artis-artis yang lebih menampakkan tubuh badan dari bakat mereka.

2) Kartika telah disabit dengan kesalahan meminum arak di khalayak ramai di Mahkamah Tinggi Syariah di Pahang. Beliau telah didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 136, Enakmen Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang. Denda RM5,000 dan 6 sebatan adalah hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.

3) Hukuman sebat ke atas Kartika ini adalah yang pertama diputuskan untuk seorang pesalah wanita bagi kesalahan tersebut walaupun sebelum ini telah ada hukuman yang sama diputuskan ke atas dua beradik Mohamed Nizam Ibrahim dan Mohamed Nasha di Mahkamah dan dengan hukuman yang sama.

4) Tiada kecacatan dan isu yang boleh dipersoalkan dengan keputusan tersebut kerana ianya diperuntukkan di bawah Seksyen berkenaan. Apa yang menjadi perdebatan masyarakat dan mengelirukan marhaen adalah pelbagai komen dan ulasan yang diberikan oleh pelbagai pihak berhubung dengan isu tersebut dan sebahagian komen-komen tersebut sebenarnya sama sekali tidak membina ke arah meletakkan Mahkamah Syariah di tempat yang sepatutnya.

5) Komen dari Shahrizat Jalil yang mencadangkan Kartika membuat rayuan adalah sesuatu yang baik tetapi tidak perlu. Keseluruhan proses Mahkamah tentunya mempunyai tempoh masa tertentu untuk merayu dan Kartika sebenarnya faham dengan sistem tersebut. Beliau telah menyediakan dirinya dengan perlaksanaan hukuman tersebut.

6) Rakyat marhaen tertanya-tanya bilamana semasa Kartika di bawa ke Penjara Kajang untuk dilaksanakan hukuman tersebut, kenderaan yang membawa beliau berpatah balik selepas hanya setengah jam dalam perjalanan. Penghantaran balik Kartika ke rumah keluarga beliau di Sungai Siput menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya yang berlaku.

7) Penjelasan yang dibuat oleh exco Pahang bahawa perlaksanaan hukuman ditangguhkan kerana menghormati Bulan Ramadhan diterima agak baik walaupun agak mengelirukan kerana tiada arahan awal sebelum membawa Kartika pergi. Bagaimana sistem kehakiman negara boleh secara tiba-tiba menangguhkan perlaksanaan tanpa pemberitahuan awal? Perkara tersebut boleh membawa pemikiran bahawa terdapat campurtangan tertentu dalam perlaksanaannya. Apatah lagi pemikiran politik parti pembangkang!

8) Menteri Dalam Negeri yang mengulas kemudiannya meletakkan penangguhan tersebut ke atas ketiadaan juru sebat wanita bagi melaksanakan hukuman. Persoalan yang mungkin masih tidak berjawab ialah apakah sistem Kehakiman Syariah ini masih tidak bersedia melaksanakan hukuman yang dimasukkan dalam peruntukan Enakmen tersebut? Peruntukan yang sebegitu lama tidak menyediakan perlaksanaan hukuman? Pandangan politik pula meletakkan pihak berkuasa sebagai tidak bercadang melaksanakan hukuman tersebut dan sekadar melepaskan batuk di tangga. Natijahnya, pihak Kerajaan dilihat tidak serius dalam melaksanakan hukuman Syariah.

9) Mungkin sudah sampai masanya Kerajaan perlu peka dengan sebarang komen dan pandangan pemimpin-pemimpin Kerajaan dalam sesuatu isu. Percanggahan dan ketidaksamaan versi dalam memberi komen boleh mengundang pelbagai kekeliruan dalam masyarakat, apatah lagi kalau perkara-perkara yang menyentuh isu agama dan politik. Mungkin juga sudah sampai masanya hanya pemimpin-pemimpin Kerajaan yang mempunyai ‘locus standi’ dalam perkara berkaitan sahaja mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan perdebatan dan kesalahfahaman dalam masyarakat.

10) Namun begitu, apapun komen dan ulasan yang diberikan, perlaksanaan dan penangguhan hukuman tersebut masih menimbulkan banyak persoalan. Persoalan yang masih tidak berjawab ialah kenapa perlaksanaan hukuman tersebut diadakan di Penjara Kajang? Kes tersebut berlaku dan disabitkan di Pahang, pesalah menetap di Singapura dan keluarganya di Perak tetapi perlaksanaannya di Kajang. Apa rasional tindakan tersebut? Timbul juga tandatanya tentang bidang kuasa dan dokumentasi yang perlu dalam pemindahan tempat perlaksanaan tersebut kerana kuasa Mahkamah Syariah Pahang adalah dalam negeri berkenaan sahaja. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa perlaksanaan di tempat lain juga boleh mengurangkan semangat perlaksanaan hukuman untuk menyedarkan orang ramai terutamanya masyarakat setempat.

11) Ada juga pengamal undang-undang yang merasakan bahawa hukuman tersebut bercanggah dengan Peraturan Penjara tahun 2005 yang mengecualikan pesalah yang tidak dipenjarakan dari hukuman sebat. Dalam kes Kartika, beliau hanya di kenakan denda dan sebatan dan tiada hukuman penjara.

12) Kesimpulan dari kacau bilau hukuman ke atas Kartika tersebut telah meletakkan negara Malaysia dalam perhatian dunia. Ianya tidak hanya berkisar tentang apa pandangan masyarakat dunia terhadap ‘keterbukaan’ Islam di Malaysia tetapi lebih besar dari itu menampakkan seolah-olah sistem kehakiman negara masih ditahap ‘undang-undang rimba’. Bayangkan sahaja apa perasaan Kartika yang masih tidak pasti bila perlaksanaan hukuman ke atas beliau akan dilaksanakan. Bayangkan bagaimana tidak teraturnya perlaksanaan tersebut. Mungkinkah sistem kehakiman Syariah kita masih berkucabagha?

3 comments:

Che Leh Jangok said...

Keliru memang keliru.
Masaalahnya hari ini tak ada benda pun yang tak mengelirukan. Kita sedang hidup dalam satu sistem ketahanan yang sudah berlubangan ditembusi dari segenap sudut. Memang tak ada benda yang akan dapat dilihat dengan telus dan tulus kerana jarum2 yang berbagai rupa berbagai bentuk sedang menyucuk ancam kita dari berbagai sudut manyilau dan mengelirikan. Yang nak ikut malah ikut ikut terlalu ramai. Sedangkan yang nak cari obat apa lagi mengobat terlalu sedikit. Semuga kecoh ini tidak sampai akan membawa kita kejurang kiamat.

Abe Haji said...

Wi,
Pembangkang mengguna isu ini sebagai bukti BN tidak serius dalam melaksanakan syariah, dan komen-komen Syahrizat semacam mengesahkan. Nampak Syahrizat gelabah dengan komen-komen penentang syariah seperti SIS Forum dsb. Kerajaan BN gagal mengambil kesempatan ini untuk membuktikan keseriusan yang tersekat oleh ketiadaan kesediaan yang perlu. Adakah pembangkang yang melaungkan perlaksanaan hudud sejak lebih dua dekad, satu perlaksanaan yang lebih besar, membuat apa-apa persediaan? Tahukah mereka berapa lama sesuatu sistem perlu menyediakan sumber manusia untuk perlaksanaan itu, dan sebanyak mana mereka sudah bersedia?

ppubkl2009 said...

Tertarik dengan komen Abe Haji di atas tentang sikap pembangkang yang mengambil kesempatan menyelar Kerajaan kerana tidak serius dalam melaksanakan hukuman kesalahan (jinayat) Islam.

1. Enakmen perundangan Islam setiap negeri melainkan Wilayah Persekutuan adalah di bawah kuasa Sultan atau Raja negeri berkenaan.

2. Pernahkah kita mendengar kesalahan jinayat Islam yang menyabitkan dengan perlaksanaan hukuman rotan dilaksanakan di negeri yang diperintah oleh mereka terutamanya PAS? Kelantan? Yang terkini, Kedah?

3. Jadi, apakah yang 'disalakkan' oleh mereka?