Tuesday, September 9, 2008

KEMANA AGENDA 16 SEPTEMBER?

Ribut 16 September berlarutan lagi dan semakin kelam kabut pasca Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, pilihanraya paling sensasi dalam siri pilihanraya-pilihanraya kecil di seluruh negara selama ini. Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) ‘berdegung-degung’ mengisytiharkan bahawa perjalanan ke Putrajaya ‘is still on the track’. Apatah lagi ketuanya, Anwar Ibrahim yang hanya berjawatan ‘penasihat’ masih menunjukkan tanda-tanda konfiden bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi selepas memenangi kerusi yang dipertandingkan itu. Keriuhan pertukaran kerajaan yang bakal berlaku itu bukan sahaja menjadi buah mulut di bangunan Parlimen, tempat dimana ianya mungkin bermula tetapi menjadi perbualan di ‘coffee house’ hotel-hotel mewah, pasaraya-pasaraya, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta malah ‘gerai-gerai canggung’ seluruh negara. Peminat ‘kedai pelayan’ pun rasanya tidak terkecuali membicarakan isu ini.

Isu yang menjadi persoalan dan sering dibahaskan adalah apakah benar PR akan mengambilalih tampuk kekuasaan dari Barisan Nasional (BN)?. Mampukah mereka melaksanakannya? Apakah benar sudah ada 40 orang Ahli Parlimen (MP) dari BN yang bersedia melompat parti untuk membentuk kerajaan baru? Siapakah mereka itu yang sanggup menggadai maruah diri selepas diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum (PRU) lepas untuk berbakti kepada mereka melalui parti yang diwakili sebelum ini?

Persoalan-persoalan diatas sebenarnya tidak memberi apa-apa makna sekiranya kita menganalisa isu ini secara lebih dekat dan halusi. Perkara pokok yang menjadi persoalan ialah apakah benar ada 40 atau sekurang-kurangnya 30 orang MP dari BN akan melompat parti untuk bersama dengan kerajaan baru? Kalau ditakdirkan bahawa memang ada yang berminat untuk berbuat demikian dalam jumlah yang sebegitu banyak, apakah tawaran dan imbuhan yang boleh diberikan atas jasa-jasa mereka itu selepas ini? Apakah ianya lebih baik atau sekurang-kurangnya ‘at par’ dengan apa yang mereka perolehi dan nikmati sekarang? Persoalan ini penting kerana secara logiknya siapapun tidak mungkin memilih untuk berada lebih rendah dari kedudukan yang pernah mereka ada sebelum ini. Apatah lagi untuk bersama dengan satu suasana baru yang tidak diketahui lagi jatuh bangunnya.

Persoalan sama juga perlu dilontarkan kepada MP yang sedang berada dalam PR sekarang. Apakah mereka tidak cemburu dengan apa yang bakal dinikmati oleh ‘rakan-rakan baru’ mereka nanti? Bagaimana dengan pengorbanan dan penat jerih mereka sebelum ini? Apakah mereka tidak termasuk dalam senarai yang perlu juga dijaga imbuhan dan tawaran sebagaimana rakan-rakan tadi? Bagaimana perasaan mereka sekiranya ‘pengagihan’ nanti tidak ‘seistimewa’ sebagaimana dinikmati oleh rakan-rakan tadi? Mungkinkah mereka juga akan melompat keluar dari PR dan memilih untuk bersama BN pula?

Persoalan ‘imbuhan’ dan tawaran menarik dalam suasana ‘membeli’ ini sememangnya perlu dilihat sebagai satu faktor penentu untuk menarik dan mengekalkan kerajaan baru tersebut. Soal pengorbanan, keberkesanan kerajaan dan kesaksamaan dalam pentadbiran kerajaan adalah sesuatu yang terlalu subjektif untuk diukur. Kerajaan BN yang telah dibentuk selama lebih 50 tahun telah membuktikan kecekapan mereka tetapi kerajaan PR belum tentu dapat mempersembahkan kecekapan yang sama sekiranya diberi peluang memerintah. Apatah lagi Kerajaan PR disesetengah negeri yang mereka perintah telah mula bergelut dengan isu-isu rasuah walaupun belum setahun jagung memerintah. Soalnya apakah MP dari BN semudah dan sebodoh itu sehingga tidak nampak realiti tersebut?

Persoalan kedua yang mungkin juga menarik ialah berapakah sebenarnya jumlah MP yang bakal melompat itu, sekiranya ada? Diberitakan dalam media bahawa seramai 49 orang MP dari BN sekarang ini sudah berada di Taiwan atas lawatan sambil belajar anjuran Kelab BNBBC termasuklah MP dari SAPP yang dikatakan ‘hilang keyakinan’ terhadap kerajaan BN sekarang. Diberitakan juga bahawa 30 orang lagi MP dari BN terikat dengan program mereka di kawasan masing-masing tetapi terdapat juga mereka yang akan ikut serta secara berperingkat. Seramai 61 orang lagi MP dari BN adalah mereka yang berjawatan dalam kerajaan termasuk Menteri dan Timbalan Menteri.

Tandatanya besar pada rakyat marhaen ialah berkenaan dengan MP yang tidak mengikuti rombongan tersebut. Mungkinkah mereka akan melompat parti? Apakah MP dari BN termasuk Datuk Mukhriz Mahathir yang baru saja mengisytiharkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan turut melompat parti? Apakah Datuk Mohamed Aziz Seri Gading yang terkenal dengan kelantangannya dalam Parlimen membela BN juga akan berbuat demikian? Mereka tidak berada dalam senarai rombongan tersebut.

Politik adalah permainan segala kemungkinan tetapi apapun teorinya, logik akal juga perlu diambilkira. Munasabahkah Mukhriz menyertai parti dokongan seorang pemimpin yang sentiasa berdendam dengan bapanya? Bagaimana pula dengan Khairy Jamaludin? Sudah hilang akalkah beliau meninggalkan kekuasaan bapa mertuanya untuk bersama dengan orang yang tidak ada apa-apa ikatan keluarga dengannya? Rentetan dari itu juga, apakah akan ada dikalangan Menteri atau Timbalan Menteri yang akan termakan dengan janji-janji baru kerajaan PR nanti? Bawalah apa teori sekali pun, logik akal tidak boleh menerima tokoh-tokoh tersebut melompat untuk menyertai PR seterusnya membentuk kerajaan baru.

Persoalan yang lebih besar dari semua isu lompat melompat ini ialah kesediaan PAS membentuk kerajaan bersama sekiranya sebuah Negara Islam tidak juga ditubuhkan sebagaimana yang mereka kata mereka perjuangkan selama ini?. Apakah 22 MP dari PAS akan terus menyokong kerajaan baru tersebut sedangkan mereka telah pasti bahawa ‘madu mereka, DAP’ adalah kafir harbi yang berterusan menentang konsep Negara Islam?. Tidak dipastikan samada pemimpin PAS adalah penganut marchiavelli yang menghalalkan cara bagi mencapai matlamat mereka untuk berkongsi kuasa tetapi yang pasti pimpinan ulamak mereka tidak mungkin mahu dikategorikan sebagai ‘ular dalam semak’ sebagaimana yang biasa yang dikatakan. Rentetan itu juga, mungkinkah PAS akan membawa diri bersendirian atau mungkinkah akan bersama dengan UMNO atau BN? Lainlah kalau PAS sebenarnya dinakhodai oleh ketua kumpulan Erdogan yang gagal melaksanakan projek kambing Jamnapari di tempat sendiri. Beliau mungkin lebih rela membontoti Anwar Ibrahim yang mungkin telah menjanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau.

Persoalan ini belum lagi diambilkira pengagihan jawatan dari Timbalan Perdana Menteri sehingga Ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat milik kerajaan (GLC). Apatah lagi jawatan-jawatan kementerian strategik dan kroni-kroni perniagaan. Bagaimana pula dengan pertukaran kerusi Parlimen selepas pilihanraya seterusnya? Mungkinkah MP dari DAP akan menguasai kerajaan akan datang? Bolehkah PAS menerimanya? Bolehkah Haji Hadi berkompromi dengan Ustaz Lim Kit Siang? Bolehkah PKR dan Anwar Ibrahim menerima arahan Lim Kit Siang atau paling tidak Lim Guan Eng?

Bagi rakyat marhaen yang hanya tahu ‘suam-suam politik’, persoalan 16 September sebenarnya bukanlah berkenaan dengan tarikh 16, 17, 18, atau 19 September. PKR memang telah pun menyediakan satu set jawapan standard bahawa Kerajaan BN telah ‘mengimbuhi’ MP mereka untuk tidak bersama PKR malah pelbagai alasan lagi boleh dicipta. Permainan politik mereka sebenarnya lebih jauh dari jangkaan tarikh tersebut.

Mereka akan sentiasa memainkan isu perubahan kerajaan supaya seluruh dunia akan melihat bahawa Malaysia bukan lagi sebuah negara yang stabil. Pelabur akan mengambil sikap tunggu dan lihat dan suasana ini akan berterusan sehingga Malaysia tidak lagi menjadi negara stabil untuk melabur. Kesannya negara akan mengalami kekurangan kewangan, kemelesatan ekonomi, kekurangan peluang pekerjaan dan mungkin juga dengan perkembangan semasa, harga barangan semakin naik. Pelbagai demonstrasi, protes dan bantahan akan disuarakan oleh rakyat. Mereka akan mula bosan dan marah dengan kerajaan BN yang ada dan pada ketika itu akan sekali lagi ‘menghukum BN dengan Tsunami Politik’. Inilah mungkin permainan sebenar PKR khususnya Anwar untuk menukar kerajaan sebagaimana yang dicita-citakan.

Tarikh 16 September mungkin hanyalah satu simbol bahawa gerakan menukar kerajaan telah bermula. Kerajaan BN sepatutnya tidak perlu terlalu leka dengan isu yang telah di ‘divert’kan oleh PKR itu tetapi harus terus bekerja keras mempertahankan slogan ‘Tradisi membela rakyat’. Ahli-ahli MP dari BN sudah semestinya tidak harus mencurigai sesama sendiri sehingga memilih jalan yang salah. Janganlah kerana guruh dilangit, air tempayan dicurahkan. Belum tentu hujan akan turun. Jangan nanti negara jadi kucabagha.

1 comment:

C L J said...

Assallamualaikum semua umat Islam:
Ketahuilah apa yang pernah disuarakan oleh Anuar Ibrahim sendiri kepada saya sendiri pada 30hb November 1981 di USM di asrama untuk penempatan para pembentang kertas serta pelalis forum anjuran CAP pada ketika itu:
Dia nak cuma 3:
1. Pangkat dan kedudukan.
2. Kuasa.
3. Wang yang banyak yang tak boleh habis.
Cara mencapainya juga ada 3. Cara yang sedang dugunakan sekarang adalah cara terakhir. Cheleh akan buat posting berperingkat mengenai rahsia ini dilaman blog tokjanggutkeramat. Ikut2lah selalu sementara waega purba ini belajar berbelog bersama tuan.