Tuesday, June 17, 2008

MINYAK NAIK, ANGIN PUN NAIK!!

Pertama sekali, seribu kemaafan dipohon dari teman-teman yang menanti-menanti ‘update’ dari blog ini, kesibukan dan kekangan waktu untuk beberapa ketika kerana berada di luar negara atas urusan peribadi selama hampir 2 minggu membataskan aktiviti ‘bercyber’ untuk beberapa ketika.

Namun begitu beberapa perkara menarik berkaitan politik negara masih tetap menjadi perhatian. Perkara yang paling menarik sekali tentunya tentang kenaikan harga minyak yang melambung naik dalam waktu yang paling singkat selepas beberapa jam diumumkan oleh Pak Lah. Kenaikan yang kononnya hanya akan bermula dalam bulan Ogos sebagaimana diumumkan oleh menteri berkenaan perdagangan sehari sebelum itu rupanya menjadi ‘mimpi ngeri’ rakyat marhaen dalam mencatur perbelanjaan harian mereka. Amat malang sekali ber’menteri’kan seorang yang tidak ‘update’ maklumat kementerian beliau sendiri sehingga rakyat diletakkan dalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapinya.

Kenaikan mendadak dalam waktu terdekat itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dan respon dari rakyat marhaen. Mungkin kalau tidak keterlaluan dikatakan bahawa pandangan negatif kepada Kerajaan Persekutuan mengatasi pandangan positif dalam isu tersebut walaupun pelbagai insentif dan kebajikan diusahakan oleh kerajaan. Kenaikan bahan api tersebut rupanya meresahkan sebahagian besar rakyat marhaen yang berpendapatan sederhana dan ke bawah. Keresahan mereka ini mungkin ada asasnya. Bayangkan mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang terpaksa menyara keluarga dengan anak-anak yang masih bersekolah. Bayangkan kesusahan dan keperitan mereka berada dalam negara yang serba makmur ini. Bayangkan bagaimana mereka harus mengikat perut dalam keadaan hampir semua barang keperluan harian akan dinaikkan harga selepas ini atas alasan kenaikan harga minyak.

Rata-rata rakyat marhaen memperkatakan isu tersebut dan menyoal kewajaran kerajaan menaikkan harga bahan tersebut. Namun apa yang selalu tidak menjadi rasional ialah kenaikan harga minyak bukanlah isu bersifat nasional, ianya adalah isu antarabangsa. Malaysia bukan satu-satunya negara yang terpaksa menempuhi zaman sukar kerana kenaikan tersebut. Mungkin rakyat marhaen tidak sedar bahawa rakan-rakan kita rakyat marhaen di negara-negara tetangga mengalami nasib yang lebih buruk dari apa yang kita hadapi sekarang. Negara-negara tetangga kita tidak pernah pun ‘mengsubsidikan’ harga minyak untuk rakyat mereka.

Rakyat Malaysia mungkin antara yang bertuah didunia kerana masih dibantu dalam isu tersebut. Namun suara-suara ketidakpuasan hati dalam isu tersebut masih terus lantang dan bergema di mana-mana terutamanya dikalangan pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Benarlah kata seorang rakan dari luar negara baru-baru ini bahawa budaya subsidi dan ‘keistimewaan’ telah menjadikan rakyat Malaysia terlalu manja. Budaya subsidi dan ‘hak istimewa’ yang keterlaluan itu juga telah melemahkan rakyat untuk bersaing samada dengan bangsa lain dalam negara atau di luar negara. Rakan tadi menyatakan kehairanan beliau bilamana begitu ramai kontraktor dan ahli-ahli perniagaan Bumiputera telah dibantu oleh kerajaan namun sampai sekarang hanya beberapa kerat sahaja yang mampu berdiri sendiri atau bersaing di peringkat antarabangsa. Mungkin kenyataan rakan tersebut mengguris hati kita dalam beberapa keadaan tetapi hakikatnya sedikit sebanyak ada kebenarannya. Beliau memberi contoh bagaimana seorang anak yang telah berpendapatan sendiri namun sentiasa dibantu oleh ibubapanya tetapi secara tiba-tiba ditarik balik bantuan tersebut. Penarikan balik bantuan tersebut menyebabkan beliau marah dan menyumpah-nyumpah ibubapanya tanpa beliau sedar bahawa beliau tidak sepatutnya sepanjang masa dibantu. Itulah perumpamaan yang diberikan oleh rakan tadi.

Perumpamaan tersebut mungkin sedikit sebanyak ada benarnya. Budaya subsidi dalam negara telah menjadikan rakyat tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menikmati kemakmuran negara kerana belas ikhsan kerajaan yang memerintah. Pelbagai subsidi diberikan setiap tahun oleh kerajaan untuk rakyat termasuk subsidi makanan dan harga barangan lain sehingga rakyat sendiri tidak sedar bahawa keperluan harian mereka sebenarnya telah dibeli secara subsidi. Keprihatinan kerajaan nampaknya tidak berbaloi dalam keadaan terdesak sebagaimana anak yang dibantu tadi.

Menyelusuri isu kenaikan harga minyak bagaimanapun perlu dilihat dari sudut perbandingan di peringkat antarabangsa. Di kebanyakan negara didunia, harga minyak dalam negara adalah mengikut harga pasaran antarabangsa. Tiada subsidi dikurniakan oleh kerajaan apatah lagi bersama-sama mengharungi kesusahan tersebut dengan memotong gaji dan elaun para menteri. Mungkin di Malaysia, rakyat mahu melihat pembesar negara bersama-sama mereka meredah kesesengsaraan bersama. Bandingkan gaji menteri di negara jiran kita Singapura dengan gaji menteri di Malaysia. Perbezaannya amat ketara namun ada juga tidak betulnya perbandingan tersebut kerana perlu juga dilihat dari sudut per kapita dan perbelanjaan harian rakyat. Tetapi mereka di singapura berpandangan bahawa kenaikan tersebut tidak ada kena mengenanya dengan gaji yang mereka nikmati sekarang. Oleh itu apa perlunya gaji dikurangkan? Adakah pengurangan gaji tersebut boleh membantu mengurangkan harga minyak dalam negara?

Apapun perbandingannya, rakyat di Thailand hanya perlu membayar cukai jalan sekali sahaja semasa pembeliaan kenderaan tersebut. Rakyat Australia tidak perlu membayar cukai jalan kenderaan malah bayaran tol di kedua-dua negara tersebut boleh dikatakan hampir tidak ada. Mungkin tindakan kerajaan Malaysia mengsubsidikan harga minyak adalah baik namun bagaimana kalau kerajaan mula memikirkan alternatif-alternatif lain tersebut sebagaimana diamalkan oleh negara-negara tetangga kita?. Mungkinkah harga subsidi tersebut boleh digunakan untuk membina prasarana lebih baik bagi penggunaan NGV yang tentunya lebih murah dari petrol? Sekarang ini penggunaan NGV hanya terbatas kepada stesyen-stesyen minyak tertentu sekitar Bandaraya Kuala Lumpur sahaja. Bagaimana kalau bayaran subsidi tersebut digunakan untuk usaha-usaha dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi biofuel atau kaedah-kaedah lain yang mungkin lebih menguntungkan rakyat berbanding penggunaan petrol? Mungkinkah satu waktu nanti pengeluaran minyak akan terlupus dan bagaimana kerajaan dan rakyat menghadapi situasi tersebut tanpa alternatif yang tersedia?

Kenaikan harga minyak tersebut sebenarnya mencetuskan juga perbincangan tentang tahap keselesaan sistem pengangkutan awam negara. Tahap pengangkutan awam negara dalam Bandaraya Kuala Lumpur sekalipun masih ditahap kurang sempurna sehingga tidak mampu mengajak rakyat yang berpendapatan sederhana untuk sama-sama menggunakannya. Ketidakserasian antara pengangkutan bas, LRT, komuter dan lainnya menyebabkan rakyat tidak memilih untuk memanafaatkan pengangkutan awam sebagaimana di negara-negara maju lain. Sikap dan mentaliti rakyat bahawa pengangkutan awam adalah untuk mereka yang berpendapatan rendah perlu dikikis. Keadaan ini diburukkan lagi oleh sikap pemandu teksi yang samada enggan membawa penumpang ke tempat-tempat tertentu pada waktu-waktu tertentu disamping caj perkhidmatan yang melampau menambahkan lagi keengganan rakyat menggunakan salah satu perkhidmatan awam tersebut.

Kalau itulah senarionya sistem pengangkutan di Bandaraya Kuala Lumpur, bayangkan keadaannya di bandar-bandar kecil seperti Kota Bharu atau Kuala Trengganu? Bayangkan bagaimana keadaannya di bandar Gua Musang? Atau di Besut? Mungkin tidak ada kesesakan trafik tetapi sistemnya tidak membantu untuk menggalakkan rakyat menggunakan sistem pengangkutan awam. Natijahnya semua rakyat ingin berkenderaan sendiri dan bebas dari membuang masa menunggu kenderaan awam atau penat memikirkan pengangkutan awam mana yang sepatutnya dinaiki. Mungkin kerajaan perlu memikirkan secara serius tentang isu tersebut dalam waktu yang terdekat.

Kenaikan harga minyak juga mencetuskan isu politik bagi pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang bukan sahaja kelihatan seolah-olah tidak faham dengan rasional kenaikan tersebut tetapi turut memprovokasi rakyat supaya berdemonstrasi dan menentang kerajaan. Apakah dengan berdemonstrasi tersebut harga minyak boleh disewenang-wenangya diturunkan oleh kerajaan? Apakah Malaysia sahaja yang mengalami kenaikan harga minyak tersebut?

Kita mungkin boleh bersetuju bahawa harga minyak di Malaysia mungkin lebih mahal dari harga yang diadapati di sesetengah negara pengeluar minyak yang lain. Namun apa yang perlu diperbandingkan juga adalah pendapatan per kapita rakyat negara berkenaan disamping kadar perbelanjaan mereka. Apakah harga barangan dan keperluan harian di sana berada pada tahap yang sama? Adakah peruntukan pembangunan dalam negara mereka serancak keadaan di Malaysia? Apakah rakyat mereka menikmati kemudahan dan kebajikan sebagaimana yng kita nikmati hari ini? Semua persoalan ini akan menentukan samada perbandingan harga minyak antara negara tersebut tepat atau tidak.

Perkara yang tentunya menarik dalam pertikaian politik mengenai harga minyak tersebut ialah bilamana seorang pemimpin pembangkang yang bertaraf penasihat kepada sebuah parti politik tetapi bercita-cita menjadi Perdana Menteri berjanji akan menurunkan segera harga minyak dalam negara sebaik beliau menjadi Perdana Menteri. Agaknya inilah yang dikatakan kalau sesuatu perkara tersebut diserahkan kepada bukan ahlinya, nescaya bala yang akan menimpa. Pemimpin berkelulusan kelas ketiga dalam bidang sastera tersebut mungkin lebih sesuai menjadi pemidato bagi demonstrasi sahaja dari menjadi pemimpin politik dalam negara. Seluruh dunia dihimpit kenaikan harga minyak namun beliau berjanji untuk menurunkan harga tersebut. Mungkin juga beliau sedar bahawa beliau tidak mungkin menjadi Perdana Menteri, oleh itu pelbagai janji boleh ditabur kerana tentunya tidak perlu difikirkan untuk dilaksanakan. Kalau benarlah beliau seorang yang bijak dalam isu tersebut, kenapa tidak dimaklumkan kepada umum apa perancangan beliau sehingga boleh menurunkan harga minyak tersebut. Mungkin pendedahan secara umum akan lebih menguatkan lagi keyakinan rakyat bahawa beliau mampu melaksanakan apa yang dijanjikan itu.

Jangan jadi seperti apa yang berlaku di sebuah negeri bilamana Menteri Besarnya yang datang dari parti politik yang sama dengan pemimpin kelas ketiga tersebut terpaksa memikirkan semula janji-janji manifesto pilihanraya mereka kerana tidak pernah menyangka bahawa mereka akan memerintah sebuah negeri. Malangnya berketuakan seorang yang hanya tahu berjanji tetapi tidak memikirkan bagaimana melaksanakannya.

Jangan jadi KUCABGAHA ..

No comments: