Sunday, February 21, 2010

BILA GURU KENCING BERDIRI, MURID KENCING BERLARI!

1 Beberapa hari yang lepas, seramai lebih kurang 500 orang rakyat Malaysia yang terdiri dari ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dan Badan-badan Bukan Kerajaan telah mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kedutaan Australia sebagai menunjukkan bantahan terhadap campurtangan 50 orang Ahli Parlimen Australia dalam isu perbicaraan Anwar Ibrahim.

2 Petangnya serombongan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (exco) yang dikepalai oleh Ketuanya, Khairy Jamaludin (KJ) telah mengadakan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

3 Pertemuan tersebut dikatakan berkisar soal halatuju dan gerak kerja Pemuda terutamanya untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) nanti. Tiada yang menarik dilaporkan berlaku tetapi beberapa orang sahabat yang menghadiri pertemuan tersebut bertelingkah dan saling menafikan ‘perkara kecil’ yang menjadi perhatian apabila dikatakan bahawa seorang ahli yang hadir membawa isu perlantikan KJ ke dalam kabinet.

4 Seorang sahabat yang dikatakan rapat dengan seorang menteri kanan menafikan ada perkara tersebut dibangkitkan tetapi seorang sahabat lain yang dikatakan rapat dengan Ketua Pemuda mengesahkannya tetapi tidak dibincangkan secara serius. Ada seorang sahabat lain membuat rumusan bahawa perkara tersebut telah dirancang terlebih dahulu untuk mendapat perhatian Perdana Menteri. Apapun yang berlaku sebenarnya tidak memberi apa-apa makna pada gerak kerja parti kerana perlantikan sesiapapun dalam kabinet adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri yang tidak perlu dipertikaikan walaupun kadangkala ianya sudah menjadi amalan untuk melantik pemegang jawatan tinggi dalam parti sebagai anggota kabinet. Kalau dilihat susunan kabinet hari ini, beberapa orang ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menang bertanding hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri walhal beberapa orang rakan lain yang entah dari mana munculnya dilantik sebagai Menteri penuh. Itu bukan persoalan kerana Perdana Menteri tentunya mempunyai perkiraan sendiri untuk kelancaran kabinet beliau.

5 Namun apa yang lebih menarik, pelbagai versi yang dibawa oleh rakan-rakan yang hadir tadi mengingatkan rakyat marhaen pada ‘sindrom penafian’ yang semakin berlaku dalam politik Malaysia. Beberapa ketika dahulu, seorang menteri yang menjaga hal ehwal pengguna menafikan bahawa harga minyak akan naik tetapi sehari selepas penafian tersebut, harga minyak sememangnya dinaikkan. Akhir tahun lepas, seorang lagi menteri membuat penafian yang sama untuk harga gula dan seperti dijangka, harga barangan tersebut naik juga.

6 Sedekad yang lalu, Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu menafikan khabar angin perletakan jawatan beliau dari kabinet dan masalah peribadi sehari sebelum beliau digugurkan dari kabinet dan jawatan parti. Beliau masih boleh berpantun dan bermadah berhelah semasa menyampaikan ucapan di negeri beliau sendiri. Akhirnya beliau gugur.

7 Sindrom penafian ini sebenarnya telah memakan diri. UMNO semakin tidak dipercayai kerana dikaitkan dengan pemimpin yang penipu, korup dan berkepentingan diri. Natijah sindrom tersebut dapat dilihat bilamana YAB Perdana Menteri terpaksa bersumpah di masjid bagi membersihkan dirinya dari dikaitkan dengan isu Altantuya kerana sebarang penjelasan dan bukti tidak lagi diterima oleh rakyat. Bayangkan alangkah malunya jentera parti dan kerajaan sehingga Perdana Menteri terpaksa bersumaph di rumah Allah untuk kepentingan parti dan Kerajaan.

8 Rakyat marhaen tidak mahu mempersoalkan siapa yang betul dan siapa salah dalam isu perjumpaan tersebut, jauh sekali ingin mengheret sesiapa tetapi kalau difikirkan secara logik, “Masakan pokok bergoyang kalau tiada angin”.

9 Sindrom penafian telah menular dalam budaya politik UMNO sehingga ke peringkat bawahan terutamanya apabila dikaitkan dengan penafian untuk membodek seorang ketua pada apa peringkat pun. UMNO gagal dalam kajian sikap melalui cawangan kerana ada ketua cawangan yang mengambil pendekatan untuk melapor yang ‘terbaik’ pada bossnya sebagai menafikan apa yang sebenarnya berlaku. Seorang pegawai parti akan menutup sebarang kelemahan dan ketidakcekapan beliau dari pengetahuan Ketua malah ada yang terpaksa menggunakan orang lain untuk tidak melaporkan yang sebenar. Sindrom penafian memang sedang berlaku walaupun kita tidak mengharapkan ianya sebagai satu ajaran kepada rakyat marhaen kerana “Bila guru kencing berdiri, murid kencing berlari”.

10 Rakyat marhaen teringat juga kepada pepatah lama “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Kita tidak mahu sindrom penafian ini akan menjadi ajaran dan budaya dalam politik negara sehingga ke tahap yang lebih teruk. Kita tidak mahu rakyat marhaen masih dianggap tidak bermaklumat walaupun sudah ada yang mengatakan sekarang ini dinding pun sudah boleh bercakap. Kita hanya ingin mengingatkan bahawa dalam dunia serba berteknologi ini, maklumat dan keputusan boleh terus disampaikan walaupun kita belum keluar dari bilik mesyuarat. Jangan nanti terlalu lama rakyat diperbodohkan. Jangan sampai ada yang berkata “Biarkan Luncai terjun dengan labu-labunya” sedangkan rakyat sedang mentertawakan kita. Jangan sampai negara jadi ‘kucabagha’.

Tuesday, February 16, 2010

LAMBAKAN PEKERJA ASING: SILAPNYA DI MANA?

1 Rakyat marhaen tertarik dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishammudin Hussein, Menteri Dalam negeri bahawa beliau terkejut dengan lambakan luar biasa warga asing dalam negara ini terutamanya yang keluar semasa musim-musim cuti perayaan. Akhirnya pihak kerajaan sendiri telah mengakui bahawa kedatangan pekerja asing telah member impak yang besar terhadap persekitaran sosial dalam negara.

2 Kenyataan tersebut bukan perkara baru bagi keseluruhan rakyat Malaysia tetapi telah lama di adukan walaupun tindakannya agak diragukan. Ada sesetengah kawasan perumahan yang hampir dikuasai oleh orang asing sehingga menakutkan penduduk tempatan terutamanya kaum wanita untuk keluar dari rumah. Ada kawasan yang tahap gejala sosialnya begitu menjijikkan masyarakat tempatan tanpa ada teguran dari mana-mana pihak. Ada kawasan yang penduduknya berada dalam ketakutan dari segi keselamatan dan tahap jenayah yang semakin mengancam. Semuanya itu bukan cerita dongeng tetapi itulah realiti yang berlaku di beberapa kawasan penempatan.

3 Rakyat marhaen percaya bahawa kerajaan sedang memikirkan langkah terbaik bagi menangani isu tersebut. Lambakan warga asing sebenarnya berkait rapat dengan faktor permintaan dan penawaran terutamanya berkaitan penggajian yang lebih murah. Kebanyakan mereka datang ke negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan. Ada pihak yang menganggarkan warga asing akan mencecah 5 juta orang menjelang tahun ini (2010) dibandingkan dengan total rakyat Malaysia seramai 26 juta orang malah dilaporkan bahawa pekerja asing yang masuk secara sah dan berdaftar sudah melebihi 2 juta orang. Persoalan besar ialah di mana mereka ini berada? Apakah sekiranya ketiadaan mereka akan menjejas pertumbuhan ekonomi negara? Rakyat marhaen semakin gusar bila memikirkan tahap pengangguran di kalangan rakyat tempatan terutamanya graduan universiti begitu membimbangkan tetapi dalam waktu yang sama lambakan pekerja asing semakin meningkat.

4 Masalah pekerja asing bukan sahaja berkait rapat dengan gejala dan budaya sosial yang dibawa tetapi juga memberi impak terhadap pengaliran keluar wang dalam negara disamping menjejaskan peluang rakyat tempatan terutamanya pekerja bawahan untuk mendapat peluang. Bayangkan pengawal keselamatan sudah pun di kontrakkan kepada pekerja asing dan kadang-kadang melibatkan beberapa tempat strategik dalam negara termasuk pejabat-pejabat kerajaan dan perbankan. Bayangkan mereka yang bekerja dalam industri perkhidmatan makanan segera telah diambilalih oleh pekerja asing. Bayangkan anak-anak kita diasuh dan diajar oleh warga asing. Semua ini mungkin perlu tetapi setakat mana keperluan tersebut?

5 Kita masih tertanya-tanya apakah yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam isu kemasukan pekerja asing sedangkan ianya melibatkan hampir 20 kementerian dan agensi kerajaan. Apakah pengkelasan mereka kepada 13 kategori masih tidak mencukupi untuk menyekat kemasukan mereka secara tidak berpatutan walaupun pelbagai syarat dan peraturan dikenakan? Apa pula peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan dan imigresen bagi menentukan bahawa mereka mengikuti sepenuhnya syarat kemasukan mereka? Bagaimana dengan pemantaun pekerja asing yang telah tamat tempoh visanya?

6 Rakyat marhaen mencadangkan supaya dasar perindustrian negara dikaji secara serius untuk membolehkan penggunaan sepenuhnya teknologi dan tenaga mahir tempatan sekaligus mengelakkan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga asing. Kita mahukan supaya Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing supaya menyegerakan pembentukan Jabatan khusus menangani isu tersebut. Kita juga menyambut baik pembentukan Jawatankuasa Penambahbaikan, Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing (JIPP Warga Asing) yang dipengerusikan sendiri oleh Hishammudin untuk mengkaji beberapa isu berkaitan pekerja asing terutamanya berkaitan kemasukan dan undang-undang. Namun begitu kita juga tidak mahu melihat dasar yang baik dicemari oleh perlaksanaan yang lemah. Penglibatan pasukan keselamatan terutamanya dari sudut ketelusan dan kesungguhan menyekat kemaraan warga asing secara tidak sah juga perlu diberikan perhatian. Kita tidak mahu lagi mendengar rungutan bahawa ada sebilangan pasukan keselamatan kita bersekongkol membenarkan kemasukan mereka untuk mendapat habuan sedangkan keselamatan dan keamanan negara digadaikan sewenang-wenangnya.

7 Rakyat marhaen yakin bahawa keamanan dan kesejahteraan negara ini perlu dipertahankan. Malaysia adalah sebuah ‘syurga’ bagi pekerja asing tetapi dalam waktu yang sama jangan sampai rakyat tempatan merasakan seoalah-olah mereka hidup dalam ‘neraka’. Jangan pula negara kita jadi ‘kucabagha’.

Monday, February 15, 2010

SIAPA DISEBALIK PROTES AHLI PARLIMEN AUSTRALIA?

1) Malaysia sekali lagi menjadi perhatian dunia. Kali ini bukan juga kerana kejadian gempa bumi yang melanda negara aman ini malah bukan kerana pertukaran Kerajaan 16 September seperti yang dicanangkan oleh Peliwat Tegar Negara tetapi hanya kerana Malaysia sedang melaksanakan proses keadilan terhadap seorang pemimpin parti Pembangkang mengikut peruntukan undang-undang yang telah diterimapakai di seluruh dunia.

2) Beberapa hari yang lepas, seramai 50 orang ahli ‘Australian House of Representatives’ (Ahli Parlimen di Dewan Rakyat) dari parti memerintah, Parti Buruh Australia (Australian Labor Party (ALP) yang diketuai oleh Michael Danby, wakil dari Melbourne Ports, Victoria menyerahkan satu nota protes kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kononnya pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi sekarang atas tuduhan liwat perlu ditarik balik untuk ‘menjaga imej Malaysia’.

3) Nota Protes tersebut jelas memperlekehkan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini. Apakah Australia masih berfikiran bahawa Malaysia mengamalkan undang-undang rimba dan korup? Rakyat marhaen masih tidak memahami apakah kaitannya diantara ‘menjaga imej Malaysia’ dengan sistem keadilan negara? Apakah para pembuat undang-undang (law makers) Parlimen Australia ini merasakan hanya sistem perundangan mereka yang betul dan menyifatkan sistem kehakiman negara ini berat sebelah dan bersifat diktator?

4) Sejarah campurtangan asing dalam proses perundangan di Malaysia bukanlah baru. Kira-kira seabad yang lepas bilamana pertama kali Anwar dibicarakan di mahkamah di atas pertuduhan yang sama, negara-negara kuasa dunia terutamanya Amerika Syarikat bersungguh-sungguh mengatakan tiada keadilan untuk Anwar. Mungkin tidak keterlaluan kalau ditanya oleh rakyat marhaen, keadilan yang bagaimana lagi perlu diberikan kepada Anwar? Apakah dengan cara melepaskan beliau dari tuduhan menunjukkan keadilan telah dilaksanakan atau dilihat telah dilaksanakan? Tidakkah mereka tahu bahawa Anwar sejak dari awal lagi telah memohon pelbagai perkara di Mahkamah agar pertuduhan kali kedua tersebut dibatalkan? Tidakkah mereka tahu bahawa penangguhan terhadap tuduhan tersebut telah sekian lama dilakukan dengan Anwar menggunakan pelbagai ruang dan peluang untuk melepaskan diri?

5) Rakyat marhaen melihat nota protes tersebut lebih kepada agenda pihak-pihak tertentu atau dengan kata mudah ‘kawan-kawan rapat’ Anwar untuk ‘membela’ beliau dan meletakkan Malaysia sebagai negara yang tidak menghormati undang-undang. Ianya lebih bersifat membantu ‘kawan’ yang bermasalah dan memudahkan beliau menaiki takhta untuk kepentingan bersama. Bayangkan bagaimana sebuah negara luar secara tiba-tiba cuba campurtangan dalam proses perundangan negara. Bayangkan apakah agenda mereka. Bayangkan siapakah yang memulakan insiatif protes tersebut.

6) Michael Danby mewakili kawasan beliau semenjak 1998 sehingga sekarang malah beliau merupakan satu-satunya Ahli Parlimen Australia berbangsa Yahudi sehingga 2007 apabila Mark Dreyfus dipilih untuk menyertai Parlimen Australia. Perkara menarik mengenai Michael ialah beliau merupakan Presiden ‘Australasian Union of Jewish Students’ malah sebelum itu pernah berkhidmat sebagai Editor untuk ‘Australia-Israel Review’ dari tahun 1986 hingga 1993. Apakah profil beliau tersebut memberi apa-apa makna kepada rakyat Malaysia? Apakah kaitannya dengan Anwar? Sama-sama kita renungkan.

7) Rakyat marhaen merasakan bahawa Kevin Rudd yang merupakan Perdana Menteri Australia dari Parti Buruh sepatutnya mengambil inisiatif memohon maaf kepada kerajaan Malaysia atas kebiadapan rakan-rakan beliau tersebut yang telah membentuk Kerajaan Australia. Parti Buruh diwakili oleh 83 orang Ahli Parlimen dari 150 Ahli Parlimen seluruh Australia. Atau adakah protes tersebut sememangnya dari Rudd sendiri?

8) Perdana Menteri Malaysia bagaimanapun mengambil pendekatan diplomasi dengan mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Malaysia memperjelaskan secara berfakta berkenaan kes mahkamah tersebut. Mungkin pendekatan tersebut boleh diterima tetapi kenapa perlu kita memperjelaskan kepada sebuah negara asing berkenaan proses perundangan dalam negara kita? Apakah kita bertanggungjawab memperjelaskan keadaan tersebut dalam konteks hubungan antara negara?

9) Rakyat marhaen ingin mencadangkan supaya badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sayangkan negara menghantar bantahan atas campurtangan tersebut kepada Kerajaan Australia. Kita mahu Kerajaan Australia menyelesaikan dulu masalah hak dan kepentingan ‘aborigines’ di negara mereka daripada bercakap soal kedaulatan undang-undang negara ini. Jangan nanti kuman diseberang boleh nampak, gajah didepan mata tidak kelihatan. Kedaulatan negara perlu dipertahankan supaya negara kita tidak jadi ‘kucabagha’.