Thursday, September 11, 2008

ISU PERKAUMAN atau ISU PARTI KOMPONEN?

Akhirnya kemelut ‘isu perkauman’ yang menjadi perbualan dan perbahasan hangat di mana-mana ruang dalam negara mengundang padah pada seorang pemimpin ‘kecil’ UMNO di peringkat bahagian. Datuk Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang dikatakan ‘punca’ kepada kemelut perkauman itu dijatuhkan hukuman oleh pimpinan UMNO dan hilang haknya selama 3 tahun dari bertanding atau memegang apa-apa jawatan dalam parti.


Bagi sesetengah kalangan terutamanya orang Melayu, Ahmad adalah ‘Hero Melayu’ yang telah dikorbankan oleh UMNO untuk mengambil hati kaum Cina dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN). Bagi sesetengah yang lain, Ahmad adalah pencetus kemarahan kaum lain dan ada yang lebih berani mengatakan bahawa Ahmadlah punca kekalahan BN di Pilihanraya kecil Permatang Pauh. Beliau telah dikambing hitamkan oleh komponen parti yang lain untuk menutup kelemahan dan ketidakcekapan sendiri seolah-olah isu tersebutlah yang semata-mata menyumbang kepada kekalahan BN yang memang telah diduga sejak dari awal.


Apapun tohmahan, kenyataan atau pandangan siapapun dalam hal ini, suatu perkara yang pasti bahawa Ahmad akhirnya terpaksa melepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian dalam suasana ‘wrong time and at wrong place and venue’. Ahmad menerima hukuman dalam keadaan semua komponen parti dalam BN masing-masing masih terpinga-pinga mencari sebab musabab BN ditolak oleh rakyat. Ahmad dihukum dalam keadaan setiap parti komponen menuding jari sesama sendiri mencari kesalahan parti lain. Ahmad menerima nasib buruk hanya kerana masa beliau membuat komen adalah tidak bersesuaian.


Rakyat marhaen melihat isu perkauman yang dikatakan ini sebenarnya lebih merupakan isu yang dilencongkan untuk menutup kelemahan parti-parti dalam komponen BN. Ianya bukan soal bangsa Cina, India atau seumpamanya ‘terasa hati’ dengan bangsa Melayu. Ianya lebih kepada menuding jari kepada siapa yang boleh disalahkan dalam Pilihanraya Umum yang lepas atau pilihanraya-pilhanraya kecil selepas itu. Setiap kenyataan, komen atau pandangan yang ada menyebut pasal ‘kaum’ akan sentiasa menjadi ‘isu perkauman’ walau dari sudut manapun ianya disebut. Mengingati sejarah kemerdekaan, menyusuri kontrak sosial malah menyebut atau membicarakan perihal Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Negara pun akan difahami sebagai isu perkauman kepada mana-mana kaum di Malaysia. Ironinya, kaum Melayulah yang sentiasa beralah dan ‘apologetic’ dalam isu tersebut walau apa situasinya. Melayulah yang dikatakan mencetus isu perkauman dan pemimpin Melayulah yang akan sentiasa meminta maaf.


Mungkin disedari atau tidak, menyelidiki secara mendalam isu Ahmad Ismail ini, kita sebenarnya hanya membincangkan isu perkauman dalam konteks parti komponen BN sahaja. Ianya tidak pernah keluar dari kepompong tersebut. Kesalahan besar Ahmad adalah mencabar Parti Gerakan keluar dari komponen BN dan cabaran besar tersebut ditujukan khas kepada pemangku Presiden parti Gerakan. Isu ‘menumpang’ yang sebelum ini dikatakan punca sebenar telah pun diperjelaskan oleh beliau dan mendapat sokongan semua Ketua-ketua UMNO Bahagian di Pulau Pinang. Pemberita yang dikatakan salah lapor tersebut hanya didiamkan oleh kaum cina. Beliau tidak pernahpun dipersoalkan dalam isu tersebut. Fokus ‘isu perkauman’ tersebut hanya ditujukan kepada kenyataan Ahmad mencabar parti Gerakan keluar dari komponen BN.


Apakah berbaloi beliau dihukum sedemikian hanya kerana mencabar komponen parti BN? Apakah beliau sahajakah yang pernah berbuat demikian? Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin parti komponen lain yang pernah menyebut perkara yang sama samada dalam waktu terdekat atau beberapa ketika dahulu?


Kalau ingin disenaraikan cabaran dan ugutan yang pernah dibuat oleh pemipin-pemimpin parti komponen yang lain dalam BN terhadap isu keluar dari parti BN, rasanya parti Gerakan lebih menjuarai cabaran tersebut. Gerakan Perak sebelum ini pernah menggesa pucuk pimpinan mereka meninggalkan BN malah pemangku Presiden Gerakan dalam waktu terdekat ini pernah menyuarakan bahwa parti itu akan mengkaji kedudukan mereka dalam BN. Bukankah kenyataan tersebut juga berbentuk mengugut dan mencabar sama seperti kenyataan Ahmad? Beliau mungkin ingin meletakkan kekalahan dalam PRU lepas atas bahu UMNO seolah-olah beliau tidak sedar bahawa beliaulah yang mengepalai BN dalam PRU tersebut.


Paling terbaru, bekas Ketua Pemuda MCA Perak yang tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti baru-baru ini meminta pucuk pimpinan MCA mempertimbangkan untuk keluar dari BN. Beliau secara jelas menyebut bahawa pimpinan BN khususnya UMNO tidak sensitif dan tidak mementingkan kepentingan kaum lain dalam BN. Bukankah ucapan tersebut juga bertujuan menyalahkan parti komponen lain dan bertujuan mengugut komponen BN yang lain?


Apakah ugutan dan ancaman tersebut berbentuk perkauman atau semata-mata cabar mencabar dalam parti komponen BN? Kalau Ahmad disalahkan kerana mencabar parti lain dan dikenakan hukuman, kenapa mereka yang pernah berbuat perkara yang sama dari parti komponen BN tidak dikenakan apa-apa tindakan? Oleh itu benarkah isu yang hangat dibincangkan ini adalah isu perkauman atau isu parti komponen BN sahaja?


Isu perkauman sebenar sepatutnya tidak berkisar kepada kehendak parti komponen untuk menghukum ahli parti yang lain tetapi lebih merupakan soal keselamatan, sensitiviti dan kemarahan kaum terhadap kaum lain. Isu perkauman bukan semata-mata isu cabar mencabar parti atau isu mencabar pemimpin parti lain meletak jawatan. Isu perkauman adalah isu yang akan mengkucar kacirkan ketenteraman dan kestabilan negara. Isu tersebut bukan hanya isu politik semata-mata malah mungkin melampaui pejuang-pejuang parti berdasar ras kaum.


Rakyat marhaen masih ingat bagaimana seorang pemimpin kanan Pemuda Gerakan pernah menyebut bahawa kaum India dilayan sebagai warga kelas keempat dalam negara ini sebelum ini. Malangnya kerana kenyataan tersebut terlalu hampir dengan Pilihanraya Umum, isu tersebut didiamkan dan sampai sekarang tiada apa-apa tindakan disiplin pernah diketahui dikenakan oleh parti tersebut terhadap pemimpin berkenaan. Kenyataan tersebut mungkin lebih tepat dikatakan isu perkauman dari kenyataan Ahmad sebelum ini tetapi Gerakan tidak pernah pun mengambil peduli walaupun didesak oleh Pemuda UMNO. Bagaimana pula pihak berkuasa negara mengkelasifikasikan kenyataan tersebut. Bukankah ianya lebih berbau perkauman dari kenyataan Ahmad tersebut?


Pemimpin pembangkang, Teresa Kok pernah membawa isu ‘wanita China dibogelkan’ dalam tahanan sehingga ke perbincangan dalam dewan Parlimen dan memaksa Menteri Melayu meminta maaf kepada kerajaan China. Penyiasatan lanjut akhirnya membuktikan bahawa wanita yang dibogelkan tersebut adalah dari kaum Melayu. Isu tersebut juga telah diertikan oleh Bangsa Cina sebagai isu perkauman sebelum itu. Teresa telah membangkitkan kemarahan dan sensitiviti kaum Cina walaupun realitinya tidak benar tetapi apakah beliau pernah dihukum kerana pendedahan tersebut?


Isu perkauman dan sensitiviti pernah juga disuarakan oleh masyarakat Cina sehingga melangkaui budaya dan amalan orang Melayu malah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pernah terpaksa meminta maaf dari kaum Cina dalam isu mencium keris dalam Perhimpunan Agung UMNO. Keris yang memang telah menjadi warisan Melayu turun temurun secara tiba-tiba dipersoalkan kehadirannya dalam Perhimpunan umat Melayu terbesar di dunia. Bukankah isu tersebut lebih berbau perkauman kerana mempersoalkan budaya dan amalan kaum lain?


Pernah seorang pelajar Malaysia di Taiwan yang berbangsa Cina menunjukkan kreativiti dengan mempersendakan lagu Negaraku dan Agama Islam tetapi apakah tindakan yang pernah diambil terhadap beliau? Kenapa parti komponen seperti Gerakan tidak bersungguh mendesak pelajar berkenaan diambil tindakan sedangkan telah secara jelas mencipta isu perkauman?


Namun begitu, perkara yang berkaitan juga dalam isu perkauman ini adalah apakah isu perkauman tersebut hanya tertumpu kepada kaum Melayu perlu menjaga hati kaum lain? Apakah isu perkauman hanya wujud bila orang Melayu beria-ia mempertahankan keistimewaan Melayu yang dijanjikan oleh Perlembagaan? Apakah isu perkauman bilamana orang melayu bersuara mengingatkan sensitiviti mempersoalkan perkara yang telah diputuskan? Apa sebenarnya isu perkauman? Janganlah nanti kerana mempersoalkan parti komponen lain dalam BN pun sudah boleh dianggap isu perkauman. Jangan nanti kita terkeliru antara keselamatan negara dengan kepentingan parti politik dalam BN. Jangan jadi kucabagha.

Tuesday, September 9, 2008

KEMANA AGENDA 16 SEPTEMBER?

Ribut 16 September berlarutan lagi dan semakin kelam kabut pasca Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, pilihanraya paling sensasi dalam siri pilihanraya-pilihanraya kecil di seluruh negara selama ini. Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) ‘berdegung-degung’ mengisytiharkan bahawa perjalanan ke Putrajaya ‘is still on the track’. Apatah lagi ketuanya, Anwar Ibrahim yang hanya berjawatan ‘penasihat’ masih menunjukkan tanda-tanda konfiden bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi selepas memenangi kerusi yang dipertandingkan itu. Keriuhan pertukaran kerajaan yang bakal berlaku itu bukan sahaja menjadi buah mulut di bangunan Parlimen, tempat dimana ianya mungkin bermula tetapi menjadi perbualan di ‘coffee house’ hotel-hotel mewah, pasaraya-pasaraya, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta malah ‘gerai-gerai canggung’ seluruh negara. Peminat ‘kedai pelayan’ pun rasanya tidak terkecuali membicarakan isu ini.

Isu yang menjadi persoalan dan sering dibahaskan adalah apakah benar PR akan mengambilalih tampuk kekuasaan dari Barisan Nasional (BN)?. Mampukah mereka melaksanakannya? Apakah benar sudah ada 40 orang Ahli Parlimen (MP) dari BN yang bersedia melompat parti untuk membentuk kerajaan baru? Siapakah mereka itu yang sanggup menggadai maruah diri selepas diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum (PRU) lepas untuk berbakti kepada mereka melalui parti yang diwakili sebelum ini?

Persoalan-persoalan diatas sebenarnya tidak memberi apa-apa makna sekiranya kita menganalisa isu ini secara lebih dekat dan halusi. Perkara pokok yang menjadi persoalan ialah apakah benar ada 40 atau sekurang-kurangnya 30 orang MP dari BN akan melompat parti untuk bersama dengan kerajaan baru? Kalau ditakdirkan bahawa memang ada yang berminat untuk berbuat demikian dalam jumlah yang sebegitu banyak, apakah tawaran dan imbuhan yang boleh diberikan atas jasa-jasa mereka itu selepas ini? Apakah ianya lebih baik atau sekurang-kurangnya ‘at par’ dengan apa yang mereka perolehi dan nikmati sekarang? Persoalan ini penting kerana secara logiknya siapapun tidak mungkin memilih untuk berada lebih rendah dari kedudukan yang pernah mereka ada sebelum ini. Apatah lagi untuk bersama dengan satu suasana baru yang tidak diketahui lagi jatuh bangunnya.

Persoalan sama juga perlu dilontarkan kepada MP yang sedang berada dalam PR sekarang. Apakah mereka tidak cemburu dengan apa yang bakal dinikmati oleh ‘rakan-rakan baru’ mereka nanti? Bagaimana dengan pengorbanan dan penat jerih mereka sebelum ini? Apakah mereka tidak termasuk dalam senarai yang perlu juga dijaga imbuhan dan tawaran sebagaimana rakan-rakan tadi? Bagaimana perasaan mereka sekiranya ‘pengagihan’ nanti tidak ‘seistimewa’ sebagaimana dinikmati oleh rakan-rakan tadi? Mungkinkah mereka juga akan melompat keluar dari PR dan memilih untuk bersama BN pula?

Persoalan ‘imbuhan’ dan tawaran menarik dalam suasana ‘membeli’ ini sememangnya perlu dilihat sebagai satu faktor penentu untuk menarik dan mengekalkan kerajaan baru tersebut. Soal pengorbanan, keberkesanan kerajaan dan kesaksamaan dalam pentadbiran kerajaan adalah sesuatu yang terlalu subjektif untuk diukur. Kerajaan BN yang telah dibentuk selama lebih 50 tahun telah membuktikan kecekapan mereka tetapi kerajaan PR belum tentu dapat mempersembahkan kecekapan yang sama sekiranya diberi peluang memerintah. Apatah lagi Kerajaan PR disesetengah negeri yang mereka perintah telah mula bergelut dengan isu-isu rasuah walaupun belum setahun jagung memerintah. Soalnya apakah MP dari BN semudah dan sebodoh itu sehingga tidak nampak realiti tersebut?

Persoalan kedua yang mungkin juga menarik ialah berapakah sebenarnya jumlah MP yang bakal melompat itu, sekiranya ada? Diberitakan dalam media bahawa seramai 49 orang MP dari BN sekarang ini sudah berada di Taiwan atas lawatan sambil belajar anjuran Kelab BNBBC termasuklah MP dari SAPP yang dikatakan ‘hilang keyakinan’ terhadap kerajaan BN sekarang. Diberitakan juga bahawa 30 orang lagi MP dari BN terikat dengan program mereka di kawasan masing-masing tetapi terdapat juga mereka yang akan ikut serta secara berperingkat. Seramai 61 orang lagi MP dari BN adalah mereka yang berjawatan dalam kerajaan termasuk Menteri dan Timbalan Menteri.

Tandatanya besar pada rakyat marhaen ialah berkenaan dengan MP yang tidak mengikuti rombongan tersebut. Mungkinkah mereka akan melompat parti? Apakah MP dari BN termasuk Datuk Mukhriz Mahathir yang baru saja mengisytiharkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan turut melompat parti? Apakah Datuk Mohamed Aziz Seri Gading yang terkenal dengan kelantangannya dalam Parlimen membela BN juga akan berbuat demikian? Mereka tidak berada dalam senarai rombongan tersebut.

Politik adalah permainan segala kemungkinan tetapi apapun teorinya, logik akal juga perlu diambilkira. Munasabahkah Mukhriz menyertai parti dokongan seorang pemimpin yang sentiasa berdendam dengan bapanya? Bagaimana pula dengan Khairy Jamaludin? Sudah hilang akalkah beliau meninggalkan kekuasaan bapa mertuanya untuk bersama dengan orang yang tidak ada apa-apa ikatan keluarga dengannya? Rentetan dari itu juga, apakah akan ada dikalangan Menteri atau Timbalan Menteri yang akan termakan dengan janji-janji baru kerajaan PR nanti? Bawalah apa teori sekali pun, logik akal tidak boleh menerima tokoh-tokoh tersebut melompat untuk menyertai PR seterusnya membentuk kerajaan baru.

Persoalan yang lebih besar dari semua isu lompat melompat ini ialah kesediaan PAS membentuk kerajaan bersama sekiranya sebuah Negara Islam tidak juga ditubuhkan sebagaimana yang mereka kata mereka perjuangkan selama ini?. Apakah 22 MP dari PAS akan terus menyokong kerajaan baru tersebut sedangkan mereka telah pasti bahawa ‘madu mereka, DAP’ adalah kafir harbi yang berterusan menentang konsep Negara Islam?. Tidak dipastikan samada pemimpin PAS adalah penganut marchiavelli yang menghalalkan cara bagi mencapai matlamat mereka untuk berkongsi kuasa tetapi yang pasti pimpinan ulamak mereka tidak mungkin mahu dikategorikan sebagai ‘ular dalam semak’ sebagaimana yang biasa yang dikatakan. Rentetan itu juga, mungkinkah PAS akan membawa diri bersendirian atau mungkinkah akan bersama dengan UMNO atau BN? Lainlah kalau PAS sebenarnya dinakhodai oleh ketua kumpulan Erdogan yang gagal melaksanakan projek kambing Jamnapari di tempat sendiri. Beliau mungkin lebih rela membontoti Anwar Ibrahim yang mungkin telah menjanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau.

Persoalan ini belum lagi diambilkira pengagihan jawatan dari Timbalan Perdana Menteri sehingga Ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat milik kerajaan (GLC). Apatah lagi jawatan-jawatan kementerian strategik dan kroni-kroni perniagaan. Bagaimana pula dengan pertukaran kerusi Parlimen selepas pilihanraya seterusnya? Mungkinkah MP dari DAP akan menguasai kerajaan akan datang? Bolehkah PAS menerimanya? Bolehkah Haji Hadi berkompromi dengan Ustaz Lim Kit Siang? Bolehkah PKR dan Anwar Ibrahim menerima arahan Lim Kit Siang atau paling tidak Lim Guan Eng?

Bagi rakyat marhaen yang hanya tahu ‘suam-suam politik’, persoalan 16 September sebenarnya bukanlah berkenaan dengan tarikh 16, 17, 18, atau 19 September. PKR memang telah pun menyediakan satu set jawapan standard bahawa Kerajaan BN telah ‘mengimbuhi’ MP mereka untuk tidak bersama PKR malah pelbagai alasan lagi boleh dicipta. Permainan politik mereka sebenarnya lebih jauh dari jangkaan tarikh tersebut.

Mereka akan sentiasa memainkan isu perubahan kerajaan supaya seluruh dunia akan melihat bahawa Malaysia bukan lagi sebuah negara yang stabil. Pelabur akan mengambil sikap tunggu dan lihat dan suasana ini akan berterusan sehingga Malaysia tidak lagi menjadi negara stabil untuk melabur. Kesannya negara akan mengalami kekurangan kewangan, kemelesatan ekonomi, kekurangan peluang pekerjaan dan mungkin juga dengan perkembangan semasa, harga barangan semakin naik. Pelbagai demonstrasi, protes dan bantahan akan disuarakan oleh rakyat. Mereka akan mula bosan dan marah dengan kerajaan BN yang ada dan pada ketika itu akan sekali lagi ‘menghukum BN dengan Tsunami Politik’. Inilah mungkin permainan sebenar PKR khususnya Anwar untuk menukar kerajaan sebagaimana yang dicita-citakan.

Tarikh 16 September mungkin hanyalah satu simbol bahawa gerakan menukar kerajaan telah bermula. Kerajaan BN sepatutnya tidak perlu terlalu leka dengan isu yang telah di ‘divert’kan oleh PKR itu tetapi harus terus bekerja keras mempertahankan slogan ‘Tradisi membela rakyat’. Ahli-ahli MP dari BN sudah semestinya tidak harus mencurigai sesama sendiri sehingga memilih jalan yang salah. Janganlah kerana guruh dilangit, air tempayan dicurahkan. Belum tentu hujan akan turun. Jangan nanti negara jadi kucabagha.