Tuesday, May 27, 2008

BILA KILANG BABI LEBIH MULIA DARI ISLAM HADHARI

Kenyataan terbaru Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali dalam Sidang pertama Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang ada kaitan dengan Islam Hadhari mengundang pelbagai reaksi dari rakyat marhaen. Reaksi terbanyak tentunya tentang kesan dari larangan tersebut. Larangan mengadakan sebarang program ‘berbau’ Islam Hadhari samalah kesannya dengan mengharamkan Islam Hadhari itu sendiri walaupun tidak secara lansung. Pemahamannya tetap sama walaupun pemberitahuannya dalam bentuk yang berbeza.

Kenyataan berbau politik dan diselubungi prasangka tersebut amat mengejutkan walaupun mungkin sudah boleh dijangka. Pandangan beliau yang mewakili pandangan Kerajaan negeri adalah sesuatu yang sungguh memalukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Bayangkan bagaimana keadaannya apabila Islam yang telah diterima oleh pihak British sebelum ini sebagai agama rasmi tetapi hanya sebahagian sahaja program berbentuk keislaman yang boleh dilaksanakan sekarang dalam sebuah negeri yang bernaung di bawah payung Persekutuan. Bayangkan bagaimana pandangan rakyat marhaen yang bukan Islam tentang pertelingkahan umat Islam mengenai ‘Islam’ atau tidak sesuatu program berbentuk Islam. Bayangkan bagaimana semakin kelirunya rakyat marhaen bukan Islam tentang mana satu Islam yang betul dan yang tidak betul.

Apakah Islam Hadhari yang dipeloporkan oleh kepimpinan Pak Lah pernah difatwakan haram sebelum ini oleh Majlis fatwa sehingga ianya boleh diwartakan haram di Selangor? Apakah Selangor ingin mendahului negeri-negeri lain yang sealiran pemikiran politik dengannya untuk mengharamkan Islam Hadhari? Bagaimana pandangan Mufti Negeri Selangor dan Jawatankuasa Fatwa negeri? Pernahkah Hassan Ali, seorang yang hanya tahu berceramah motivasi dan bukan dari kalangan berpendidikan agama mendahului pandangan Mufti mengharamkan Islam Hadhari tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkenaan?

Pandangan dan kritikan rakyat marhaen terhadap keputusan tersebut mungkin sudah tidak berguna lagi. Keputusan telah diambil dan diwartakan dalam sebuah persidangan Dewan Negeri. Namun, beberapa perkara lain yang mungkin lebih penting patut difikirkan oleh Hassan Ali daripada hanya memikirkan tentang pemikiran politik sempit yang sentiasa berada dalam ketakutan dirampas semula kerajaan negeri yang rapuh tersebut.

Rakyat marhaen mencadangkan kepada Hassan Ali untuk mengharamkan kilang arak di Negeri Selangor secepat mungkin. Mungkin pakar motivasi tersebut tidak sedar bahawa kesan arak membawa kemudaratan yang lebih besar dari Islam Hadhari yang disalahtafsirkan. Mungkin beliau tidak sedar bahawa masih banyak rakyat Negeri Selangor beragama Islam yang secara terbuka meminum arak. Arak dari kilang tempatan mungkin lebih murah dibeli dan lebih memudahkan rakyat mendapatnya.

Mungkin pakar motivasi tersebut tidak sedar bahawa masih banyak rumah-rumah urut yang menawarkan pelbagai pakej keseronokan beroperasi di negeri tersebut. Dan mungkin juga beliau tidak sedar ada ‘full package’ masih ditawarkan dalam operasi rumah-rumah urut tersebut yang mengundang gejala zina dan masalah sosial lain. Mungkin juga ramai anak-anak gadis Selangor yang ‘menawarkan perkhidmatan’ dalam bidang tersebut.

Mungkinkah pakar motivasi tersebut tidak sedar bahawa Arak dan Zina itu adalah lebih berdosa besar dari menyampaikan ceramah Islam Hadhari yang tak pasti lagi haram halalnya. Mungkin beliau memang keliru antara Islam Hadhari yang hanyalah satu pendekatan dengan pemahaman bahawa ianya satu penjelmaan agama baru.

Rakyat marhaen hanya ingin bertanya pakar motivasi yang terkenal dengan pelbagai cara menyelesaikan masalah tersebut tentang bagaimana cara yang lebih baik menyelesaikan isu Islam Hadhari ini. Menyelesaikan masalah mengikut ilmu pengurusan adalah dengan cara memahami punca masalah tersebut. Apakah punca sebenar timbul isu Islam Hadhari ini? Puncanya adalah kerana ianya disalahtafsirkan sebagai satu ajaran agama baru. Oleh itu, apakah mengharamkan terus Islam Hadhari ini lebih afdal dari menerangkan kepada rakyat tentang kesalahfahaman bahawa ianya bukan satu agama baru? Mungkin pakar motivasi tersebut tidak begitu memahami ilmu pengurusan dalam perniagaan kerana kebanyakan projek motivasi yang didapatinya adalah kerana kemurahan hati kerajaan BN yang membantu mempopularkan beliau. Kalu tidak, mungkin beliau hanyalah konsultan motivasi di peringkat sekolah yang memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, kalau tidak pun PMR!!

Persoalan besar yang perlu juga ditanya ialah apakah isu Islam Hadhari ini membawa perpecahan besar dalam negara sehingga ada yang menganut Islam dan ada yang ‘menganut Islam Hadhari’? Belum pernah ada mereka yang dituduh ‘menganut agama Islam Hadhari’ menceraikan isteri kerana berlainan ‘agama’ sebagaimana yang dilakukan oleh ‘penganut PAS Islam’ kepada ‘orang UMNO taghut’ beberapa tahun dulu. Malah belum pernah ada lagi mereka yang dituduh ‘penganut Islam Hadhari’ bersembahyang 2 imam kerana merasakan ‘Islam’ mereka lebih baik dari Islam orang lain.

Bagi rakyat marhaen, Kerajaan Negeri Selangor perlu lebih fokus dalam pentadbirannya. Selangor dari segi geografinya mencerminkan kestabilan negara secara sepintas lalu. Kalau perkara-perkara dasar tidak disokong oleh kerajaan negeri ini, bagaimana para pelabur boleh yakin bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang stabil untuk melabur? Mungkin Kerajaan Negeri Selangor perlu lebih fokus pada keadaan semasa umat Islam di negeri tersebut dari menunjukkan keprihatinan terhadap kemegahan memiliki kilang babi terbesar dalam negara. Mungkin juga Kerajaan Negeri Selangor perlu lebih memahami bahawa menghalang program Islam Hadhari dari dilaksanakan dalam negeri tersebut memberi imej di peringkat dunia bahawa umat Islam di Malaysia telah berpecah. Mungkinkah masyarakat Islam semakin berpecah belah kesan dari pengharaman tersebut?

Jangan jadi kucabagha..

Tuesday, May 6, 2008

REFORMASI DALAM UMNO = KHAYALAN?

Seorang rakan yang sekarang ini merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian di sebuah negeri di Pantai Timur bercerita tentang betapa susahnya semasa beliau memohon untuk menjadi ahli UMNO. Beliau merupakan graduan dari luar negeri yang pada masa berkenaan baru saja menghabiskan pengajian terpaksa mengisi borang permohonan sebanyak 6 kali dalam masa lebih dari setahun disamping pelbagai usaha dilakukan untuk mendaftar diri sebagai ahli. Beliau terpaksa menguruskan sendiri permohonan beliau sehingga ke peringkat ibupejabat UMNO.

Ketua cawangan tidak menerima permohonan beliau malah pernah borang permohonan yang dihantar melalui cawangan tidak dihantar untuk diproses manakala ketua bahagian pula tidak mengendahkan permintaan untuk berbuat sesuatu. Mungkin ketua bahagian hanya mendengar penerangan dari ketua cawangan berkenaan dan memutuskan untuk tidak berbuat apa-apa terhadap permohonan tersebut. Pada masa berkenaan, rakan tersebut merasakan bahawa UMNO bukannya parti politik yang beliau agungkan selama ini, namun kerana semangat dan motivasi yang tinggi, beliau berusaha menjadi ahli sehingga akhirnya beliau berjaya. Susahnya menjadi ahli UMNO bagi beliau.

Beliau bercerita bagaimana seorang ketua cawangan boleh mensabotaj permohonan hanya dengan menarik keluar salinan kad pengenalan yang dihantar bersama borang permohonan walaupun duit yuran disertakan. Tektik sabotaj permohonan dalam diam seperti ini mungkin telah banyak berlaku malah mungkin berlaku di mana-mana cawangan atau bahagian. Mungkin ianya bukan satu kes terpencil (isolated case). Mungkin juga ianya sudah menjadi rahsia umum (public secret) bilamana orang baru ingin menjadi ahli UMNO.

Cerita rakan tadi bukan pertama kali didengari malah kes beliau mungkin yang ke berapa ribu kali berlaku ke atas permohonan baru terutamanya dari golongan professional. Soalnya kenapa perkara ini boleh berlaku? Adakah golongan professional dan berpendidikan merupakan satu ancaman kepada UMNO? Atau sekadar ancaman kepada ketua cawangan atau Bahagian demi menjaga status quo mereka?

Rakan tadi bercerita bagaimana ketua cawangan atau bahagian boleh menggunakan kedudukan mereka untuk menidakkan pembayaran yuran yang kemudian tidak melayakkan seseorang ahli dari menyertai mesyuarat cawangan malah ada cawangan yang boleh diisytihar tidak layak mengadakan mesyuarat tahunan atas sebab-sebab tertentu. Kesemua tektik sabotaj ini merupakan sesuatu yang biasa berlaku terutamanya semasa musim-musim pemilihan dalam parti. Tidak diketahui pula berapa ramai ahli-ahli yang telah tidak bernasib baik seperti ini kerana berketuakan seorang yang takut kepada proses demokrasi, namun kesannya amat mendalam kepada golongan muda dan professional untuk tdak menyertai UMNO dan memilih untuk bersama parti lawan.

Mungkin bagi seorang ketua cawangan atau bahagian, kalau seorang pengundi tidak menyertai UMNO, sepuluh lagi yang akan mendaftar sebagai ahli. Masalahnya, siapa ahli tersebut? Adakah sama ahli yang bekerja sebagai penoreh getah dengan seorang peguam? Adakah sama seorang guru dengan seorang tukang kebun sekolah? Memang tidak dinafikan dari segi undi, ianya tidak berbeza tetapi bagaimana dari segi idea dan pendekatan?

Memang UMNO parti pelbagai ragam dan ahlinya terdiri dari pelbagai status dan kedudukan tetapi dalam dunia global ini, pendidikan memainkan peranan penting untuk menentukan kelansungan progresif sesebuah parti politik. Parti yang ketinggalan dari segi idea dan perubahan tidak akan menarik minat golongan muda untuk menyertainya. Parti yang menawarkan keterbukaan dan idea yang lebih terkedepan akan lebih diterima terutamanya dari golongan muda. Apakah UMNO parti yang sedemikian sifatnya? Biarkan ketua-ketua cawangan atau bahagian yang menjawabnya kerana ditangan merekalah letaknya masa depan dan untung nasib parti di masa hadapan. Biarkan mereka menilai sendiri apakah akan jadi kepada UMNO. Biarkan mereka ketahui bahawa salah satu penyebab utama kekecewaan UMNO dalam PRU 12 lalu adalah kerana orang muda yang tidak lagi bersama perjuangan UMNO.

UMNO sememangnya parti yang kuat dan teguh dengan keahlian lebih dari 3 juta orang. UMNO sememangnya parti yang kukuh bertahan selama lebih dari setengah abad dan menerajui sebuah negara yang semakin maju semenjak dari awal kemerdekaannya. UMNO adalah wadah dan pejuangan orang Melayu di Malaysia. UMNO adalah pembela masyarakat bumiputera dan pemberi agihan yang adil kepada kaum-kaum lain di Malaysia. UMNO adalah parti yang jelas perjuangannya. Mampukah UMNO mempertahankan semua ini kalau pemimpinnya di peringkat cawangan dan bahagian masih bermentaliti tahun 80an? Mampukah UMNO menjadi peneraju demokrasi dengan pemimpin yang berfikiran feudal?

Namun demikian, diharapkan bulan Julai nanti akan menentukan bagaimana UMNO akan terus ditadbir untuk melangkah ke masa depan. Mungkin Bulan Oktober nanti akan menentukan bagaiamana tahap kesedaran dan kepekaan ahli-ahli UMNO terhadap masalah dalaman UMNO? Mungkin bulan Disember nanti menentukan apa yang akan terjadi kepada UMNO 5 tahun akan datang? Mungkinkah UMNO akan terus membina keyakinan semula dan membaiki kelemahan-kelemahan tadi? Mungkinkah UMNO sememangnya sedemikian dan terus retak menanti rebah? Biarkan perwakilan UMNO yang bernasib baik kerana dapat menjadi ahli sahaja yang menjawabnya. Biarkan mereka menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menentukan jatuh bangun UMNO. Jangan nanti UMNO mengundur ke belakang manakala parti lain terus ke hadapan.

Jangan jadi KUCABAGHA.