Saturday, March 29, 2008

SELESAIKAH ISU MB TRENGGANU?

Seramai 10,000 orang dilaporkan berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Trengganu untuk menyambut keberangkatan pulang Yang di_Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pagi ini, Sabtu, 29 March 2008. Sambutan yang sebegitu meriah menzahirkan sokongan padu rakyat pada seorang raja yang telah meletakkan Negeri Trengganu melebihi kepentingan politik pihak tertentu.

Sokongan itu juga menandakan berakhirnya episod cacamarba perlantikan Menteri Besar Trengganu selepas Piliharaya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu. Segala-galanya telah jelas dan Ahmad Said dijangka berada dalam keadaan selesa untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) yang baru pada hari esok, Ahad, 30 March 2008. Bagi rakyat marhaen, kemelut perlantikan MB mungkin telah berakhir tetapi rentetan peristiwa dan kronologi perlantikan itu sentiasa akan menjadi pertuturan.

Mungkin bagi pihak pimpinan UMNO, isu tersebut telah selesai dengan penerimaan Majlis Tertinggi (MT) atas perlantikan Ahmad Said tetapi rakyat marhaen masih tertanya-tanya, apa isu sebenarnya? Kenapa pihak istana tidak besetuju dengan Idris Jusoh? Atas dasar apa Idris diketepikan? Kenapa Ahmad Said pula yang diterima oleh istana? Kenapa Ahmad Said dilihat berseorangan pada awalnya? Kenapa Pak Lah pada awalnya mempertahankan Idris? Kenapa pula Pak Lah kemudiannya menerima Ahmad Said?

Pertanyaan-pertanyaan tadi mungkin dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak relevan lagi tetapi bagi rakyat marhaen, pertanyaan itulah yang sememangnya menjadi isu sebenar sekarang untuk diperjelaskan. Penerimaan MT dalam hal ini tidak menutup isu sebenar. Rakyat marhaen perlu tahu apa yang berlaku. Memperakui dan menerima perlantikan tersebut sebenarnya sudah terlewat walaupun diperlukan. Rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan satu tindakan menerima tanpa mengetahui apa isu sebenar. Keinginan rakyat untuk mengetahuinya semakin meluap-luap dan sesuatu harus dilakukan untuk memberi kefahaman kepada rakyat dalam isu tersebut.

Kita tidak mahu rakyat terus berteka-teki dalam hal ini. Jika sekiranya UMNO mengamalkan ketelusan, isu ini perlu diperjelaskan segera. Jangan nanti rakyat membuat pelbagai andaian dan tafsiran sendiri yang tentunya bersifat negatif. Jangan nanti pemimpin UMNO akan terus dilabelkan sebagai korup, menyeleweng dan salah guna kuasa kerana itulah yang sentiasa bermain di fikiran rakyat. .

Sepanjang kemelut ini berlaku, pelbagai cerita dan dongengan kerap didengari. Ada yang mengaitkan Idris Jusoh dengan isu ‘Wang Ehsan’ RM 1 Billion setahun yang tidak dipastikan kemana dibelanjakan. Ada yang mengaitkan dengan isu ‘Patrick Badawi’ dan campurtangan anak menantu Pak Lah sendiri dalam pentadbiran negeri. Ada yang melihat isu ‘Pro Jerteh’ dan tidak kurang juga yang mengaitkan dengan isu perasmian masjid kristal dimana Ketua Agama Negeri tidak diberi penghormatan. Menariknya ada yang berkata kerana Idris suka bercakap I, You sahaja dengan Sultan seolah-olah baginda tidak dihormati. Pihak pembangkang pula tentunya tidak lari dari mengaitkan Idris dengan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kesemua andaian dan tohmahan itu akan terus didengari mungkin sehigga Pilihanraya ke 13 akan datang. Mampukah UMNO bertahan dengan segala macam tohmahan dan andaian tersebut yang akan terus membiak dalam pentadbiran kerajaan? Idris perlu dibersihkan atau sekurang-kurangnya diberi peluang untuk menafikan tohmahan tersebut. Jika tidak, beliau akan terus dilihat sebagai bekas MB yang korup untuk selama-lamanya dan kesannya adalah berbalik kepada UMNO juga.

Sesuatu yang tidak kurang menariknya juga dalam isu ini adalah pnerimaan semula kesemua 23 ADUN (termasuk Idris) terhadap Ahmad Said walaupun sebelum ini pelbagai usaha dilakukan untuk menolak beliau termasuk memulau majlis angkat sumpah sebelum ini. Menambahkan kecelaruan tersebut adalah tindakan perhubungan UMNO Trengganu yang dikatakan sebelum ini ‘memecat’ Ahmad Said sebagai ahli UMNO. Bila masa pula agaknya UMNO negeri diberi kuasa ‘memecat’ ahlinya? Tindakan ‘tidak berperlembagaan UMNO’ yang diketuai oleh Rosol Wahid itulah yang memburukkan keadaan dan mencabar kedaulatan raja yang akhirnya membawa rakyat marhaen berhimpun menyatakan ‘Daulat Tuanku’ di LTSM hari ini.

Rakyat masih mengharapkan kesemua ADUN tersebut boleh duduk semeja dan berbincang semula seperti biasa. Tindakan ugutan untuk tidak menerima perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) oleh beberapa ADUN sebelum ini adalah satu penghinaan kepada MB baru. Kepentingan parti dan kerajaan sepatutnya diletakkan melebihi kepentingan individu tertentu. Kemelut ini harus berakhir segera dan rakyat patut difahamkan secara jelas dan nyata. Komen-komen mutakhir hari ini menunjukkan ke arah tersebut.

Namun, benarkah kemelut itu sudah berakhir atau hanya sekadar menuruti kehendak raja kerana tidak mahu ada percanggahan dengan istana? Benarkah seperti kata Rosol Wahid bahawa kecelaruan itu hanyalah ‘carik-carik bulu ayam’ semata-mata? Setakat mana ‘carik-carik’ tersebut? Rakyat marhaen menunggu dengan teliti untuk melihat Rosol Wahid bersalam cium tangan dengan Ahmad Said. Atau mungkinkah Idris sendiri akan melakukannya..

Jangan jadi KUCABAGHA.

Thursday, March 27, 2008

DEMOKRASIKAH UMNO?

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang baru saja berakhir sebentar tadi sebulat suara memutuskan untuk meneruskan pemilihan dalam parti tahun ini. Ini tentunya bertentangan dengan saranan Ketua Penerangan UMNO beberapa hari lalu untuk mengadakan pemilihan hanya pada pertengahan tahun depan. Keputusan yang direkomenkan oleh Jawatankuasa pengurusan parti yang diketuai oleh Timbalan Presiden sedikit sebanyak menolak ulasan-ulasan sinis beberapa pihak tentang keterbukaan dan demokrasi dalam parti.

Keputusan itu bagaimanapun masih menjadi perdebatan hangat di peringkat rakyat marhaen kerana pemilihan sebenar di peringkat Majlis Tertinggi (MT) hanya akan diadakan dalam penghujung tahun ini. Alasan yang mungkin boleh difikirkan adalah kerana parti baru sahaja menghadapi pilihanraya dan ditambah dengan beberapa kekalahan mengejut. Mungkin alasan ini boleh diterima tetapi lemah sangatkah UMNO sehingga terpaksa menunda pemilihan dalam parti sendiri beberapa lama selepas pilihanraya? Perhimpunan yang telah menjadi tradisi sejak lebih berpuluh tahun lalu terganggu hanya oleh bahang pilihanraya?

Ramai rakyat marhaen masih berfikiran bahawa tujuan sebenar penangguhan pemilihan sehingga ke penghujung tahun ialah supaya kepimpinan yang ada hari ini masih berkesempatan mencari ‘gula-gula’ untuk disuapkan kepada perwakilan agar kepimpinan yang ada ini dapat diteruskan. Ramai juga yang beranggapan bahawa jangka waktu yang panjang akan menjadikan perwakilan lupa tentang episod sadis pilihanraya ke 12. Kemarahan mereka sehingga ingin menukar kepimpinan sehingga ke peringkat Presiden parti mungkin telah reda di waktu itu. Mungkin juga pemikiran sebegini ada benarnya. Maklumlah ‘Melayu memang mudah lupa’.

Apapun alasan yang diberikan atau difikirkan, persoalan besar yang masih belum terjawab ialah apakah semua keputusan dan pendekatan yang diambil oleh UMNO ini mampu menarik semula sokongan rakyat pada UMNO dan Barisan Nasional (BN)? Parti politik adalah mekanisme mendapatkan kuasa melalui sokongan rakyat. UMNO yang selama ini diyakini oleh rakyat nampaknya mula dicemuh dan diperlekehkan.

Sekiranya satu kajian secara menyeluruh dilaksanakan atas kejadian memalukan UMNO baru-baru ini, rakyat marhaen percaya bahawa faktor ‘penolakan’ terhadap UMNO adalah punca sebenar rakyat memilih parti lain. Mungkin rakyat tidak ‘tertarik’ dengan ‘Barisan Rakyat’ (BR) sekalipun tetapi apa pilihan yang mereka ada? Mungkinkah kejadian ini hanyalah satu protes rakyat pada UMNO atau BN lalu memilih untuk ‘mengajar’ kepimpinan parti?

Sekiranya teori ini benar, apakah langkah yang telah diambil oleh UMNO untuk mengambil semula hati rakyat? UMNO yang kini semakin dilihat parti tidak demokratik seharusnya mula mengorak langkah mengurangkan ketidakpercayaan rakyat pada parti tersebut. Perbuatan mengampu pemimpin dan mengiyakan sebarang perkataan dari pemimpin tanpa justifikasi teliti sudah perlu dibersihkan dalam parti. Sikap takut bersuara dan hanya menjaga periuk nasi sendiri sewajarnya tidak wujud dalam parti yang telah melalui proses 50 tahun kematangan. Soalnya, bolehkah ianya diubah? Bersediakah barisan kepimpinan yang ada menongkah arus mempertahankan pendirian peribadi untuk kepentingan rakyat? Jika ini tidak berlaku, bersedialah UMNO dan Barisan nasional menjadi pembangkang dalam pilihanraya seterusnya. Arkib sejarah 50 tahun Golkar dan Kongres memang perlu disediakan juga untuk UMNO.

Soal pemilihan parti juga perlu diperhalusi dengan mengambilkira faktor kehendak rakyat dan relevan dengan keadaan semasa. Mungkinkah peratus minima pencalonan untuk melayakkan diri bertanding dalam jawatan tinggi parti perlu dikaji semula? Apakah ianya masih relevan untuk suasana politik hari ini di mana keterbukaan sudah menjadi intipati utama mana-mana organisasi? Rasanya tidak akan ada ahli UMNO yang secara suka-suka mahu mencabar Presiden parti dengan hanya satu pencalonan. Lainlah kalau ianya berbentuk protes. Itupun UMNO perlu mengkaji protes tersebut dengan harapan ianya hanya dari golongan minoriti.

Semua perkara ini seharusnya perlu diambilkira oleh UMNO untuk memenangi semula ‘undi protes’ yang dilakukan oleh rakyat baru-baru ini. Soal dalaman parti, imej dan kekuatan pasukan perlu mendapat pengiktirafan semula rakyat. Parti UMNO seharusnya perlu dilihat lebih demokratik, terbuka dan dinamik. Mampukah UMNO?

Jangan jadi KUCABAGHA.

Tuesday, March 25, 2008

SIAPA PENGERUSI UMNO KELANTAN?

Musim pilihanraya mungkin sudah berlalu tetapi bahang dan kehangatan kesannya masih terasa hingga ke hari ini. Beberapa negeri yang diambil alih oleh pihak Barisan Rakyat (sebagaimana yang mahu dinobatkan) baru sahaja selesai dengan perlantikan anggota pentadbiran baru. Mungkin juga ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) yang baru dilantik boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik dari exco kerajaan terdahulu. Tiada siapa yang boleh menjangka.

Manakala pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di negeri lain masih terpinga-pinga dan tercari-cari sebab musabab kejatuhan mereka, pemimpin UMNO di Kelantan seperti biasa sedang mencongak-congak siapakah bakal Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru. Ini sudah menjadi trend bagi UMNO di Kelantan menukar Pengerusi Perhubungan setiap kali selepas pilihanraya. Kekalahan demi kekalahan dalam setiap pilihanraya semenjak 1990 mendesak pelbagai karakter pemimpin diketengahkan dan hanya pada pilihanraya 2004 di bawah ‘ketuaan’ Dato’ Pa, UMNO hampir memerintah Kelantan.

Sekali lagi pada tahun ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dijangka bertukar. Siapa dan apa alasan kali ini amat ditunggu-tunggu oleh rakyat marhaen. Kalau selepas pilhanraya tahun 2004, Tok Pa ditukar dengan Datuk Wa atas alasan Tok Pa lebih diperlukan di peringkat pusat walaupun telah membawa BN hampir ke puncak kejayaan, apa agaknya alasan untuk menukar ketua baru bagi kali ini? Mungkinkah alasan imej atau moral sebagimana yang dimahukan oleh rakyat Kelantan? Atau mungkinkah ianya tidak akan bertukar?

Mencogak-mencongak siapakah Pengerusi yang baru tentunya tidak lari dari menganalisa beberapa tokoh utama UMNO Kelantan untuk diangkat menjadi ketua baru. Semasa musim pilihanraya lalu, kempen BN berpaksikan bahawa Awang Adek akan dimasyurkan sebagai Menteri Besar (MB) sekiranya BN memerintah Kelantan. Pelbagai sepanduk ‘Bakal Menteri Besar’ ditampal di seluruh negeri Kelantan. Selaku MB, beliau juga dijangka akan mengetuai UMNO negeri dan BN. Malah sudah berduyun-duyun jentera parti yang entah dari mana datangnya ‘melaporkan diri’ bekerja di DUN Perupok dan Parlimen Bachok semasa pilihanraya hari itu. Ada juga pegawai dari Perhubungan UMNO negeri pun dilihat lebih mendahulukan beliau dari Datuk Wa walaupun beliau hanya Pengarah jentera pilihanraya sedangkan Datuk Wa masih Pengerusi UMNO negeri. Malang tidak dijangka dan Awang Adek tewas di kedua-dua kawasan yang ditandingi dan sekarang dilihat bersendirian apabila ke mana-mana…

Awang Adek mungkin boleh diwartakan sebagai Pengerusi yang baru. Namun berjawatan Pengerusi UMNO negeri tanpa jawatan dalam kerajaan mungkin akan menyebabkan beliau tidak efektif walaupun mungkin beliau akan lebih fokus. Apakah mungkin Awang Adek tidak dilantik ke mana-mana jawatan lantikan politik selepas ini? Mungkinkah karier politik beliau dibiarkan untuk ‘survive’ sendiri tanpa bantuan dari atas? Kalau beliau tidak dilantik ke mana-mana jawatan lantikan politik, karier politik Awang Adek mungkin sudah hampir sampai ke penghujungnya. Impian untuk mengetuai UMNO negeri juga mungkin hanya akan tinggal kenangan. Rakyat Kelantan boleh menerima beliau sebagai ketua yang baru sebelum ini tetapi perkembangan mutakhir yang mengatakan beliau sudah menjadi ‘agah’ semasa tiupan angin MB baru-baru ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada imej UMNO sendiri. Mungkinkah beliau bukan lagi calon Pengerusi UMNO negeri yang baru?

Tokoh yang sedang naik di Kelantan dan dijangka mungkin akan muncul sebagai pelapis baru kepimpinan UMNO negeri ialah Haji Alwi Che Ahmad atau lebih dikenali sebagai Haji Luwi. Beliau yang sebelum ini digambarkan sebagai salah seorang Ahli Parlimen (MP) yang lantang bersuara dan menangkis hujah pembangkang sebelum ini diletakkan bertanding untuk kerusi DUN Kok Lanas. Peristiwa salin tikar dengan bosnya, Datuk Wa mengejutkan banyak pihak di Kelantan, apatah lagi Haji Luwi dicanangkan sebagai salah seorang pemimpin yang bakal berada dalam kabinet baru sekiranya menang di kerusi Parlimen baru-baru ini. Karier politik Haji Luwi sentiasa dibayangi oleh Datuk Wa sebelum ini dan sudah tiba masanya beliau membuka buku baru menjadi orang penting dalam UMNO.

Kedudukan beliau selaku Ketua Penerangan UMNO negeri dan salah seorang dari 6 ADUN yang mewakili BN dalam DUN Kelantan seharusnya menjadi kelebihan untuk beliau menerajui UMNO negeri. Apatah lagi beliau baru-baru ini dicanangkan juga untuk jawatan ‘Bakal Timbalan Menteri Besar’ jika BN memerintah negeri itu. Paling menarik, beliau mungkin akan diangkat sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kelantan nanti. Persoalan besar ialah apakah boleh beliau dilantik mengetuai UMNO negeri sedangkan beliau hanyalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian di Ketereh? Atau beranikah beliau melawan bosnya untuk jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan kali ini? Relevan lagikah Datuk Wa dalam politik Kelantan?

Sekiranya benar Haji Luwi dilantik sebagai ketua baru UMNO negeri, mampukah beliau mengemudi UMNO negeri? Bersediakah beliau mendepani kerenah ketua-ketua UMNO bahagian di Kelantan yang kadangkala dilihat mementingkan kemenangan dalam pemilihan UMNO lebih dari pilihanraya umum? Bolehkah pemimpin ‘sesak’ yang hanya bersandarkan pada kedudukan ADUN mengepalai UMNO negeri yang memerlukan perbelanjaan besar? Politik bukan sekadar berkisar pada kepetahan bercakap semata-mata, jauh dari itu memerlukan perancangan, perlaksanaan, pasukan dan tentunya kewangan. Mampukah beliau?

Kelantan hanya mempunyai dua wakil dalam kabinet sekarang. Seorang adalah menteri yang menang bertanding dalam pilihanraya dan seorang lagi yang tidak bertanding tetapi dilantik senator untuk membolehkan beliau berada dalam kabinet.

Tok Pa adalah satu-satunya menteri yang menang dalam pilihanraya lepas dan merupakan bekas Pengerusi Perhubungan yang paling cemerlang selepas era kejatuhan BN semenjak 1990. Beliau bagaimanapun digantikan secara tiba-tiba dalam keadaan rakyat Kelantan semakin menerima beliau. Apapun alasan yang diberikan, rekod pencapaian beliau belum mampu di dilaksanakan oleh mana-mana pemimpin UMNO Kelantan sebelum ini. Mungkinkah beliau akan dilantik semula walaupun sudah ada bebanan tugas di peringkat pusat? Telah ada ‘precedent’ sebelum ini bahawa bekas Pengerusi dilantik semula untuk memperkuatkan parti iaitu semasa Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mengetuai parti pada pilihanraya 1999. Mungkinkah sejarah ini akan berulang? Pak Lah ada seribu satu alasan untuk mengganti Tok Pa sebelum ini dan mungkin juga ada seribu satu alasan untuk melantik beliau semula? Hendak atau tak hendak..

Menteri yang baru dari Kelantan, Zaid Ibrahim juga disebut-sebut bakal mengetuai UMNO negeri. Zaid bagaimanapun dilihat lebih bersifat nasional dari imej pemimpin tempatan. Perlantikan beliau dianggap bukan atas dasar kuota negeri tetapi secara berkebetulan berasal dari Kelantan dan pernah mengisi kedudukan sebagai Ahli Parlimen Kota Bharu. Kejayaan perniagaan beliau memang tidak boleh diragui lagi, apatah lagi kekayaan beliau. Namun ada suara-suara yang mengatakan bahawa Zaid kurang sesuai menjadi pemimpin Kelantan atas pelbagai alasan termasuklah hal-hal peribadi.

Bagaimanapun, kelantangan dan sifat ‘keras kepala’ beliau sebenarnya menjadi sebutan rakyat kerana beliau boleh dianggap pemimpin yang berani menentang arus ‘pembodekan’ pimpinan sekarang. Rakyat sudah juak dengan amalan bodek dalam kerajaan dan mahu seorang hero yang berani bersuara. Mungkinkah Zaid calon yang sesuai? Kalau Pak Lah serius untuk memenangi suara hati rakyat, Zaid mungkin calon yang lebih sesuai..

Kalau sekiranya faktor ‘orang baru’ diambilkira, tentunya Haji Luwi dan Zaid adalah calon yang tersenarai pendek tetapi kedua-duanya bukan ketua UMNO bahagian. Mungkinkah kali ini Pengerusi UMNO negeri bukan lagi di kalangan ketua bahagian? Mungkinkah reformasi sepenuhnya perlu dilakukan di Kelantan? Walau apa keadaan sekalipun, Pak Lah perlu ingat bahawa moral dan imej masih menjadi kriteria utama Pengerusi UMNO di Kelantan. Pandai-pandailah memilih …

Jangan jadi KUCABAGHA.

Saturday, March 22, 2008

BERSUARALAH RAKYAT MARHAEN

Gegak gempitalah seluruh negara bilamana anak raja dari Kelantan yang dikatakan telah menghadiahkan tapak bangunan untuk ibupejabat UMNO menyatakan kesediaan beliau untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden UMNO bagi pemilihan 2008. Maka bergegarlah hulubalang dan panglima UMNO menyanggah dan memperlekehkan kewibawaan anak raja tersebut. Pelbagai sokongan dan kenyataan berdiri teguh di belakang Presiden sekarang telah, sedang dan akan terus didengari sepanjang pemilihan ini.

Ada yang mempersoalkan keikhlasan anak raja tersebut bertanding dan ada pula yang tidak mahu berlaku perpecahan semula dalam UMNO sebagaimana sejarah sebelum ini. Tukang canang sokongan dan juara perpaduan dalam UMNO sudah mula bersuara. Pertandingan bagi mereka akan membawa lebih perpecahan dalam UMNO dan mewujudkan puak-puak yang akan menghancurkan parti tunjang Barisan Nasional itu. Kebenaran kepada kenyataan tersebut mungkin bersifat subjektif. Ianya terpulang kepada pihak yang mentafsirkannya. Namun tidak dapat dinafikan bahawa kemungkinan tersebut mungkin tetap ada. Persoalan besar ialah apakah pertandingan benar-benar memecahkan perpaduan parti atau hanya permainan minda pemimpin atasan supaya tiada pertandingan dalam hirarki tertinggi UMNO? Adakah kemudaratan berpecah ekoran pertandingan mengatasi kemudaratan UMNO dilihat parti yang tidak demokratik? Tiada siapa yang boleh menjawab secara jelas tetapi mungkinkah UMNO memerlukan pertandingan untuk dilihat lebih demokratik dan terbuka dalam suasana politik sekarang?

Melihat kepada kenyataan-kenyataan ‘standard’ yang telah disuarakan setakat ini tentunya tiada apa yang menarik untuk diperhalusi kecuali kenyataan penuh sinis seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang baru sahaja dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh dengan mengesyorkan supaya si anak raja, Ahli Parlimen paling lama berkhidmat dalam sejarah politik Malaysia itu memulihkan dulu UMNO negeri Kelantan. Negeri tanah tumpah anak raja tersebut yang telah pun ‘selesa’ berada di tangan parti pembangkang sejak 18 tahun yang lepas meskipun pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan untuk menawannya kembali.

Menariknya, negeri tempat tumpah darah Ahli MT yang mencadangkan pemulihan tersebut baru sahaja jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya March lepas walaupun sebelum ini telah dinobatkan negeri yang ‘sifar pembangkang’. Rupanya sifar pembangkang di negeri tersebut bermaksud pembangkang dahulu sudah menjadi kerajaan dan telah betul-betul sifar. Mungkin negeri yang telahpun diisytihar maju ini patut terlebih dahulu dipulihkan sebelum menjadi ‘lebih selesa’ di tangan pembangkang. Mungkin Ahli MT berkenaan yang menduduki kerusi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut semasa kekalahan mengejut lalu patut melihat dalam diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain.

Sekarang bukan lagi masa untuk menjadi juara membela sesiapa tetapi mencari sebab musabab kenapa UMNO boleh dimalukan sedemikian rupa. Hentikan politik hero kalau ingin melihat UMNO terus menjadi tunjang parti memerintah negara. Jika tidak, UMNO mungkin akan menjadi arkib yang senasib dengan rakannya Golkar di Indonesia atau Kongres di India suatu ketika dahulu.

PRU ke12 yang lepas sebenarnya meletakkan politik dalaman UMNO dalam keadaan yang sukar difahami. Bagi sesetengah pemimpin, kekalahan paling teruk dalam sejarah itu adalah kerana kelemahan jentera pilihanraya UMNO atau BN sendiri. Sesetengah yang lain meletakkan isu kenaikan harga minyak dunia sehingga mendesak kenaikan harga barangan pengguna dalam negara adalah penyebab utama kekalahan tersebut disamping peningkatan kos sara hidup rakyat. Sesetengahnya lagi menganggap bahawa tiada isu besar yang boleh dijadikan modal oleh pembangkang untuk meraih undi tetapi sekadar undi protes rakyat pada BN. Menariknya ada yang berkata bahawa Pak Lah telah memilih tarikh pilihanraya semasa tiada isu besar dalam negara, cuma beliau tidak sedar bahawa beliaulah isu sebenarnya. Mungkin tidak adil untuk meletakkan faktor kekalahan hanya pada satu faktor semata-mata tetapi bersediakah pemimpin UMNO menerima pandangan dan kritikan rakyat secara terbuka?

Seminggu dua ini pergolakan dalaman UMNO lebih dilihat dalam suasana ketidaksepakatan antara pemimpin dengan ahli bawahan. Para pemimpin sibuk mempertahankan pemimpin yang lebih tinggi manakala ahli bawahan menuntut pemulihan semua peringkat walaupun mungkin ada yang tidak sampai ke tahap menukar Presiden parti. Perubahan selera dan kehendak bawahan ini seharusnya diberi lebih perhatian oleh pimpinan di peringkat atasan. Mungkinkah sudah sampai masanya ahli bawahan dibenarkan berucap dan menyuarakan pandangan mereka tanpa diwakili oleh pemimpin yang dikehendaki oleh pihak atasan parti semata-mata? Mungkinkah perlu UMNO mengadakan mesyuarat agung luarbiasa (EGM) sebagaimana yang disarankan oleh anak raja Kelantan tersebut? Ahli-ahli UMNO sendiri adalah penentunya..

Jangan jadi KUCABAGHA.

Thursday, March 20, 2008

KU LI LAWAN PAK LAH

Kesediaan Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menawarkan diri bertanding untuk jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang menambahkan kejutan kepada pemain dan pemerhati politik nasional apatah lagi selepas UMNO mengalami Tsunami politik dalam pilihanraya ke 12 yang lalu. Ku Li telah menyatakan kesediaannya itu di rumahnya di Palm Manor, Kota Bharu. Kesediaan tersebut timbul dari kekalahan teruk BN di beberapa negeri dalam pilihanraya lalu dan menurutnya beliau mahu pihak yang bertangungjawab supaya tidak tidur. Mesej tersebut tentunya jelas ditujukan kepada Pak Lah, pemimpin no 1 negara yang disinonimkan oleh pihak pembangkang sebagai ‘kaki tidur’.

Ramai pihak terutamanya peringkat pimpinan UMNO masih menganggap bahawa kesediaan tersebut hanyalah rentetan cita-cita peribadi Ku Li sendiri untuk menjadi Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri Malaysia. Namun, apakah faedah peribadi yang boleh diperolehi oleh Ku Li dengan menjadi Perdana Menteri? DAN seperkara yang perlu juga direnungi adalah mampukah Ku Li kali ini mengatasi rintangan 30% pencalonan sebagaimana yang disyaratkan dalam Perlembagaan UMNO dan seterusnya membuka ruang untuk pertandingan? Apakah suasana politik semasa yang menuntut pelbagai perubahan dalam UMNO memungkinkan gerakan besar-besaran merubah pengisian struktur yang ada? Berjayakah Ku Li kali ini?

Pilihanraya ke 12 yang lepas bagi sesetengah pihak membuktikan kelemahan Pak Lah dalam mentadbir negara dan membawa BN kearah kegemilangan politik sebagaimana pilihanraya-pilihanraya sebelum ini. Rekod kalah di 5 negeri dan satu wilayah persekutuan adalah terburuk dalam sejarah BN. Ramai pihak dan rakyat marhaen meletakkan sepenuh kekecewaan tersebut kepada Pak Lah. Mungkinkah kekecewaan peringkat marhaen ini akan memberi ruang kepada mereka mencalonkan orang-orang baru dalam susunan pimpinan UMNO di semua peringkat? Mungkinkah UMNO akan menjadi parti yang akan di’modified’ sepenuhnya isi dalamnya untuk lebih dinamik dan bertenaga di masa hadapan? Mungkinkah akan tersenarai ketua-ketua cawangan baru dan bahagian yang lebih bertenaga bagi menggantikan senarai sedia ada? Politik adalah seni serba kemungkinan dan ketidakmungkinan. DAN kemungkinan perubahan besar-besaran itu tetap ada.

Pak Lah harus bijak menangani keadaan semasa. Kritikan terbuka mantan Perdana Menteri, kegusaran rakyat dalam isu kenaikan barang, kelemahan pentadbiran seperti yang dipersepsikan oleh masyarakat dan kewujudan kroni-kroni baru dalam pemerintahannya pasti akan menjadi berpuluh sebab kenapa beliau perlu diganti samada dalam kerajaan atau dalam parti. Ahli UMNO tidak ada pilihan lain selain mendesak beliau meletak jawatan atau memilih jawatan itu untuk dipertandingkan. Gelombang desakan telah ada dan tokoh pengganti juga ada, faktor sensitiviti Pak Lah dalam isu ini sahaja yang akan menentukan samada ahli UMNO telah bersedia berketuakan Presiden baru. Mungkinkah selepas 20 tahun, jawatan Presiden UMNO dipertandingkan lagi? DAN calon lawannya adalah orang sama dengan isu dan persekitaran yang berbeza.

Melihat ke dalam parti UMNO hari ini seolah-olah melihat sebuah bongkah kayu yang dicat ‘metalik’, cantik dan bersinar di luar tetapi penuh dengan anai-anai didalamnya. Proses pereputan dalaman sedang berlaku sekiranya UMNO tidak di perkasakan semula. Pimpinan UMNO di semua peringkat dilihat lebih mengutamakan ‘politik bodek dan ampu’ dari memperkatakan isu sebenar. Rakyat marhaen semakin memberontak dan menjauhkan diri dari UMNO. Mereka samada berdiam diri atau menganggotai parti-parti politik pembangkang yang dilihat lebih terbuka dan sesuai dengan peredaran masa.

Sungguh memalukan apabila sebahagian besar golongan muda lebih cenderong bersama parti pembangkang dari UMNO. Kalau diteliti secara rambang keputusan pilihanraya yang lepas mengikut peti undi, kekalahan teruk UMNO adalah dari saluran 3 yang diwakili oleh golongan muda. Kenapa mereka mengambil sikap sedemikian? Mungkinkah kerana pimpinan UMNO adalah pimpinan lama yang tidak ‘up to date’ dengan keadaan semasa? Atau mereka telah juak dengan telatah dan sikap pimpinan UMNO sekarang yang bercakap tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya satu ‘post mortem’ bebas perlu dilakukan segera untuk mencari punca sebenar. Jangan nanti UMNO menjadi buncis dalam air, dilihat segar dari atas sedangkan akarnya tidak pernah jejak ke dasar.

Proses pemulihan dalaman UMNO zaman Pak Lah telah masuk gear pertama melalui pembentukan kabinet yang baru diumumkan sehari dua ini. Keberanian Pak Lah tidak menyenaraikan beberapa tokoh pimpinan UMNO terutamanya Ketua Wanitanya sendiri yang terpalit dengan pelabagai isu kontroversi mungkin menjadi harapan baru bagi rakyat marhaen untuk melihat perubahan dalam UMNO. Apakah tindakan tersebut memberi mesej jelas pada rakyat bahawa Wanita perlu berketuakan orang baru? Bagaimana pula dengan ketua-ketua bahagian yang masih menunggu sampai mati di kerusi empuk ketua bahagian? Bagaimana penstrukturan peringkat negeri? Sekiranya tidak nampak perubahan ini dilaksanakan secepat mungkin sebelum perhimpunan agung UMNO Ogos ini, tidak mustahil Tsunami politik dalam UMNO pula akan berlaku dan Ku Li mungkin akan berjaya kali ini.

Jangan jadi KUCABAGHA.

Wednesday, March 19, 2008

PENGERUSI PERHUBUNGAN NEGERI AKAN DITUKAR?

Desas-desus Khairy Jamaludin akan meletakkan jawatan sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semakin hangat hari ini. Beberapa rakan tokoh-tokoh besar UMNO terutamanya dalam Pemuda telah menerima sistem pesanan ringkas (sms) mengenai hal tersebut. Betulkah Khairy akan meletakkan jawatan? Kalau benar, kenapa? Apakah ianya satu lagi usaha mengurangkan keterlibatan beliau dalam politik nasional untuk membersihkan imej Pak Lah? Perlukah Khairy meletakkan jawatan yang dimenanginya itu sebelum penghujung jalan? Sekali lagi kalau ianya benar, persaingan sengit mengisi jawatan tersebut dalam pemilihan UMNO nanti pastinya semakin menarik. Walaupun begitu, tiada siapa yang boleh mengesahkannya.

Siri perletakan jawatan dalam UMNO sebenarnya telah dimulakan oleh Radzi Sheikh Ahmad sebentar tadi. Beliau dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO dengan alasan tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Apakah ketidakberkesanan itu ada kaitan dengan perlantikan kabinet baru ini? Apakah ianya satu protes beliau terhadap Pak Lah atas pengguguran beliau dari kabinet? Tidak cukupkah masalah yang dibawa oleh Radzi ke dalam kontroversi politik negeri Perlis? Perlukah Setiausaha Agung UMNO berjawatan Menteri kabinet untuk melaksanakan tugas secara lebih berkesan?

Dikhabarkan bahawa Tengku Adnan Tengku Mansor akan dilantik menggantikan Radzi Sheikh Ahmad. Nampaknya sirih sudah pulang ke gagang tetapi melalui kenaikan pangkat dari Setiusaha Kerja kepada Setiausaha Agung. Harap-harap UMNO bukan lagi barang dagangan mengaut untung oleh mana-mana pihak.

Terdengar juga desas-desus bahawa Kak Pidah akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia ekoran pengguguran beliau dari kabinet. Ini mungkin susulan dari mesyuarat tergempar exco Wanita yang diadakan sebaik sahaja pengumuman senarai kabinet oleh Pak Lah. Kalaulah berita ini benar, Wanita tentunya akan menerima Ketua baru Ogos ini dan sudah semestinya Penasihat khas Perdana Menteri mengenai hal ehwal wanita, Kak Ijat adalah tokoh yang bersedia ganti tikar dengan Kak Pidah. Sekali lagi kalau ia benar, ahli UMNO secara keseluruhannya dijangka menyambut baik pekembangan ini. Sudah-sudahlah Kak Pidah, dah tepu pun Wanita UMNO dengan idea-idea lama.

Di kalangan rakyat marhaen, selain dari perletakan jawatan tokoh-tokoh besar UMNO itu, seperkara yang menjadi penantian adalah adakah Pak Lah akan menukar Pengerusi-pengerusi badan Perhubungan UMNO negeri terutamanya negeri-negeri yang tewas kepada Pembangkang dalam pilihanraya lalu. Perlukah mereka masih mengepalai UMNO negeri? Ini sepatutnya menjadi agenda nasional untuk menyesuaikan dengan pasukan kabinet baru Pak Lah yang mendapat sambutan baik masyarakat.

Sebahagian Pengerusi-pengerusi tersebut sudah boleh dianggap ‘tukun’ kerana telah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk waktu yang lama. Malah ada juga suara-suara marhaen yang membayangkan bahawa sebahagian dari mereka ini sudah menjadi liabiliti kepada UMNO dan bukan lagi suatu asset. Semakin lama berkuasa, semakin banyak kesilapan yang dilakukan.

Rakyat marhaen telah memulakan perubahan dan perubahan yang pasti adalah dengan mengganti pemimpin-pemimpin lama yang sudah tidak relevan dengan suasana politik semasa. Ini bersesuaian dengan semangat untuk membentuk pasukan baru di setiap negeri. Rintangan paling besar tentunya adalah untuk mengganti pengerusi perhubungan yang terdiri dari ketua-ketua bahagian yang lama dan mereka mungkin akan kekal disitu untuk bertahun lamanya lagi. Bersediakah rakyat marhaen menukar sebahagian ketua-ketua bahagian yang sedia ada?

Jangan jadi KUCABAGHA…

Tuesday, March 18, 2008

KABINET SUARA RAKYAT

Penantian 10 hari pasca PRU12 untuk melihat susunan kabinet baru Pak Lah akhirnya menjelma juga. Lebih kurang pukul 12.30 tengahari, 18 March 2008, Pak Lah dengan penuh keyakinan mengumumkan senarai penuh kabinet beliau. Kabinet yang tentunya diharapkan akan menunjukkan kepekaan Pak Lah terhadap laungan suara rakyat yang mahukan anggota kabinet yang dilihat bersih dan tidak bermasalah. Keberanian dan kepekaan Pak Lah terserlah melalui pengguguran beberapa orang menteri kanan dalam kabinet terdahulu.

Nama-nama besar seperti Rafidah Aziz yang walaupun mengetuai Pergerakan Wanita UMNO tetapi terpalit oleh isu AP dan pengagihan saham sejak sekian lama telah tidak dilantik semula.

Termasuk juga dalam senarai pengguguran adalah Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilibatkan pembabitannya melalui video Lingam.

Malah Setiausaha Agung UMNO, Radzi Sheikh Ahmad yang mencetuskan kontroversi politik di Perlis juga tidak disenaraikan. Demikianlah sebahagian dari tokoh-tokoh hebat UMNO yang digugurkan.

16 muka baru dalam senarai kabinet hari ini menjadi tanda aras jelas bahawa Pak Lah telah berani membuat perubahan drastik dan besar-besaran dalam pentadbirannya. Tindakan beliau menyenaraikan beberapa nama yang tidak dijangka menjadikan beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar.

Zaid Ibrahim, seorang tokoh perundangan yang berjaya tetapi selalu kritikal terhadap kerajaan telah dimasukkan dalam senarai kabinet. Perlantikan beliau sebenarnya bersifat nasional, mungkin atas kewibawaan beliau mengetuai firma guaman terbesar di Asia Tenggara kalaupun bukan di Asia. Zaid tidak boleh dilihat sebagai memenuhi kuota menteri dari Kelantan tetapi jauh dari itu adalah pemimpin peringkat nasional yang telah membuktikan ketokohannya. Tentunya Zaid mampu merealisasikan idea-idea baru dalam memperbaiki sistem perundangan negara yang semakin diragui sekarang ini sesuai dengan kedudukan beliau sebelum ini.

Kenaikan pangkat Ahmad Sabery Chek dari Setiausaha Parlimen ke Menteri Penuh walaupun kadangkala dikaitkan dengan imej Tengku Razaleigh Hamzah membuktikan bahawa Pak Lah telah bersedia mendengar dari banyak pihak. Tokoh muda bekas pimpinan mahasiswa ini pastinya penuh dengan idea-idea baru dalam mengemudi Kementerian Penerangan.

Perlantikan Amirsham Ab Aziz dari ‘banker’ ke jawatan menteri penuh yang menjaga Unit Perancang Ekonomi memberi isyarat jelas bahawa kabinet Pak Lah kali ini adalah mereka yang serius dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Pengetahuan dan pengalaman beliau dalam sistem perbankan diharap mampu melakukan sesuatu dalam perancangan ekonomi negara.

Tokoh-tokoh muda dari lepasan Pergerakan Pemuda UMNO seperti Ismail Sabri Yakob, Shaziman Mansor dan Wan Farid Wan Salleh memberi kesegaran baru dalam kabinet Pak Lah. Ketokohan dan idealisma tokoh-tokoh muda ini memang telah diakui dan teruji.

Ismail Sabri yang pernah menajdi Pengerusi Perbadanan Stadium adalah tokoh muda berpengalaman yang penuh dengan idea-idea baru. Perlantikan beliau diharap menyuntik semangat baru dalam bidang sukan dan belia di negara ini. Bekas peguam yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik sebelum ini pastinya sudah berpengalaman dalam pentadbiran kementerian. Tugas berat tentunya menanti beliau dalam isu Pesuruhjaya sukan dan beberapa badan sukan peringkat kebangsaan. Rakyat juga mengharapkan sessuatu dapat dilakukan terhadap belia negara hari ini. Isu gejala sosial, kelesuan persatuan belia dan perlaksanaan Akta Belia dijangka akan menjadi acara utama kementerian dan menteri baru ini.

Apapun dan sesiapapun yang dilantik ke dalam kabinet sebenarnya tidak sehebat dengan ketiadaan Khairy Jamaludin dalam senarai tersebut. Ketiadaan beliau telah menolak semua sekali tanggapan sebelum ini bahawa percaturan kabinet adalah atas campurtangan beliau. Tiada apa yang menunjukkan kaitan antara Khairy dengan senarai kabinet sekarang.

Shaziman Mansor walaupun bersaudara dengan Khairy adalah tokoh yang naik bukan kerana politik perlindungan, beliau lebih dilihat sebagai bekas Timbalan Menteri yang ‘perform’.

Wan Farid anak beranak yang dikatakan ada kaitan persahabatan akrab dengan Khairy sebenarnya tokoh muda yang ‘deserve’ disenaraikan kerana ketokohan beliau melebihi persepsi masyarakat tentang keakraban beliau. Jika persahabatan menjadi pertaruhan, tentunya seorang pemimpin muda di Wilayah Persekutuan yang dianggap adik abang dengan Khairy telah dilantik sebagai senator untuk dimasukkan ke dalam senarai kabinet. Ini semua tidak berlaku dalam penyusunan kabinet baru Pak Lah dan pastinya kabinet ini akan memberi dimensi baru bagi UMNO dan Barisan Nasional. Salah tanggapan dan persepsi buruk yang diberikan terhadap pentadbiran beliau tentu akan terhapus dengan sendirinya.

Pembangkang akan terus memainkan gurindam lama politik murahan dengan memperlekehkan senarai kabinet tersebut untuk cuba sekali lagi menghakis keyakinan rakyat tetapi yang jelas keyakinan rakyat akan lebih teguh dan pastinya dapat menerima pasukan baru Pak Lah. Pasukan baru yang lebih kuat dan ditentukan sendiri oleh Pak Lah tanpa campurtangan mana-mana pihak.

Sesungguhnya,rintihan dan rungutan rakyat telah didengari dan diberi perhatian oleh Pak Lah. Kabinet ini adalah ‘kabinet suara rakyat’ dan tentunya diharap tidak akan jadi KUCABAGHA..

PAK LAH BERUNDUR?

Pilihanraya ke 12 (PRU12) telah hampir 2 minggu berlalu tetapi bahangnya masih terasa ke saat ini. Kebangkitan pembangkang menawan 5 negeri dan Wilayah Persekutuan adalah senario baru politik negara. Kegagalan BN mempertahankan majoriti 2/3 dalam Parlimen dan kecelaruan dalam perlantikan beberapa Menteri Besar yang negerinya di menangi oleh BN menambahkan lagi sadis kekalahan tersebut. Justeru itu, desakan rakyat bawahan supaya pemimpin no 1 negara berundur semakin ketara walaupun pelbagai sokongan dan ikrar di suarakan oleh pemimpin-pemimpin yang dianggap berkepentingan. Pemerhati politik secara sinis membayangkan ‘13 dari 10’ rakyat marhaen yang ditanya mengiyakan sokongan supaya Pak Lah meletak jawatan. Persoalannya, perlukah tindakan tersebut? Mampukah tindakan perletakan jawatan mengubah lanskap yang telah berubah kembali ke senario terdahulu? Siapa selepas ini?

Politik Malaysia pasca Mahathir adalah sesuatu yang semakin kompleks untuk difahami. Kejayaan Dr mahathir meletakkan Malaysia pada landasan yang betul menjadi titik sebenar sokongan rakyat kepada kerajaan sebelum ini. Ini diikuti oleh kemenangan besar BN dalam PRU11 (2004) yang menunjukkan bahawa Pak Lah mendapat sokongan kuat dari rakyat tetapi panas yang disangka ke petang rupanya taufan di tengah jalan. Kekalahan yang memalukan dalam PRU12 ini mencerminkan bahawa rakyat sudah mula menilai semula pentadbiran Pak Lah. Betulkah beliau gagal mentadbir negara sebagaimana yang diharapkan oleh semua? Atau ianya sekadar perbandingan dengan pemimpin hebat seperti Dr Mahathir? Rakyat telah bersuara tetapi betulkah cara bersuara tersebut? Apakah pilihan yang rakyat ada? Akan dengarkah Pak Lah terhadap keluhan dan suara rungutan rakyat itu jika bukan melalui pilihanraya?

Pak Lah mengambilalih tampuk pemerintahan negara dalam peralihan tersusun yang dirangka oleh Dr Mahathir. Iklim politik dan suasana ekonomi baik yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir ditambah lagi dengan imej ‘Mr Clean’ Pak Lah telah melonjakkan keyakinan rakyat tetapi kenapa tiba-tiba sentimen tersebut terus hilang tanpa sebarang petanda. Bagi sesetengah pihak, kelembutan peribadi Pak Lah dan ‘campurtangan’ dalam pentadbiran oleh anak menantu yang kerap diperkatakan adalah penyebab rakyat mula meluat dengan imej bersih Pak Lah. Betulkah ada campurtangan tersebut? Atau ianya sekadar perang saraf mainan pembangkang yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti Pak Lah? Apa sebenarnya kesan penolakan pada BN terhadap iklim politik, sosial dan ekonomi negara?

BN yang disinonimkan dengan Barang Naik oleh pembangkang mungkin akan menjadi pembangkang dalam pilihanraya seterusnya sekiranya tiada usaha drastik dan ‘massive’ dilaksanakan dalam waktu terdekat. Rakyat masih mengharap perubahan dalam BN dan kerajaan. Beranikah Pak lah melakukan sesuatu yang drastik yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat Malaysia? Apakah langkah-langkah drastik tersebut? Kesaksamaan kaum tanpa keistimewaan Melayu? Bolehkah orang Melayu menerimanya? Atau sanggupkah Pak Lah menuruti kehendak kaum-kaum lain hanya kerana ingin mendapat semula sokongan politik?

Parti ‘Barang Naik’ (BN) itu juga perlu menilai semula apakah kesan kenaikan harga barangan menjadikan rakyat beralih arah. Besar sangatkah kesannya pada kehidupan rakyat? Atau sekadar satu ‘escapism’ rakyat melepaskan geram pada kerajaan kerana disogokkan dengan pelbagai Koridor yang tidak pasti lagi perlaksanaannya, apatah lagi nikmat yang mungkin tidak diperolehi. RMK9 yang diwar-warkan sebagai agenda pembangunan pertama Pak Lah tidak dirasai sepenuhnya oleh rakyat. Apatah lagi perlaksanaannya sekadar pada tahap beberapa puluh peratus sahaja sekarang. Yakinkah rakyat dengan semua projek-projek tersebut akan mengubah hidup mereka?

Layanan terhadap Dr Mahathir dan pembatalan beberapa projek yang diputuskan di zamannya dilihat oleh rakyat sebagai tanda tidak berterimakasih Pak Lah pada orang yang meletakkan beliau di situ. Kemarahan rakyat semakin ketara apabila juak-juak pembodek politik mula menyatakan pendirian sokongan mereka dan seolah-olah menidakkan jasa dan sumbangan Dr Mahathir terhadap negara. Suara-suara bodekan pemimpin bergema di mana-mana dan rakyat semakin meluat dengan ketidakikhlasan tersebut.

Rakyat semakin cerdik. Era globalisasi ini menjadikan sumber maklumat hanya di hujung jari. Politik pembangunan yang sentiasa menjadi ramuan BN dalam setiap pilihanraya dilihat tidak lagi ‘relevant’. Rakyat tahu bahawa mana-mana kerajaan pun akan berusaha untuk membangunkan negara mereka. Itulah tugas utama kerajaan yang rasional. Perlukah kerajaan BN mempromosikan pembangunan sebagai kejayaan cemerlang mereka yang utama? Bagaimana perlaksanaan DEB? Tercapaikah matlamat sebenar perlaksanaannya? Siapa dan berapa ramaikah mereka yang menikmati hasil DEB itu? Apakah rakyat secara keseluruhannya masih yakin lagi dengan DEB? Apatah lagi dalam keadaan sekarang dimana kerajaan dilihat mendahului Singapura lebih dari kepentingan negara sendiri.

Politik adalah persepsi masyarakat. Persepsi yang baik menjadikan parti BN semakin teguh dan begitulah sebaliknya. PRU12 membuktikan persepsi masyarakat terhadap BN telah terhakis dengan teruknya. Satu proses pemulihan keyakinan perlu dirancang dan dilaksanakan segera. Sekiranya Pak Lah tidak mengendahkan desakan rakyat untuk meletakkan jawatan, beliau harus bangkit menjadi seorang pemimpin yang hampir serba baru. Mungkin pendekatan baru, strategi baru, idea baru, stail pentadbiran baru atau mungkin imej baru, Ketepikan segera cakap-cakap masyarakat tentang ‘kitchen cabinet’, ‘kerajaan tiga beranak’ dan elakkan pengampu-pengampu dan pencacai-pencacai politik murahan di sekeliling beliau. Rakyat mungkin telah menyesal memilih pembangkang tetapi jangan sampai nanti BN pula menjadi pembangkang dalam PRU seterusnya.

Jangan jadi KUCABAGHA…